Riwayat
UNGKU AZIZ
- Asmah Haji Omar
DBP 2015
Ungku Aziz orang berbangsa,
Kepada negara banyak berjasa;
Ilmu pengetahuan minat utama,
Dari kecil hingga dewasa...
................................
BIODATA
Ungku Aziz dilahirkan di luar negari dan ibunya adalah seorang wanita keturunan Turki yang telah memeluk Islam. Ayahendanya mendirikan rumahtangga pada tahun 1920 dan Ungku Aziz adalah satu-satunya anak tunggal yang menjadi harapan dan tempat tumpuan kasih sayang ayahendanya hingga ke akhir hayatnya. Ayahenda Ungku Aziz pun tidak mempunyai saudara yang ramai. Beliau mempunyai seorang abang bernama Ungku Aziz yang kemudiannya bersusah-payah memujuk adik-adiknya supaya pulang ke tanah air, Bonda mereka kebetulan juga seorang wanita Turki yang dibawa pulang ke tanahair oleh ayahenda mereka iaitu nenda Ungku Aziz, Ungku Abdul Majid, Isteri Ungku Aziz sayangkan Ungku Aziz hingga akhirnya Ungku Aziz diberi nama serupa dengan suaminya yang kebetulan adalah ayah saudara pada Profesor Ungku Aziz sendiri.
Lima tahun selepas kelahiran beliau di Kota London pada 28 Januari 1922, Ungku Aziz dibawa pulang ke Batu Pahat, Johor. Oleh kerana ibunya, sudah meninggal dunia sejak berumur dua tahun, seluruh pendidikan yang mempengaruhi hidupnya adalah dari ayahenda beliau, Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abduul Majid.
Ayahenda beliau telah membawa diri ke London untuk beberapa ketika akibat kecewa dengan krisis keluarga yang timbul. Sehingga abangnya Ungku Aziz pergi ke London menjemput beliau kembali dan membawa Ungku Aziz sendiri yang pada masa itu masih kecil pulang ke tanahair. Di waktu kematian isterinya, Ungku Abdul Hamid begitu kecewa sekali. kesaedihan dan kasih sayangnya pada isteri tercinta hampir-hampir menjadikan matanya buta kerana air mata tangisan.
Ibunya meningal dunia ketika Ungku Aziz berusia dua tahun.
Dia adalah seorang wanita keturunan Turki.
Setelah ibunya meninggal dunia pada tahun 1924, Ungku Aziz yang masih kecil itu diasuh oleh nenda dan ayahendanya. Banyak kenangan manis di waktu kecil yang masih segar dalam ingatannya. Antaranya ketika beliau bersama-sama ayahnedanya menghabiskan cuti sambil melawat negara-negara Eropah.
Ke manakah tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Begitulah dengan Ungku Aziz, kepintaranya diwarisi dari ayahendanya, seorang pelajar Universiti Cambridge ketika itu. Ayahnedanya dapat menguasai beberapa bahasa termasuklah bahasa Parsi, Arab dan Sanskrit. Beliau tidak suka menonjolkan dirinya tetapi ilmu pengetahuannya bukan sedikit. Sikapnya yang sukakan ilmu menjadikan anaknya Ungku Aziz begitu biasa dikelilingi belbagai buku di rumahnya sejak kecil lagi. Walaupun jauh di rantau orang, namun hatinya tetap kasihkan negaranya. Beliau pernah mengatakan sendiri kepada anaknya Ungku Aziz bahawa beliau tidak mahu anaknya itu dewasa sebagai seorang Inggeris, lebih-lebih lagi ketika menghembuskan nafas yang terakhir.
Memandang dan memikirkan masa depan anaknya Ungku Aziz, beliau telah bersetuju untuk pulang semula ke Johor. Dalam teras pendidikannya pada Ungku Aziz, ayahenda beliau begitu tegas sekali dalam memastikan anak tunggal kesayangannya itu membesar dan hidup sebagai seorang melayu. Oleh itu meskipun beliau dilahirkan di Kota London, namun pendidikan yang mempengaruhi perwatakan beliau tidak sekali-kali menggugat keutuhan jiwa kemelayuan beliau.
Ada tiga faktor utama yang mempengaruhi minat beliau untuk membaca. Beliau membaca untuk mendapatkan pengetahuan. Membaca sebagai satu pekerjaan dan membaca sebagai satu kerehatan. Presiden John F. Kennedy umpanya dikatakan boleh membaca hingga tiga ribu perkataan seminit. Ungku sendiri begitu berusaha untuk mencapai seribu perkataan seminit...
