ads

Thursday, May 6, 2010

BELASUNGKAWA buat sepupu ku...

Tinggal kenangan. Majlis Persandingan yang meriah. Sesi fotography yang dihadiri oleh adik-beradik dan kaum keluarganya.

Bergambar bersama sepupu ku yang terakhir berkahwin.


“Saya sedih kerana hajat membawa anak, Boestanual Hisham Sheikh Othman, 35, menunaikan umrah sempena musim cuti sekolah 23 Mei ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan,” kata ibu mangsa, Wan Hasmah Wan Awang, 67. Mangsa mati di tempat kejadian di Kilometer 4, Jalan Sungai Choh ke Bukit Beruntung, selepas kereta Satria Neo yang dipandunya bertembung sebuah Proton Waja, kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Katanya, ketika kejadian, anaknya yang baru genap sebulan mendirikan rumah tangga dengan seorang kerani restoran di Kelab Golf Bukit Beruntung, Nor Hasima Ismail, 22, dalam perjalanan pulang selepas mengambil kad pengenalan barunya di Pejabat Pendaftaran Negara di Rawang.

Suratan takdir. Beberapa tahun lalu beliau pernah jatuh dari tingkat 3, apartmentnya tetapi selamat cuma patah kaki dan tulang punggung retak. Diberitahu beliau merangkak menggunakan siku beberapa meter untuk mendapatkan bantuan kerana kedua kaki tidak lagi berfungsi.  Ini disebabkan kebanyakkan orang sudah pergi kerja. Kejadian itu pada waktu pagi. Dan di masukkan di HUKM hampir sebulan.
“Ketika itu hujan lebat, arwah gagal mengawal kenderaannya di selekoh tajam sebelum melanggar kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu. Ketika itu saya berada di rumah anak di Ampang. Anak saya meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit di tempat duduk hadapan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Hasmah berkata, anaknya yang juga pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, di sini, sempat menghubunginya untuk bertanya khabar sehari sebelum kejadian.

Katanya, arwah seorang anak yang baik dan cukup menghormati keluarga.
“Saya terkilan namun pasrah kepada Tuhan atas ujian yang cukup menyayat hati ini. Tidak sangka harapan anak mengambil kad pengenalan sebelum memohon pasport antarabangsa untuk menunaikan umrah, tidak kesampaian.
“Ketika kejadian menantu saya berada di tempat kerjanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Beberapa mangsa daripada sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu masih belum dapat dikenal pasti kerana dibawa orang awam ke klinik berdekatan untuk rawatan. Dilaporkan semua mereka hanya cedera ringan.
“Polis masih menyiasat kejadian ini. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya.

Jenazah dimandikan dan dikafankan di Surau Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, kira-kira jam 8.30 malam tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, sejam kemudian.

Alfatihah 


Baru nikah mati berdarah
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
2010/05/05
BUKIT BERUNTUNG

Monday, April 26, 2010

Jumpa teman lama selepas 30 tahun...


Berdiri dari kiri, Sheikh Ali. Jafri Derani, Fauzi, Dr, Mahyuddin dan Cikgu Sudin (mengajar di SMKKK 1978-1982)
manakala di hadapan berdiri dari kiri Abang Musiron (lupa namanya), Aku, Jamie, Ismail, Cyma Hani dan Musiron Tumin


Reunion SMKKK 77 -79

Tak semena-mena jam 11 pagi, sekitar awal April, aku terima panggilan dari Dr. Mahyuddin yang tidak pernah-pernah berutus panggilan walaupun kami mempunyai no. hp. Dia adalah kenalan di pekan (SMKKK) semasa sekolah menengah dulu. Kini beliau membuka klinik Tawakal yang semakin popular di Ampang.

Aku kebetulan berada di Jaya Jusco Wangsa Maju sedang membeli sesuatu kerana nak melancong ke Pattaya dan Bangkok hujung minggu itu lihat (Pabila pembloger melawat Pattaya... Nak Jazz-up momentum kehidupan...

Dr. Mahyuddin memberitahu ada Reunion pada 25 April di Kelab Shah Alam. Ramai turun, yang sudah setuju 6 orang, Cyima Hani dan Jamie datang, katanya lewat hp. Aku cukup teruja dengan jemputan ini maklumlah kawan-kawan hilang sejak tiga deked lalu bertemu kembali dalam suasana cukup berbeza.

Fikiran aku melayang di tahun 1977 hingga 1979 di SMKKK. Ketika itu kami masih renta dan muda belia. 'Play & Study' bersama. Bergaduh dan macam-macam terfikirkan.

Idea Reunion datang dari Dr. Mahyudin tentunya mengundang polimik fikir ku. Musiran Tumin, pencetus idea lewat Facebook, kerana nak jumpa sangat-sangat dengan kakak angkatnya semasa sekolah dulu iaitu Sima Hani, kata Dr. Mahyuddin menafikan yang bukan ideanya.

Fauzi Abu Husaini yang kini ditukarkan ke Lipis kira-kira sebulan lebih - Mr Golfer, yang sudah terjerumus ke sukan 'Tiger Wood' dan masih tegap berkulit 'sunburn'. Aku habis U, bertugas di MPK, Pahang katanya dan sambung belajar di oversea dan bertugas di MPC, Pahang dan kini ditukarkan ke MPKL katanya menerangkan kedudukan. "Boring", kata Mail kalau main golf ni.... pukul bola dan berjalan-jalan dan pukul lagi. Kalau nak cari contact boleh lah bersuaian dengan bidang kerjaya tatapi aku tak perlu contact ni... Mail memberitahu semua golf set dijualnya... Lihat Jogging till u Giggong

Jafri Derani - semasa bersekolah terkenal berpakaian kemas dan rambut diminyak hingga dahi berkilat. Jefri yang kini bertugas di Putrajaya cukup terkilan semasa membawa rombongannya melawat Cameron Highland dan bertemu Fauzi yang ketika itu bertugas di Majlis itu. Kerana 30 tahun tidak bertemu masing-masing tidak mengenali. Sedangkan mereka cukup mesra ketika pertemuan itu. "Hampas betul Fauzi ni, sepatutnya terangkan kedudukan dari mana asalnya semasa itu kata Jefri marah yang sangat-sangat...

Sheikh Ali, sepupu aku yang rapat telah susut badan akibat penyakit diabetes. "Ali ni semasa sekolah terkenal dalam sukan dan agak Remeo", kata Jamie yang tidak mengambil masa lama untuk mengenal Sheikh Ali. Ali berkerja sendiri dan mempunyai kolam ikan patin sungai di kampung. Ali berbadan besar tinggi dan masih hansom. Ketika solo Ali ni agak ligat dan banyak cerita tersimpan di pocket aku...

Mata dah kelabu, kata Mail ketika sedang memberi no. hp Cikgu Islamiah.

Masing-masing menceritakan pahit-ranjau 30 tahun lalu.... Dr. Mahyuddin sipi-sipi menyampuk. Sedikit-sebanyak aku mencatat di kertas.