"Tidur 10 minit besar kesannya untuk memulihkan tenaga", Ungku Aziz
Puan Azah seterusnya berkata bahawa suaminya adalah orang yang hidupnya amat teratur, misalnya pakaiannya, makan minumnya semenjak akhir-akhir ini lebih menjaga kesihatan. Ini semua penting baginya, Ungku tidak suka makan sebarang makanan. Dia cuma makan waktu makan kalau bukan waktu makan. dia tidak makan. Dia percaya makanan hanya untuk bermanfaat bagi kesihatannya. Selalunya untuk sarapan pagi dia makan cereal jenis yang ada protein yang tinggi, susu dan buah-buahan. Beliau banyak makan buah-buahan sepanjang hari.
Waktu pagi hanya sekeping besar buah betik, tengah hari lepas makan mesti ada nenas. Untuk menjaga berat badan dia membuat teh tidak dicampur gula hanya susu sahaja. Menurutnya gula tidak mengandungi khasiat hanya mengemukkan badab sahaja. Kemudianya beliau berjogging dan bila pulang hanya minum segelas air limau. Selepas mandi belaiu bersarapan dengan kopi pahit sahaja.
Selalunya tengah haribeliau tidur sekejap. Sekurang-kurannya 10 minit. Beliau percaya tidur 10 minit besar kesannya untuk memulihkan tenaga menghadapi tugas-tugas sebelah petang.
Ungku Aziz sangat meminati Picasso jadi boleh dikatakan setiap buku Pisacco ada di rumahnya. Minat Ungku adalah luar biasa dan luas sekali, merangkuni kebudayaan Islam, seni muzik Islam dan ekonomi Islam.
Y.M. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan dan seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, merupakan keturunan Diraja Johor. Beliau berkahwin dengan Pn. Azah Aziz dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Y.M. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang.
Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru, kemudian di Sekolah Bukit Zahrah dan seterusnya di English College, Johor Bahru. Beliau menyambung pengajiannya di Raffles College, Singapura. Mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi (Kepujian Kelas Pertama) di Universiti Malaya Singapura pada
1951. Kemudian mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi di Waseda University, Tokyo 1964.
Perkhidmatan
Beliau pernah menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) dan kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1949-1960). Pada tahun 1960-1965, beliau dilantik sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian dilantik sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (1965-1968), seterusnya dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya dari tahun 1969-1988.
Anugerah
Y.M Ungku Aziz telah dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) oleh DYMM Seri Paduka
Baginda Yang Dipertuan Agong pada 17 Jun 1978. Beliau pernah memenangi Hadiah International Academic Prize of The 4th Fukuoka Asian Cultural Prizes 1993 by the City of Fukuoka. Pada 1997 beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Pada 21 Julai 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara.
Beliau telah menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei 2005 oleh Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Seterusnya pada 25 Jun 2005 beliau telah dianugerahkan Tokoh Ekonomi Melayu oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Anugerah terbaru yang diterima oleh YM Profesor Diraja Ungku A. Aziz ialah Anugerah Akademik Negara 2006 sempena Majlis Pengisytiharan Universiti Penyelidikan dan Anugerah Akademik Negara
2006 pada 2 Ogos 2007 oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Aktiviti Semasa
Antara penglibatan beliau dalam Institusi Kebangsaan
a) Yang Dipertua, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) (Mac 1971-)
b) Ahli Lembaga Pengarah, Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad (KKUM) (1968-)
c) Fellow Kehormat, Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (1.10.2005 - 30.9.2008)
d) Ahli Majlis Tadbir Urus, Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa, Bank Negara Malaysia (INCEIF Governing
Council) (2006-2009)
Antara penglibatan beliau dalam Syarikat Korporat
a) Pengarah PLUS Berhad (9.9.1988-)
b) Pengerusi, Cosmopoint Sdn Bhd (25.9.1995-)
c) Pengarah PLUS Expressways Berhad (11.3.2002-)
Pak Ungku office and family 1988
People in the picture: V.T. Ratnam - Ketua Penolong Pendaftar, 1988
Hubert Kok - Timbalan Bendahari, 1988
Puan Azah Aziz, 1988
Prof DiRaja Ungku A Aziz, 1988
Hadri bin Hj. Asmawi, Bendahari, 1988
Yoong, Penolong Bendahari, 1988
Sarimah Samad, Penolong Pendaftar,1988
Anthony Wee, Kerani Kanan, 1988
Ir. Ng, 1988
Ir. Mohd Sabri, 1988
People in the picture: V.T. Ratnam - Ketua Penolong Pendaftar, 1988
Hubert Kok - Timbalan Bendahari, 1988
Puan Azah Aziz, 1988
Prof DiRaja Ungku A Aziz, 1988
Hadri bin Hj. Asmawi, Bendahari, 1988
Yoong, Penolong Bendahari, 1988
Sarimah Samad, Penolong Pendaftar,1988
Anthony Wee, Kerani Kanan, 1988
Ir. Ng, 1988
Ir. Mohd Sabri, 1988
Antara sumbangan utama beliau kepada negara ialah:-
* Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membantu bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) II.
* Pencetus idea penubuhan
- Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LTH)
- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
- Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa)
- Universiti Malaya
- Akademi Islam
- Pusat Asasi Sains
- Pekan buku.
Beliau telah dianugerahkan gelaran Professor Diraja pada 17 Jun 1978. Beliau juga menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama ‘Anugerah Melayu Terbilang’ sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei 2005. Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Bersama isteri, Pn. Azah Aziz dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu
Y.M. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang.
Dari kaca mata YM. Professor Diraja Ungku Abdul Aziz,
“Rajin Berkerja, Rajin Bercakap” - Bagus
“Rajin Berkerja, Malas Bercakap” - Kena Buli
“Malas Berkerja, Rajin Bercakap” - Wayang Cina
“Malas Berkerja, Malas Bercakap” - Tak Guna
“Malas Berkerja, Suka Mengadu” - Lalat Hijau
“Malas Berkerja, Suka Ponteng” - Lebih Baik Berhenti
“Malas Berkerja, Suka Termenung” - Lebih Baik Mati
...................................
Sikap "kiasu"
Prof Diraja Ungku Aziz, tokoh akademik yang sering mencetuskan pelbagai idea untuk membasmi kemiskinan Bumiputera, mencabar masyarakat itu supaya menjadi lebih berani dan mengamalkan sikap "kiasu" iaitu tidak mahu mengalah, ke arah menjadi usahawan berjaya.
"Kiasu adalah perkataan Hokkien (bermaksud takut kalah) yang popular dalam kalangan rakyat Singapura. Saya berpendapat masanya sudah tiba bagi penduduk luar bandar kita turut mempunyai sifat kiasu dan menjadi agresif sedikit.
"Disebabkan kiasu ini, seseorang itu akan kata dia mahu menjadi yang terbaik, menjadi nombor satu. PM (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pula bercakap mengenai 'towering Malays' (Melayu hebat). Namun tidak semua Melayu boleh menjadi hebat tetapi semuanya boleh mempunyai sifat kiasu.
"Saya rasa penduduk luar bandar bersifat kompleks, pemalu, terlalu baik hati untuk menyemai sifat kiasu ini. Ini adalah satu daripada perkara penting untuk menjadi seorang usahawan Bumiputera yang berjaya," katanya.
Ungku Aziz berkata usahawan Bumiputera harus mempunyai kemahiran berfikir, sesuatu yang tidak diajar di sekolah, bagi memahami perkara seperti pengurusan risiko dan perakaunan asas.
Katanya usahawan yang baik perlu mempunyai sifat sadiq, amanah dan telus.
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini berkata : "Sadiq bermakna yang benar...bercakaplah apa yang benar.
"Kita juga mesti amanah, yang bermakna kita hendaklah menjadi orang yang boleh dipercayai...jika berjanji, tunaikan. Kalau tak mampu, jangan berjanji.
"Kita juga hendaklah telus. Amalan menyogok untuk menjalankan sesuatu urusan tidak baik untuk pembangunan luar bandar.
"Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah semua pihak yang terlibat dalam pembangunan luar bandar mestilah telus, bermakna mereka mestilah terbuka, tidak memihak kepada sesiapa dan memilih kasih."
Ungku Aziz juga meminta usahawan luar bandar mengamalkan 4 S iaitu Sopan, Santun, Selalu Senyum.
"Dengan 4 S ini, anda akan menjadi ahli perniagaan dan usahawan yang baik," katanya.
Beliau juga berharap untuk melihat satu "ledakan bumi" di luar bandar, seperti fenomena "ledakan bayi" yang berlaku apabila tentera pulang daripada Perang Dunia.