Ismail Yusuf habis sekolah masuk USM, Penang dan terjurus ke Mechanical Engenering dan bertugas di UEM tinggal di Kajang. 'Simpol' dan loghat Pahang masih lekat bila berjumpa rodong lama. Manakala Mahyuddin terkenal kerana 'ulat buku' menyambung di UKM di bidang kedoktoran dan membuka klinik sendiri di Ampang. Kami terputus hubungan hinggakan diberitahu oleh Ali kerjayanya.

Syima Hani - pendiam dan cerdik ketika itu duduk sebelah aku dan banyak menolong subjek Math. (Norhayati juga, gadis cantik putih melepak tetapi ketentuan Ilahi, suaminya meninggal dan kini tinggal di Kampung). Lihat PESAN RAHMAH dan lihat Sayang Roslina
Kesemua mereka ni genius belaka... aku nak jadi apa besar nanti?. Kini Syma Hani sudah berumah tangga mempunyai 3 cahayamata dan tinggal di Kelang berdekatan dengan tempat kerjanya. Selepas sekolah beliau memyambung pelajaran di UKM dan berjumpa Mahyuddin rakan sekampung. Agak lama menganggur kerana bidang yang diambil tiada ketika itu katanya.

Jamie masih kekal cantik dan menjadi idaman Cher (Ketua murid SMKKK) dulu dan Cyma Hani tak kurang bergaya....

Jamie berkerja di jabatan kerajaan - pelajar 'rambut tocang 2' dan pandai bergaya dan sering memakai skit singkat seingat Fauzi. Jamie yang menjadi ...uu...vitt... kawan-kawan dan salah seorang bernama Cher (Kawan sekelas. semasa di hostel Cher membungkus Lampu suluh, lilin, buku nota dan sebagainya untuk birthday Jamie yang ke 15, dan menerangkan makna-makna pemberiannya, seingat aku). Datang agak lewat semacam nak menangis dan terkelu meneka antara kami sama ada masih mengenali atau sebaliknya. Mail saya kenal tapi agak kurus... kenapa ya? Mus masih hansom, ngaku Jamie yang masih kekal manja dan bersuara lembut mirip anak Pahang jati walaupun sudah tinggal lama di KL dan pernah menatap di Sabah mengikut suami.

Aku nak jadi apa besar nanti? Kawan-kawan semua masuk U. Aku (Fer, pangilan kawan-kawan di hostel) sehabis SPM terus ke KL berkerja dan menyambung belajar di MIA di bidang Art and Design. Terjerumus di bidang penerbitan hingga kini. Dari syarikat penerbitan kecil, dapat tawaran di DBP, masuk agensi advertising, kerja di Bank dan seterusnya di penerbitan terbesar di Malaysia. "Kau terkenal kerana pandai melukis dan tulisan paling cantik", kata Jefri kawan sekelas yang kemas dan menjadi pengawas. Aku ketua kelas ketika itu. Dan Fauzi jiran sekelas, mengakui sama bahwa aku mempunyai tulisan paling cantik. Kau ingat tak ada kawan-kawan mintak kau tuliskan buku mereka?...

Musiron, Jefri dan Sheikh Ali. Kawan lama berlainan kerjaya.

Aku masih mengenali Jefri tetapi dahinya agak luas dan sudah memakai kacamata berkanta rendah. Berbadan tegap dan agak tengelam antara kawan-kawan. Gebangnya tidak serancak dulu mungkin pengaruh kerja di Human Resourse. Jerfri di beritahu sebelum berkerja di Putrajaya, berkerja di Kementerian Pelancongan dan menyambung belajar ke peringkat tinggi.

Teka siapa? Cyma Hani masih mengenali dan mengatakan aku tidak berubah banyak. Berbeza dengan Fauzi yang 'bump head'. Mahyuddin juga masih kekal 'smart' hanya rambut saja dah mula meliar uban.

Perjumpaan meleret hingga jam 11 malam. Selepas agenda makan, pemberian cendrahati dan kami bergambar beramai-ramai. Kami bersetuju untuk berjumpa lagi. "Kenapa tak bawa isteri?, tanya Jamie. Saham masih laku kata Mail selamba. Kalau dipanjangkan umur kita akan membawa isteri dan akan datang ke rumah masing-masing di KL...

Dr. Mahyuddin memberi cenderahati begitu juga Cyma Hani. Sampai di rumah aku membukanya. Kain pelikat dan mug dari Cyma Hani bertulis Reunion SMKKK 77 - 79.

Lalu aku teringat theory kain pelikat cap gajah duduk - Beza antara kain pelikat cap gajah dengan gajah? Apa dia Jamie? Gajah mempunyai belalai di luar iaitu di muncungnya tetapi kain pelikat cap gajah mempunyai belalai di dalam bila 'lelaki' memakainya.... ukk...ukk.... Aku masih mencari jawapan kenapa Dr. Mahyuddin menghadiahkan kami kain pelikat cap gajah duduk berbeza dengan Cyma Hani menghadiahkan mug bertulis ' REUNION SMKKK 77-79... Itu theory merapu sebenarnya. Insya Allah, ketemu lagi....


Tak Hadir: Islamiah Mohamma Maidin gadis genit comel yang berair-muka serius - (sesuai bebenor) menjadi guru sekolah mengikut jejak ayahendanya dan sekarang mengajar di Kota Tinggi, Johor. Lihat NOSTALGIA GURUKU... KISAH GURU KENCING BERDIRI.... Ayahenda Islamiah, Cikgu Maidin masih sihat walfiat. Tak garang-garang lagi tapi suara masih tinggi kata Miah lewat hp. Dah sikapnya macam tu nak buat macam-mana?...

Friday, February 19, 2010

"Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya, berapa lama?" - Jabar




Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Namun yang sering tak terucapkan adalah persoalan "berapa lama?". Sebab, empat puluh tahun nampaknya belum cukup untuk mengubat luka akibat kenangan silam yang tercalar dapat disembuhkan.

Setelah menamatkan persekolahan peringkat rendahnya di Kuala Tekal, Abdul Jabar bersekolah Menengah di Kuala Krau selama 6 bulan dalam tahun 1975. Kemudian Jabar ditukarkan ke Sekolah Menengah di Temerloh dan selepas itu ditukarkan ke Sekolah Menengah di Mentakab pula hingga ke tingkatan dua. Akibat perceraian, kehidupannya adik-beradiknya seramai tujuh orang itu semakin kucar-kacir dan bercelaru.

Jabar dipelihara oleh bapak saudaranya yang mempunyai empat anak yang tinggal di quaters Klinik di Mentakab, Pahang. Kerana kesempitan hidup, ekonomi mereka sering senak ini membuat Jabar menilai kembali keadaannya dan mengambil keputusan mencari ayahnya yang telah berkahwin lagi dan menginap di Kuantan sekitar tahun 1977. Jabar memulakan penghidupan barunya di bandar besar itu.