"Mereka (Bumiputera) mesti meledak dan berkembang dengan banyak untuk menjayakan program pembangunan luar bandar," katanya.
Ungku Aziz juga bercakap mengenai perlunya "perubahan generasi" bagi membolehkan usahawan muda mendapat peluang menikmati pekerjaan lebih baik dan mengumpul kekayaan di sektor luar bandar.
"Ini akan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan lulusan universiti," katanya.
Ungku Aziz berkata produktiviti yang rendah merupakan satu masalah yang melibatkan modal insan di luar bandar.
Katanya tumpuan perlu diberi ke arah mengutamakan penduduk luar bandar dalam pelaksanaan program modal insan.
Beliau juga berharap untuk melihat kurangnya projek infrastruktur besar yang berprestij, bangunan contoh, malahan jambatan.
Ungku Aziz mengaitkan kemiskinan luar bandar antaranya kepada salah pengurusan hutan tropika dan dasar imperialis penjajah yang memusnahkan sistem sosial, menjejaskan kestabilan pertubuhan politik dan hubungan budaya masyarakat.
"Oleh itu, kita perlukan satu penyusunan semula tanah bagi melindungi petani luar bandar kerana penggunaan tanah masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat semasa era
imperialisme," katanya.
Ungku Aziz juga meminta usahawan
luar bandar mengamalkan 4 S iaitu Sopan, Santun, Selalu Senyum.
Nilai Seorang Pekerja Di Mata Prof. Diraja Ungku Aziz
Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.
Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.
Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.
Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.
Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja
kilang.
Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?
Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.
Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?
Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.
Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru,wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat.Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.
Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat?Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.
Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.
Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.
Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan,banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.
Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.
Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.
Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.
Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.
Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.
Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969,tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.
Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.
Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.
Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.
Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.
Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan,maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.
Tetapi itulah minda Melayu sekarang.
Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.
........................................
Profesor Ungku Aziz sedang menyuraikan demonstrasi ...
Profesor Ungku Aziz sedang menyuraikan demonstrasi pelajar di hadapan Dewan Tunku Canselor.
Profesor Ungku Aziz sedang menyuraikan demonstrasi pelajar di hadapan Dewan Tunku Canselor.
"Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai."
Untuk menjadi seorang Melayu Unggul atau yang Terbilang, seseorang perlu mempunyai prinsip dan halatuju hidup. Halatuju hidup Pak Ungku Aziz adalah berteraskan kepada apa yang diutarakan oleh Allahyarham Pendita Za'aba iaitu: "Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai."
Kata Pak Ungku lagi, Segala kejayaan seseorang itu adalah terletak kepada "dirinya sendiri."
Di dalam temubual ini Pak Ungku telah menyentuh tentang kehidupan remaja, bagaimana mereka menjalani hidup mereka, dan beberapa perkara yang boleh mempengaruhi hidup mereka.
Ini termasuklah peranan media - elektronik, cetak dan maya - yang membentuk minda dan khayalan mereka, dan pendidikan.
Ini telahpun saya tekankan dalam penulisan awal saya berjodol "Secebis Pendapat" yang memperkatakan tentang beberapa "sistem" menjana "social engineering" dalam pemerintahan negara yang perlu diberi perhatian serious dan memerlukan perubahan mengikut acuan yang berpaksikan ala-Malaysia.
Akhir sekali, Pak Ungku menekankan peri pentingnya ditanamkan sifat-sifat atau nilai-nilai positif seperti "berani, jujur, amanah, berhemah, rajin, mempunyai cita-cita tinggi, dan sentiasa suka berkata benar" kepada para remaja kita yang
bakal memimpin negara.
Sehubungan dengan ini, maka perjumpaan yang akan membincangkan "Social Engineering" oleh mantan Perdana Menteri kita, YAB Tun Dr Mahathir Muhamad, pada 25 Mei nanti, bukan saja relevan kepada apa yang diperkatakan oleh Pak Ungku itu, malah penting dan kena pada masanya.
"Social Engineering" hendaklah bermula dari awal, sepertimana kata Pak Ungku, "melentur buluh hendaklah dari rebung."
Saya kira ia harus bermula dari peringkat tadika lagi, sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi dengan kibutsnya, orang German, orang Jepun, Korea, China, Singapura dengan "PAP Kinergatennya", dan lain-lain lagi.