Percikkan kenangannya yang masih diingati, Jabar tinggal di Tanjung Api sebelum bapanya berpindah ke Tanjung Lumpur, perkampungan nelayan di Kuantan itu dengan tambang tiga puluh sen menaiki bot dari bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur memakan masa lebih kurang dua puluh minit. Jabar tinggal agak lama di sini. Seronok tinggal di Tanjung Lumpur, banyak nostalgia katanya. Selalunya pada bulan Jun diadakan Pesta Main Pantai. Ramai orang turun, terutamanya dari Terangganu, padatlah pantai Tanjung Lumpur dengan kerenah pengunjung. Ada wayang kulit dan berenika jenis makanan terang Jabar lagi.

Kita tidak mengetahui, sebab sejarah tidak ditulis dengan kata "seandainya", terang Jabar. Semua sudah suratan dan tidak mampu diginjak-ginjak lagi, seandainya boleh, Jabar tidak mahu kisah hidupnya sebegini perit berlaku ke atas dirinya. Hidup bukanlah seperti di dalam sebuah poskad semuanya indah dipandang, Jabar bermadah.

Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi kita terlupa bertanya: berapa lama?

Namun bukan bererti tak ada hikmah di sebalik waktu dan tragedi kemanusiaan. Seperti kata pepatah Inggeris. "Setiap gumpalan mega memiliki tepian peraknya," terbukti setelah dewasa rentetan sejarah ini banyak jadi pengajaran. Seorang pekerja tukang yang tidak baik menyalahkan peralatannya, Jabar memberi kata hikmah. Jabar ingin membina hidup harmoni bersama keluarga suatu hari nanti, ingin lari dari episod duka itu, tapi bagaimana...?

"Saya, terutama curiga, terutama tak percaya, kepada dimensi watak bapaku..." terang Jabar lagi. Teringat semasa anak sulung perempuan dengan isterinya ini sakit, ayahnya tetap bertugas di sebuah Bank sebagai Pegawai Keselamatan. Dan semasa anaknya meninggal dunia dia meneruskan tugas dan pulang semasa mengembumikan anaknya saja dan menyambung kerjanya kembali. Ketika pergi ke kuburan ayahnya berjalan mendahului jenazah dan di kuburan ayahnya duduk bersahaja jauh dari jemaah, bertahlil dan berdoa. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi sama ada sedih atau berduka. Keadaan biasa saja. Semacam tiada perasaan apa-apa kata Jabar lagi.... Memang yang kita nampak secara batiniah, dia hanya berserah kepada Illahi, bertawakal saja seadanya, semua milikNya...



Sikap dan perangai ayahnya masih menyita diri Jabar sampai kini. Ayahnya adalah lepasan Sekolah Agama di Pekan, Pahang dan menjadi polis semasa darurat dahulu. Mempunyai semangat waja dan tidak mudah menyerah kalah tambah Jabar lagi. Sewaktu ibu diceraikan, ayahnya hanya menghemburkan kata-kata, kalau sudah diludah masakan dijilat kembali.

Jabar sentiasa berpura-pura bila ibu tiri, orang Terangganu berada di sisi bapaknya. Jabar tidak pernah memanggil bapaknya dengan perkatan 'ayah'. "Itu kelebihanku, aku sentiasa ingat..., aku berlakon sepanjang masa.." cerita Jabar lagi. Lakonannya cukup menjadi. Hampir empat tahun rahsia ini disembunyikan dari pengetahuan ibu tirinya. Teringat semasa mula-mula sampai ke Kuantan, Jabar mencari di mana bapaknya berkerja. Mereka bertemu dan bagaimana untuk menangani masalah sebegini kerana si bapak yang baru kahwin itu telah memberitahu isteri yang dia masih bujang solo. Dan Jabar diberi peranan sebagai anak saudaranya yang baru sampai dari Temerloh, ingin menumpang di rumahnya untuk terus belajar ke sekolah menengah. Maka Jabar bolehlah tinggal di rumah itu buat sementara waktu. Dan si ayah tidak menunjukkan sebarang reaksi akan hakikat sebenarnya, mereka sentiasa berlakon... Berjalanlah episod ini untuk jangka masa yang agak lama.

Dalam usia lima belas tahun ketika itu, masalah peribadi mudah tengelam timbul. Jabar bersama Alias yang hampir seusianya, iaitu adik kepada ibu tirinya menjadi kawan sejati. "Kita pergi Pesta Main Pantai malam ni, ramai mek-mek come lote keluar..." ingat Jabar akan telatah Alias dalam loghat Terangganunya. Alias sajalah teman di masa gundah-gulana, terang Jabar lagi. Di masa-masa lain mereka menaiki motor endoro mengitari pantai Telok Chempedak dan pantai Tanjung Lumpur dan terkadang mengikut nelayan menaiki bot ke tengah laut mencari ikan.



Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi pengorbanan tak pernah boleh disia-siakan.

Hidup tidak selamanya payah... Roslina yang tinggi sedang-sedang, berambut keriting kecil berwarna hitam pekat, berkulit kuning langsat cukup mengugah perasaan Jabar. Kuasa jelingan mata Roslina seakan terbang jantung Jabar, menceritakan kisah cinta monyetnya dengan seorang pelajar comel tingkatan lima di sekolahnya. "Ini cinta suci..." terang Jabar lagi. Ketika itu Jabar di tingkatan empat tidak ramai kenalan dan masih kera sumbang... Cara melepaskan sebak kehidupan, Jabar berhubung hati dengan Roslina. Roslina menerima seadanya dan sangat seronok dengan persahabatan itu. Jabar mula menyedari kehidupan tak semuanya kelam kelabu, di lorong-lorong sunyi rupanya ada warna-warni keindahan. Roslina cukup pandai mengambil hati dan memberi semangat kepadanya. Berbekalkan nasihat dan perangsang inilah Jabar menjadi tabah dan yakin akan kehidupannya.

Walaupun ibu tirinya tidak mengetahui akan identiti diri Jabar yang sebenarnya bahwa Jabar adalah anak sulung daripada suaminya tetapi keadaan sentiasa merubah. Akibat penghidupan yang rumit, keadaan menjadi tambah bercelaru. "Anak saudara suaminya, siapalah sayang", keluh Jabar lagi bila mengenang kembali kisah ibu tirinya. Acap kali balik dari sekolah ibu tirinya tidak menyediakan makanan. Jabar harus membuat keputusan, harus pindah...

Langit terik, sekitar Januari, tahun 1978, Jabar mengharungi hidup yang serba sukar untuk meneruskan persekolahannya di tingkatan lima. Suatu malam yang panas di bulan itu Jabar terkejut dari tidur dan membuka tingkap... aku mesti membuat keputusan, tekadnya.
Dia ingin cepat-cepat menghabiskan SPM dan mendapat pekerjaan terangnya. Keadaan gawat keluarga ketika itu memaksa Jabar belajar bersungguh-sungguh.

Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi tak boleh lupakan bahawa kesihatan (apa pun) adalah sesuatu yang harus terus-menerus dipelihara.