--------------------------------------------------------------------------------
`Hidup bukan Que Sera, Sera'' - Usaha capai keperibadian unggul
bergantung kepada diri sendiri
``Saya sebenarnya takut. Secara peribadi (anugerah) ini membimbangkan saya kerana menjadi terbilang bermakna lebih tinggi daripada orang lain.
``Saya tidak fikir sesiapa saja yang berjaya suka merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, melihat semua orang lain duduk di bawah,'' kata Pak Ungku kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI yang menemu bualnya, petang kelmarin.
Temu bual tersebut diatur untuk mencungkil pandangan beliau mengenai personaliti Melayu unggul serta usaha-usaha yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita itu.
``Kalau kita hendak kenal orang Melayu yang unggul dan berjaya, atau mahu mewujudkan acuan yang boleh dicontohi, kita sebenarnya bercakap tentang hal-hal yang sepatutnya ada pada orang Melayu,'' katanya.
Pak Ungku menggariskan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan dalam usaha untuk membentuk personaliti yang diharap akan dapat mengangkat martabat orang Melayu itu.
Menyentuh soal pendidikan, beliau mencadangkan beberapa perubahan yang perlu dilakukan untuk melahirkan generasi masa akan datang yang unggul.
Beliau menyebut juga tentang pentingnya sukan bagi melahirkan masyarakat yang sihat.
Pak Ungku juga mengulangi keyakinan yang dipegangnya tentang hubung-kait antara pemakanan yang seimbang dan kecemerlangan bangsa - teori yang dipegangnya sejak
membuat kajian tentang pembasmian kemiskinan pada tahun 1970-an.
Disamping itu, ada satu lagi perkara penting yang dibangkitkan oleh tokoh akademik yang kuat membaca ini.
Beliau menyarankan semua orang Melayu supaya membaca buku tulisan Pendeta Za'ba, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri.
Katanya, "dalam buku itu ada amanat penting Za'ba yang menunjukkan jalan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul,"
MINGGUAN: Bagaimanakah kita boleh melahirkan Melayu unggul? Apakah yang seharusnya dilakukan?
UNGKU AZIZ: Kita perlu terlebih dulu memahami perjalanan hidup manusia atau apa yang disebut oleh William Shakespeare sebagai tujuh peringkat umur manusia.
Ini proses hidup yang lazimnya dialami oleh setiap orang. Dalam melalui satu demi satu peringkat umur itu, cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana hendak mengenal jalan ke arah kesempurnaan - untuk jadi berjaya dan unggul - serta
memahami falsafah -falsafah yang berkaitan.
Saya sebenarnya banyak terpengaruh dengan buku yang ditulis oleh Pendeta Za'ba iaitu "Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri."
Saya suka hendak mengulangi falsafah yang diungkapkan oleh Za'ba bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri.
"Semuanya datang daripada diri kita sendiri. Berapa banyak pun seseorang itu berdoa tidak ada jaminan bahawa dia akan mendapat apa yang diinginkan melainkan melalui usaha."
Kalau berusaha, kemungkinan untuk dia mendapatkannya ada.
MINGGUAN: Apa kaitannya falsafah Za'ba itu dengan peringkat umur manusia?
UNGKU AZIZ: Mencari keunggulan adalah satu usaha. Semasa berumur sekitar 15 tahun, seseorang itu umumnya tidak begitu bertanggungjawab - ada tanggungjawab tetapi tidak banyak. Apabila meningkat dewasa tanggungjawab itu bertambah, dan
beban mencari kesempurnaan juga bertambah.
Masa depan seseorang apabila dewasa - apa yang akan berlaku apabila umur meningkat - bergantung kepada apa yang dilakukannya semasa remaja.
Kalau pada peringkat awal sudah tidak betul, kesannya juga mudarat. Ini sesuatu yang sangat serius.
Kalau sudah dewasa dan sudah menentukan hidupnya sendiri, persediaan seseorang itu untuk menghadapi hidup seharusnya sudah lengkap.
Itu sebabnya saya melihat zaman remaja sebagai satu tempoh yang sangat penting dalam kita hendak membentuk peribadi yang dikatakan unggul itu.
MINGGUAN: Kenapa golongan remaja?
UNGKU AZIZ: Kalau kita mahu membina personaliti unggul kita harus melihat kepada remaja. Kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung.
Masa depan itu ada di tangan mereka. Ini bukan satu pandangan yang klise tetapi ini realiti. Gambaran masa depan kita ialah bagaimana keadaan remaja pada hari ini.