Akibat tidak selesa tinggal di rumah ibu tirinya, Jabar yang sentiasa menyembunyikan identiti sebenarnya berpindah ke rumah Mak Saudara yang menetap di Kem Tentera Batu 9, Kuantan. Tinggallah Jabar di sana selama hampir enam bulan. "Hati emak saudara kena selalu dijaga dan dibelai begitu juga dengan anak-anaknya..., kita menumpang", ingat Jabar lagi. Kerana banyak kesukaran yang terpaksa ditempohi semasa bersekolah akhirnya enam bulan sebelum peperiksaan SPM gurunya memberi kemudahan kepadanya. Jabar disuruh tinggal di asrama sekolah itu. Maka berakhirlah episod duka-lara... kini Jabar berjalan dengan siul yang aman...

Benarkah waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi empat puluh tahun terhakiskah...?

Masa lalu adalah target yang dilintasi, masa depan adalah target yang belum dicapai. "Apa yang harus dibuat selanjutnya..., sudah berjayakah aku dalam kehidupan...? Jabar menghitung-hitung hari-hari berlalu. Aku ingin berjaya dalam hidup tegas Jabar lagi. Selepas SPM aku harus ke Kuala Lumpur...

Filem Renungan Ajal



Di hujung sakit ayahnya... Perangainya lunak dan menghadkan perjalan jauh. "Biarlah aku mati di rumah", katanya bila anak-anaknya menjemputnya ke Kuala Lumpur untuk berihat. Malah ayahnya mengetahui bahwa ia akan mati pada hari ahad terang anaknya. Jadi setiap hari ahad dia sentiasa berjaga-jaga, tidak ke tempat-tempat yang jauh, dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang banyak. Itulah kelebihan bapaknya yang luar biasa dikurniakan Tuhan, dapat mengetahui saat akhir ajalnya.
Kini di usia 40an, Jabar succes dalam hidup. Jabar anak sulung dari tujuh adik-beradik itu masih mengingati kenangan silam, pahit getir kehidupan walau kata orang waktu boleh menghakiskan kenangan. Sungguhpun Roslina tidak diketemui dan putus hubungan tetapi roh nasihatnya masih segar. Walaupun semua gambar-gambar indah bersamanya semasa persekolahan dulu sudah dibakar hangus untuk cuba menghapuskan kenangan tetapi rupanya kenangan sukar dipadam... Ia masih segar umpama embun pagi kata Jabar lagi. Silapnya, coretan nasihat Rosliana masih tersimpan kemas, tidak sampai hati untuk membakarnya cerita Jabar lagi.

Waktu tetap waktu tetapi kenangan tetap kenangan, tetap mengasyik dan menyakitkan... walau kita tahu, ingatan tak selamanya panjang.

Memang waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi jangka hayat kita tidaklah cukup... sebenarnya!


Diriwayatkan oleh: kajangboy62@hotmail.com

Sunday, January 3, 2010

MK versus MJ = MICHAEL JACKSON



Well anyway, seperti kelaziman setiap hujung tahun mesti ada bermacam jenis majlis penutup a.k.a pesta akhir tahun. Tahun ni penganjurannya agak lambat daripada sebelumnya disebabkan pelbagai rencah acara yang lebih penting. Hmm. Sesudah PrintWorks Awards hari tu, memang takde kedengaran langsung pasal AdNite party. Bajet ciput kot.

Persetan. Kami nak berpesta sakan juga. Small scale pun jadilah, asal boleh bersosial dan berparti. Budak-budak advertising memang kepala crack je. So, setelah masuk minggu kedua Disember barulah ada perkhabaran melalui e-mel pelantikan jadi committee. Dah agak dah. Muka aku dan barisan Geng 606 memang muka fotostat setiap kali ada event. Well, kalo takde copywriter in the team, siapa nak tulis itinerari, kad jemputan, design semua tu? You all can expect me in almost every event yang Ad Dept anjurkan.

Tahun ni tema malam pesta muda-mudi (sabar, jangan pakai seluar yankee and twist macam Pak Maon lagi) ialah masquerade party. Aku cantikkan lagi tema tu sebagai Masquerade Rhapsody: Preciously Magical. Akhirnya ada jugak. Tapi dengan tempoh masa yang cukup terhad (lagi dua minggu sebelum 2010 dan banyak cuti pada Jumaat), persediaan memang sungguh intensif. Perahan idea sampai kering kontang, kerja sampai lewat malam dan latihan ala koboi terbayang-bayang. Banyak benda yang kena rush, especially tang prizes and sponsorship. Kitorang di studio pun dah kena present mock-up logo, mock cheque, name plaque dan segala macam prop lain.

Kehangatan dan keghairahan berpesta bagi unit kitorang (S31) kurang meriah. Mungkin short notis kot. Dan mungkin jugak beberapa staf malas nak perform. Baru nak panggil dah kena reject "tak mau, tak nak." Diperkuatkan dengan Encik Mizan Tauke Gedung Serba-Serbi serta sekretari baru bos, Cik Shima Diam Berisi, aksi performance kami tahun ini bakal menjanjikan sesuatu yang berbeza terhadap ahli sedia ada seperti aku, Encik Muskamal Pereka Fesyen, Encik John Ross Alya Bertubuh Sasa, Encik Ezam Musibat Chelsea, Encik Zainal Jane Speaker juga penampilan khas Encik Jean Ally Todt. Latihan rasanya dijalankan sebanyak tiga kali sahaja; perbincangan idea bernas, sound mixing, penilaian dilakukan di meja kafe bertemankan Nescafe tarik dan Haji Marlboro Kretek.

Lokasi pesta muda-mudi tahun ni ialah di Centro@Sooka Sentral, KL Sentral. Dekat dengan pejabat. Dan disebabkan tema masquerade, aku rasa banyak kedai kostum, fancy dress dan parti menjadi laku dan kaya. Yelah, kalau dah nak berparti mestilah dressing kena dengan tema kan. Cari topeng, konsep pakaian, dress matching laa semua tu. Kitorang je menjenguk tiga kedai, termasuklah kedai runcit yang menjual topeng plastik RM 2.00 tu. Baru aku tau banyak kedai sebegini di ibu negara.

As for me, aku nak dress up berkonsepkan Ultraman... secara tepatnya, outfit The Ultra Brothers, Mebius Brace dan topeng Ultraman, aku melakukan semuanya sendiri. Cari baju turtleneck hitam, skaf putih, reben emas, vest kulit coklat di merata tempat. Perihal topeng, aku nak construct sendiri. Kerastangan la. Beli topeng kosong, tanah liat untuk acuan tambahan, gam kanji, spray paint dan pewarna lacquer untuk topeng Ultraman Mebius papier-mâché. Untuk mata, aku beli Kinder Joy dan spray. Kemain aku buat topeng tu dengan penuh iltizam dan kepayahan. Sentuhan terakhir aku buat di office pada hari kejadian. Belum cerita tang costume fitting lagi. Dari Sri Hartamas ke Desa Pandan, bermacam jenis kostum aku try... saja nak cari feeling.

Cukuplah merapu kat sini. Pada hari kejadian, kitorang
ke Centro dengan props. Mendung semacam je. Aku bawa R-Machine sebab senang nak berambus lepas pesta karang. Sambil membantu memasang dan mencantikkan tapak pesta, aku dan Farah duduk semeja membincangkan isi-isi program kerana kami ialah pengacara bidan terjun tak timbul-timbul untuk kali ini. Gila sial. Last minute tu. Kelam-kabut. Memang aku pernah jadi MC tapi tak segugup kali ni. Lepas tu, kami bersiap. Aku kena henshin (transform) kat tandas sebab ruang persalinan sudah dijajah takluk oleh the ladies and jurumekap. Kostum bertebaran menanti disarungkan. On the way, aku ternampak beberapa orang 'pramugari' Firefly (FY) dan kamera... oh yes, shooting siri Awan Dania rupanya. Dania? Mesti Sharifah Nor Azean "Scha" al-Yahya pujaan hati ada di situ. Takpe, itu kemudian cerita. Kang aku buat sendiri version Awan Dania tanpa watak Benji, Ehsan dan Sofia... hanya aku dan Dania. Hehehe (Awan Dania Musim Ke-2 di Astro Ria Ch. 104 setiap Isnin, 10.00 malam. I like!).

Sebelum show, berposing dulu...

Sambil menanti Farah siap dimekapkan untuk another round of practice, aku dan Muskamal makan dulu. Committee dinasihatkan agar makan sebelum event nanti tak sempat nak makan. Hidangan yang OK la bagi aku. Sedang enak bersantap Muskamal siap menggeletar terjatuh nasi dek teruja melihat Zura Sang Apsara Kayangan Seksi Berwarna Merah. Aku gelak je. Masa praktis MC tulah macam-macam hal berlaku demi memastikan program berjalan lancar dan meriah. Kesian aku tengok program coordinator, Faradina. Kudos to her for all the efforts. Memang sporting habis beb. Cayalah. Dan staf-staf advertising pun mula membanjiri kelab malam dengan pelbagai rupa dan gaya. Macam Penunggang Hantu Tanpa Rantai ada, Guy Fawkes ada, Lady Godiva ada, Grim Reaper ada, Bohemian, Venetian, Victorian, avant-garde pun ada. Ada yang setakat pakai mask biasa sekadar memenuhi syarat pun ada. Kilauan flash mula memercik di sana-sini.


King of Namrud bersama kuncu-kuncunya.

Ada yang sudah mula bergosip. Ada yang mula duduk minum harimau aum-aum dan sekeras-keras minuman. Ada yang sudah menggesel tubuh. Ada yang belum apa-apa hilang pedoman. Ada yang bercinta sakan. Ada yang menjadi paparazzi. Ada yang diam seribu bahasa. Pelbagai ragam kawan-kawan aku nampak.


Disebabkan beberapa VIP dijangka tiba lewat, maka majlis pun dimulakan. Kami berdua membuka majlis dengan meriah dan semua orang sudah ghairah. Kegugupan sudah hilang dan kegilaan sudah menguasai diri. Para tetamu mula makan. Dengan muzik DJ serta lampu ala disko, kemeriahan terasa. Aku pun merayap ler dengan cigar dan drinks. Hohoho. Bersosial sakan. Dan bila persembahan pertama bermula, aku mula nampak bintang dan planet serta rasa 'bertenaga.'


Sekali lagi aku terperasan para flight attendant FY ni di luar sana. Tanpa mahu melepaskan peluang, aku keluar dan mencari Dania. Dan inilah yang terjadi:

ArtD : Hi Dania! Sorry ler semalam I lupa tengok citer awak.
Scha : Hi wak! Ala takpe. Rilek ar. Ni nak ambik gambar ke? Korang ada apa kat dalam?
ArtD : Kitorang ada pesta muda-mudi hujung tahun. Memang na
k bergambar dengan you pun. Sudi ke?
Scha : Ah jom.


Dengan muka sengal persis wataknya, dan aku baru nak membuat muka tak betul maka klik kamera berbunyi. Perfect. Mesti isteri aku nak tengok. Mesti adik aku dengki punya. Dan mesti Muskamal panas hati.

ArtD : Thanks dear.
Scha : U too. Have fun ya!

Aku pun berlalu dari situ sambil menyanyi, "ku ingin terbang tinggi di awan, bersama bintang, bersama bulan..."


So show untuk unit kitorang plak. Aku muncul mula-mula sebagai Dato' M.Daud Kilau tak cukup sifat tapi terlebih gelek gerudi shuffle. Orang ramai bersorak sakan. Lagu "Gila Judi" plak tu. Aku tabur duit palsu... satu ringgit, dua ringgit... dan memang rasanya aku tengah high masa tu. Lepas tu Muskamal punya entry sebagai arwah Michael Jackson “Beat It” yang mendapat sokongan ramai juga dengan signature dance dia. Lepas tu, aku beraksi lagi sebagai Rahul Khanna (Shahrukh Khan) untuk lagu Koi Mil Gaya (I Found Someone) dari filem Kuch Kuch Hota Hai (Something Happens); dengan Ezam sebagai Anjali Sharma atau Tina Malhotra… tah mana satu. Nasib takde watak Ms. Briganza. Then, aku dan Ezam terpaksa henshin cepat-cepat untuk aksi Bandi Amuk. Dengan penuh perasaan, Ezam beraksi sebijik macam Bandi. Aku jadi gitaris ala-ala Faustzy Penaggal’s yang macam kerasukan santau tuju itik tahap pailang.

Aksi seterusnya ialah aksi panas membara dari John Ross Alya sebagai Shakira. Dengan gaya ular lidi seksi berbikini top, cleavage berbulu dan tubuh sasa, Shakira menggelek tak ingat dan menawan hati tetamu dengan pesona tersendiri menari ke arah penonton. Then, last sketch dari kami ialah scene lagu Malam Pesta Muda-Mudi… kali ini kelab Centro menjadi lebih hingar-bingar dan teriakan penuh emosi tatkala Encik Jean Ally Todt, yang selama ni keeping low profile sepanjang kariernya naik ke pentas sebagai the legendary Pak Maon. Dengan twist tak ingat, penuh ghairah dan tenaga, aku rasa macam nak diterkamnya si Shima yang jadi Saloma tu. Kitorang semua naik balik pentas menari ala Hussein Abu Hassan sebelum menamatkan persembahan dengan tawaf pentas ala Pak Maon dalam filem Nasib Do Re Mi. Superb sial!


Pak Meon tekan gear 5 joget a go go dalam lagu pesta muda mudi...

Aku meneruskan tugas sebagai MC berganti-ganti dengan Farah. Ada lagi persembahan lepas tu. Lepas tu terus buat lucky draws, anugerah staf popular, prom king & queen, persembahan terbaik dan tarian. Unit kitorang dapat pingat gangsa, tempat ketiga. Kami berpelukan dan high-five atas pencapaian yang agak OK la. Pastu ada acara potong kek hari lahir, pemberian cenderamata dan kemeriahan menari tanpa batasan. Dancing sampai pagi la dengan kepala sky high. Babes and boys bertaburan di dancefloor dan aku pun apalagi, berhantu la. Oh ya, kami juga menyaksikan persembahan khas daripada Ika Fancy yang provide kostum kepada para committee dengan tarian paperdolls, kabaret dan kathoey. Pergh, mantap. Bagai nak rak Centro tu, macam a-go-go kelab dah. Macam yang aku tengok kat Phuket hari tu. Siap ada yang mengangkang atas member aku tu. Tak tidur malam kot. Tapi ada seorang nyah tu memang lawa habis. Yaya namanya. Tapi dia sporting, dan banyak orang ambik pix dia.

Membolot hadiah, menang bergaya...

Sehinggalah habis event kira-kira pukul 1 pagi, aku jumpa semua friends and congratulated them for great party. Serius gila. Serius best. Memang fun. Tapi aksi aku tidak terhenti di situ sahaja. Oleh kerana ingin menikmati something hot and fulfilling, arena Leeya’s di hujung jalan dekat office dijadikan tempat lepak dan minum. Kasi kepala OK sikit. Balik rumah pukul 3 pagi camtu laa lebih kurang.

Sesekali daring...

Apa-apa pun, semua orang seronok dan gembira. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan malam penuh kemeriahan ini. Selamat tahun baru kepada semua, renung-renungkan dan selamat beramal.


Khallas dari,
http://rizaliskandar.blogspot.com/2009/12/wajah-wajah-di-sebalik-topeng.html/

WAJAH-WAJAH DI SEBALIK TOPENG


Sunday, December 27, 2009

Najat - Kehidupannya ibarat perjalanan sebuah bahtera yang tiada kemudi...


Kehidupannya ibarat perjalanan sebuah bahtera yang tiada kemudi, akibat tiada tanda penunjuk arah di lautan, bahtera menujah terus ombak ganas, ribut taupan dan batu karam...





Disurahkan, Dia berkahwin ketika berusia 12 tahun dengan seorang guru berumur 20an, di mana kawan-kawannya masih bermain tayang di bawah rumah. Takdir menentukan segalanya, keperitan hidup akibat kematian bapa semasa Jepun menjajah Tanah Melayu sekitar 1940an, membuatkan si ibunya mengambil jalan singkat. 

Perkahwinan adalah cara meringgankan beban si ibu membesarkan enam orang anak. Dan di sebuah malam tanpa bulan berlangsunglah perkahwinan serba ringkas. 

Umur 14 tahun dia melahirkan anak. Usia sementah itu dia terpaksa berpisah pula dengan anaknya ketika berumur empat tahun akibat emak mentua tidak menyukai dan menentang keras perkahwinan itu. Malah semasa anak sulungnya dilahirkan, si suami tidak pernah menjenggok dan bertanya khabarnya di kampung. Semasa anaknya berusia hampir empat tahun barulah si suami datang menjengok. Anehnya si suami yang kerkerjaya pendidik ini mengikut saja apa nasihat dan bentakkan ibunya tentang perkahwinannya itu.

Akibat pujukan dan kata-kata penuh kehalusan si anak di bawa ke Jerantut, Pahang. Kononnya melepaskan rindu dan akan dihantar kembali kepadanya. Terpisahlah ibu dengan anak... Si suami berjanji akan menghantar anaknya pulang tetapi itu semua janji kosong semata. Manis kata di bibir saja. Keikhlasan adalah sebuah cermin dan kini telah pecah berderai. Sementara si ibu tinggal di Kampung Dinggkir berdekatan dengan Kuala Krau kira-kira 30 kilometer jaraknya dengan Bandar Jerantut. Di waktu itu sekitar tahun 50an, perhubungan amat berbeza sekali dengan sekarang.

Dia bersama ibunya pergi ke Jerantut menjejaki anak sulungnya, iaitu di Kampung Mat Kilau tetapi emak mentua tidak melayan seadanya. Dia disumpah seranah dan makian berjela. Pulanglah mereka dengan rasa sayu dan hiba yang melimpah. Pernah satu ketika dia cuba menuntut anaknya tetapi emak mentuanya melarikan anak itu dalam kebun pisang. Adegan kejar-mengejar dalam kebun pisang waktu hujan panas petang cukup meninggalkan kenangan. Terguris hatinya dan pengalaman itu berjela-jela hingga membawa penyakit kronik...

Dalam usia 17 tahun dia telah menghadapi masalah hidup. Dia terus dilanda kemurungan, menangis dan menangis tanpa henti. Jauh di sudut hatinya terasa dia terlalu asing dan keliru. Dia disyaki terkena penyakit skizofrenia...

Apa itu skizofrenia? Istilah Greek bermaksud minda yang berpecah. Sejenis penyakit yang serius, sukar dicegah. Menyebabkan gangguan pada pemikiran, rasa dan tingkah laku. Doktor menyatakan ia berpunca dari perubahan biokimia dalam otak dan mengikabatkan perubahan personaliti, tingkah laku dan perpespsi. Pemumpuan pada penghidupan mula hilang dan sering mendengar suara-suara halus. Bertingkah-laku pelik dan suka menyendiri, syak wasangka yang keterlaluan. Sering bercakap dan ketawa sendirian dan sebagainya. Louis Wain pelukis terkenal abad ke-20, penghidap skizofrenia yang meminati kuching dan menterjemahkan dalam lukisan bentuk kuching yang berubah-ubah sehingga sangat menakutkan, menggambarkan tahap keterukkan penyakit yang dihidapinya.

Wanita yang mengalami psikosis sering mandakwa mendengar suara-suara halus dan melihat gambaran-gambaran menakutkan kata doktor yang merawatinya. Psikosis merupakan keadaan di mana individu terbabit 'hilang' sentuhan dengan dunia nyata. Wanita terbabit biasanya mendengar suara-suara halus, melihat 'sesuatu' yang tidak dapat dilihat orang banyak dan sering rasa bersalah atau orang lain bersalah.

Dia mungkin juga terkena penyakit meroyan sewaktu melahirkan anak sulungnya. Meroyan merupakan satu penyakit gangguan mental yang serius. Meroyan terbagi kepada dua iaitu Rasa Sugul postpartum blues PPB dan Rasa Murang postpartum depression PPD.

Rasa sugul dan murang yang dialami oleh sesetengah wanita ekoran perubahan paras hormon progesteron dan estrogen selepas melahirkan anak.



Ketika berusia lapan belas tahun sekitar tahun 60an, dia berkahwin pula dengan jejaka kampung. Hasil perkahwinan ini dikurniakan tujuh orang anak. Kenangan pahit waktu silam membibitkan tanda-tanda pembiakan penyakit. Dia diganggu penyakit risau dan murung yang berpanjangan mengakibatkan si suami tidak sehaluan lagi. Salah sangka mula bersarang. Sering-kali si suami diasak dengan banyak pertanyaan-pertanyaan yang mengelirukan. Berpisahlah mereka sekitar tahun 1973. Dia kini seakan-akan hidup terapung-apung seperti gabus botol di lautan luas...
Perceraian ini membarahkan penyakit. Akibatnnya anak-anak teranaya. Sering dia termenung dan melayan perasaan ketika belum berpisah dengan suaminya kata anak sulungnya. Membenci dan menuduh jiran-jiran dengan perkara-perkara yang tidak munasabah ciptaan sendiri. Dalam waktu perpisahan itu penyakitnya kian kronik. Sering menuduh orang sekeliling berniat jahat kepadanya. Anak-anak menjadi mangsa hinggakan untuk pergi ke sekolahpun dilarang dan dibantahnya kerana konon ada orang hendak membunuh anak-anaknya. Kehidupannya ibarat perjalanan sebuah bahtera yang tiada kemudi, akibat tiada tanda penunjuk arah di lautan, bahtera menujah terus ombak ganas, ribut taupan dan batu karam...

Sesuatu yang mengesankan kata anak sulung mengenai ibunya ialah sikap tidak putus asa. Percikan kenangan, ketika anaknya itu berumur sepuluh tahun disuruh memanjat pokok kelapa tinggi sedangkan anaknya tidak pernah pandai memanjat dan sangat gayat. "mengeletar lutut aku dan hampir terkencing dalam seluar...", katanya ketika mengenang kembali kisah silam itu. Ibunya siap memegang ranting kayu dan mengarahkan dan menunjukkan cara memanjat pokok kelapa itu hinggakan si anak berani dan berjaya menjatuhkan buah kelapa sebanyak mungkin. Kerana dia masih kecil lagi si ibu mengarahkan dia duduk atas dahan kelapa itu dan mudahlah dia menjatuhkan buah-buah kelapa itu. Motivasi separuh sedar ibunya ini bagus juga kata anaknya dan sambil menunjukkan parut bekas luka di peha dan dadanya akibat memanjat pokok itu. Kita jadi yakin kita boleh lakukan!



Di usia senja lewat 60an kini, dia banyak bergantung kepada ubat hospital seperti Chlorpromazine Largatil 100mg dan Benzhexol 2 mg kerana cara ubatan tradisional atau cara lain tidak lagi mujarab. Dia pernah menemui Pak Dukun dan Pak Dukun mengambil kain basahannya bersama jampi serapah dan menghanyutkan di sungai kerana konon penyakit sial itu akan hilang bersama kain mengikut arus sungai itu. Bomoh lain mengatakan dia dikhianati kerana kecantikkannya. Bekas suami pertama yang mendengkinya kata bomoh yang lain pula. Terkena sampok penunggu ketika berpindah ke rumah barunya kata bomoh yang lain-lain pula...

Salah satu cara rawatan Islam ditemui mengatakan makhluk halus sudah menghuni dan bersarang di tujuh tempat dalam badannya dan sukar dihapuskan kerana sudah terlalu lama makhluk itu mendiami tempat berkenaan. Satu-satunya cara menghapuskan ialah dengan cara berzikir yang berterusan. Pasakkan roh zikir itu ke tempat-tempat berkenaan nasihat perawat itu.

Pelbagai usaha dilakukan akhirnya menemui Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur dan diberi ubat-ubatan. Dia dinasihati agar memakan ubat-ubatan mengikut jadual yang ditetapkan. Penyakitnya tidaklah sembuh sepenuhnya tetapi dapat dikawal. Setiap sebulan ibunya digilirkan tinggal di rumah anak-anak seramai tujuh orang itu, mengikut rundingan yang telah dipersetujui bersama. Itulah ikhtiar anak-anaknya sebagai menghargai ibu kandungnya.

Ujian Tuhan, melalui derita kita jadi dewasa... doakan Siti Najat selamat...



Al Fatihah buat Umi!




Sunday, November 29, 2009

Iran - Di sebalik wanita berchador hitam



YB Ramlan dari
Malaysia dihantar ke Iran untuk mewakili
Internasional
Festival & Fairs of Press and News Agency ke 16.
Beliau seronok kerana sering dipelawa diambil gambar bersama
gadis-gadis cun Iran. Orang Malaysia baik-baik belaka berbanding orang Eropah kata
gadis-gadis itu kepada YB Ramlan. "Aku nak bawak sorang balik Malaysia... boleh?
Messi, kata Ramlan menggunakan bahasa Farsi bermakna terima kasih... tapi sistem Intenet yang teruk merencatkan hala-tuju hubungan dengan gadis-gadis itu. Bayangkanlah nak mengases masej, jpg @ etc... memakan masa berjam-jam... boardband tak lepas semua kena blok oleh penguasa... keluh YB Ramlan dan penganjur Festival...


Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.

Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran atau Parsi. Mereka semua beragama Islam  aliran Syiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni.

Ahmadinejad mewakili golongan bawahan  kaum tani di kampung-kampung dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini dimanifestasikan melalui organisasi Basij.

Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau soldadu Penjaga Revolusi. Ia adalah pasukan tentera yang muncul di zaman Ayatolah Khomeini untuk memantapkan revolusi.

Hakikatnya dasar Ahamadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin men-tua-kan naluri muda mereka. Di tahap sejarah pada Jun 2009 ini, anak-anak muda ini sedang berpayung bawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan olehnya.

Untuk sementara waktu, Ahmadinejad adalah presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat bawah Barack Obama  untuk kepentingan berjangka panjang  tidak akan menggugat Iran.

Apa sebenarnya terjadi di Iran?

Hishamuddin Rais | 25 Jun, 09 2:01pm

.............................................


Maintaining Stability Iranian Style
......................................

Aqil Fithri, adalah aktivis media alternatif, merangkap editor ummahonline.com, sebuah majalah internet yang menganjurkan wacana jamak perspektif. Beliau boleh dihubungi menerusiaqil@ummahonline.com. Artikal berkenaan perjalanannya di Iran dilampirkan untuk tatapan....

Setelah empat tahun bergumul dengan ujikaji ¨pokok gelam,¨ akhirnya teman semakmal telah pulang ke republiknya dengan ijazah kedoktoran. Terpancar riak kepuasan dalam wajah pekat Farsinya. Kali ini, sudah tentu mereka seisi keluarga bakal menyambut Nouruz dengan penuh ria, berhias tanah kandungnya, dan tanpa lagi duka kerinduan. Kami bertukar hadiah. Sebagai tanda kenang-kenangan, saya hadiahkan kain songket Terengganu.

Sebenarnya, mereka ternyata senang sekali di sini. Rakyat Malaysia, bagi mereka, sangat beruntung. Di sini, bukannya seperti Iran, yang memerlukan pakaian yang berbeza setiap kali berdaur musim. Selama empat tahun juga, anak-anak kecilnya sudah mula berbicara dalam Bahasa Melayu. Kelak barangkali, bila dimamah ruang, tentu kepetahan lidah Martha dan Pouya akan surut. Yang tinggal mungkin hanya perkataan, ¨makan¨ atau “pakcik” saja. Nanti, ruang akan menguji mereka, betapa tebalnya Farsi mereka–setebal nama-namanya, yang jelas mengusung identiti asli Shiraz mereka, jantungnya bumi Cyrus itu.
Saya dikira agak bertuah. Darinya, saya maklum beberapa hal tersorok tentang republik ini.

Selain itu, menerusi buku-buku cadangannya, saya diceritakan yang negara tersebut cukuplah meriah, serta penuh dengan alunan tradisi, bagaikan cerita-cerita kayangan dari sang fereshteh (malaikat). Tapi, haktula (stereotype) setiap cerita tentu ada kesah indah berbaur suram. Cerita tentang Republik Islam Iran juga sama sekali tak terpisah dengan haktula tersebut. Ketika Terence Ward dan keluarganya mencari kembali Hassan, Fatimeh, dan anak-anaknya, maka segala denyut yang dirasainya tentang republik ini diluahkan dengan anggun sekali dalam Searching for Hassan: A Journey to the Heart of Iran.


Bagi saya, catatan kembara ini betul-betul mengesankan, dan juga mengesahkan terhadap segala maklumat-hidup yang diterima sebelum ini. Memang benar, kisah yang indah memang mudah saja berbaur dengan yang suram. Sampai-sampai saja, natijah dari lembar-lembar terakhir buku ini telah mendorong saya merumuskan, ¨…adalah tak mungkin hampir seluruh Farsi menjadi muslim, sekiranya Ahuramazda, Ahriman, tidak ditandingi oleh sosok-sosok dalam Islam. Bahkan, takkan mungkin Avesta disisihkan mereka, jika tanpa adanya al-Qur´an dan Nahjul Balaghah.¨



Gadis comel Iran bergaya bersama bendera negaranya.


Iran, saya kian pasti, adalah sebuah negara yang sangat rumit. Meskipun budaya-bangsanya persis seragam, tapi etniknya sangat berbilang. Ini merangkumi antara Yahudi, Turkis, Arab, Gilani, Uzbek, Armenian, dll. Bertembung dengan sejagatisme, Iran cuba menyesuaikan diri antara tradisi dengan kemodenan. Kemudian sejarahnya antara Islam dan Zoroastrian turut mengendong kelelahan zaman. Ini tidak termasuk lagi dikotomi antara Sunni dan Shi´ah, serta pertarungan identiti mereka antara Timur dan Barat, yang masing-masing memantulkan rencamnya yang tersendiri.


Memang rumit. Lihat sajalah bagimana mutakhir ini kekuatan reformisme di Iran beradu dengan kekuasaan fundamentalisme. Jelas, kalangan mullah tampak tidak senang dengan kalangan intelektual yang mahukan lebih keterbukaan. Kritik pada konsep Velayat ul-Faqeh sering saja membuak kontroversi serta emosi. Tradisi pula sering dianggap belakangan, manakala kemodenan cuba ditawarkan sebagai alternatif. Saya fikir, tanpa pergelutan seni ini, takkan mungkin ada idea-idea menarik yang terbit dari Mehdi Bazargan, Ali Shariati, Jalal-e Ahmad, Ahmad Kasrawi, Abdolkarim Soroush, dll.



Gadis Moden Iran yang sering diketemui memakai chador membeli-belah.


Di samping itu, Iran juga tersimpang antara Islam dan Zoroastrian. Pengalaman bangsa ini yang sarat sejarah Zoroastrian-nya sukar untuk dilenyapkan. Sebaleknya, saya sendiri amat tidak selesa dengan sebarang cubaan ke arah menyingkirkan segala yang berbau Zoroastrian dari lubok Farsi ini. Islam, seperti yang diajar Nabi pada kita, hadhir bukan untuk menghapuskan sejarah lepas, tapi untuk membentuk sejarah masa depan. Inilah yang diterjemahkan Islam menerusi “revolusi keruhanian” yang ketara terzahir dari pengislaman hajj. Maknanya, ilmu akan terus lestari, ibarat selestarinya kuil api di Pasargadae.

Buat saya, itulah makna terbaik dari Islam: meleburkan segala sempadan fizikal.
Sebab itu, Islam di dataran Fars ini amat berlainan. Islam di sini memuatkan kebitaraan berbanding negara-negara muslim yang lain. Iran adalah tanah Shi´ah—wilayah yang tegas mendukung keluarga Nabi. Ini jelas terpapar sewaktu ketibaan Muharram, bagaimana mereka memerahkan tanah buat keluarga adiulung ini. Tapi, sayang lagi, kekeliruan ada di mana-mana. Khalayak Iran, meskipun mereka mempunyai Ruhollah, tetapi tetap saja keliru. Sama seperti sebahagian kita, yang menganggap kononnya chador adalah pakaian Shi’ah. Tapi hakikatnya itu adalah budaya abadi mereka semenjak Sassania lagi. Sebab itu, Islam yang meriah harusnya difahami dengan qalb, bukannya dengan ta’asub dan jahil!



Duit Iran Riyal atau Toman.
Nilai Rials 50,000 - RM18.00


Kemudian, tatkala Barat bertandang di ranah Elburz ini, terutamanya bermula dari Revolusi Perlembagaan 1905, Nyah-revolusi Mossadeq 1953, dan Revolusi Islam Iran 1979, lalu Iran menjadi sorotan perdana atas pertarungan kental antara Timur dan Barat. Dalam faham kolonialisme, Barat datang dengan agenda. Anglo-Iranian Oil Company, pada Shahanshah, harus diserahkan pada perusahaan Barat.

Tapi, kehendak rakyat berbeza–mahu dimilik-negarakan, bukannya dicekik oleh penjajah! 1979, akhirnya Barat kecundang jua atas nama revolusi. Meskipun Iran itu sendiri bukanlah sepenuhnya boleh dianggap bangsa Asia–lebih-lebih lagi mereka berselisih pula dengan Irish–itu semua tidaklah menjamin simpati Iran buat Barat.


Itulah tegarnya Iran yang kita kenal dewasa ini. Sebuah permaidani buat ruang, bukan buat waktu. Negara yang dianggap Donna, ibu Terence Ward itu, sebagai telah melampaui segala kewujudan agama-agama. Mereka akhirnya menemui mojezeh menerusi kembara mustahilnya dalam mencari kembali keluarga Hassan–keluarga gajian mereka yang telah lama terputus berita. Larut dalam sejarah panjang pergunungan Zargos ini, perasaan Donna tersusun dalam ungkapan: jika ditanya apa agamaku, akan kujawab agama Hafez.

Pujangga besar kesayangan bangsa Arya ini telah pun lama pergi. Tapi, suaranya sentiasa berpuisi dalam sanubari hati-hati mereka yang cintakan “kerumitan yang tersembunyi.”



Ramona Rina, model Iran dari Worldwide Wednesday: The 9 Hottest Iranian Women.

Kini, tanah di mana terletaknya Persepolis, bukti awal tamadun dunia, sedang bersiap meraikan 30 tahun revolusi Islam mereka. Di sana, 11 Februari setiap tahun, di Medan Azadi, akan dikenang sebagai hari hebat buat sejarah moden mereka. Di sini, saya juga tidak ketinggalan merayakannya. Tapi–dengan segala ceruk pengetahuan Iran yang dikenal hari ini–maka sambutan kali ini akan saya raikan dengan sebuah pertanyaan lengai, ¨apakah mungkin Tuhan telah tersalah menurunkan Revolusi Islam Iran 1979?¨

Gambar/ilustrasi sekadar hiasan.
Photo/illustration for display purposes.



Aqil Fithri, adalah aktivis media alternatif, merangkap editor ummahonline.com, sebuah majalah internet yang menganjurkan wacana jamak perspektif. Beliau boleh dihubungi menerusiaqil@ummahonline.com.

Jan 30th, 2009