Tidak ada orang yang dewasa tanpa melalui zaman remaja. Orang banyak terlupa tentang hakikat ini. Kita tidak ada pilihan sebenarnya - bagaimana keadaan kita pada hari ini begitulah keadaannya pada masa depan.
MINGGUAN: Bagaimana Pak Ungku melihat remaja hari ini?
UNGKU AZIZ: Kita jangan terlalu cepat menyalahkan remaja, mengatakan mereka hanya suka melepak, pemalas dan banyak angan-angan.
Kita sepatutnya cuba memeriksa bagaimanakah keadaannya menjadi remaja pada zaman ini, pada tahun 2005 ini.
Ini topik kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Saya sebenarnya banyak memikirkan hal ini: Bagaimanakah kita boleh memahami masalah utama remaja Melayu pada hari ini? Ada banyak masalah, dan masalahnya pelbagai.
Tetapi pada umumnya saya rasa remaja hari ini mengalami krisis jati diri. Mereka tidak dapat menjawab dengan tegas soalan yang ditanya oleh (ahli falsafah) Socrates: ``Siapakah aku?''
Kepada saya, setiap remaja sepatutnya selalu bertanyakan soalan itu kepada diri sendiri, dan harus ada jawapan yang memuaskan hati.
MINGGUAN: Kenapa soalan itu?
UNGKU AZIZ: Hidup ini bukanlah seperti lagu Que Sera, Sera - apa hendak jadi biarlah terjadi. Masa depan itu terpulang kepada kita sendiri.
Ini berbalik kepada falsafah Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.
MINGGUAN: Apakah krisis identiti yang dihadapi oleh remaja Melayu?
UNGKU AZIZ: Remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Kenapa jadi begini? Ini teori saya; kalau salah, salahlah saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.
Saya rasa orang yang hendak mencari jati diri mesti boleh bertanya dan menjawab soalan Socrates itu. Tetapi mereka pada hari ini sukar hendak menjawab soalan itu kerana disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian. Inilah masalahnya.
Saya minta maaf kerana terpaksa menyebut siapa yang bertanggungjawab besar dalam perkara ini...(ketawa)
MINGGUAN: Media, maksudnya?
UNGKU AZIZ: (Ketawa) Inilah masalah yang paling besar. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina celebrity.
Orang tertarik kepada celebrity dan kemudian meresap masuk ke dalam identiti yang dibina itu. Lihat saja identiti celebrity yang dibentuk oleh media, baik melalui iklan atau penyanyi, orang paling kuat, paling lemah, paling kacak dan sebagainya.
Minda remaja ini diserang seperti dihujani peluru dengan pelbagai jenis identiti kecil daripada para celebrity ini. Akibatnya mereka tidak dapat membuat pilihan. Mereka tidak dapat memastikan dengan tegas dan yakin tokoh yang harus mereka ikuti.
Media ini pula datang dalam pelbagai bentuk - cetak dan elektronik atau maya. Media maya ini paling efisien dan berkesan, paling merosakkan berbanding yang lain. Orang terbuai dengan media sama seperti tikus-tikus dalam cerita Pemain Seruling dari Hamlin.
Inilah yang berlaku sekarang. Pemain seruling itu sekarang ialah media. Orang yang menguasai media memanipulasikan keadaan dengan membina celebrity. Celebrity itu sekarang menjadi model kecil kepada remaja sehingga mereka
merasakan ``kalau dapat jadi seperti itu, cukuplah.''
Kepada golongan remaja, konsep keunggulan itu merujuk kepada model celebrity yang dilihatnya melalui media. Tetapi pada masa yang sama mereka sendiri barangkali cukup insaf bahawa mereka mungkin tidak dapat jadi seperti itu.
MINGGUAN: Insaf, kenapa?
UNGKU AZIZ: Kita lihat iklan katakanlah hendak menjual rokok, misalnya. Jadi ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu.
Remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok saja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja
yang masih mencari-cari identiti.
Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Remaja tertawan kepada imej-imej itu kerana ia membuatkan mereka rasa seronok dan menarik. Tetapi semuanya hanya angan-angan.
Ini sama seperti cerita usahawan yang berangan-angan macam Mat Jenin - suatu hari nanti mahu ada pejabat, ada setiausaha cantik dan sebagainya.
MINGGUAN: Apa salahnya berangan-angan?
UNGKU AZIZ: Angan-angan ini memuaskan diri dalam jangka masa pendek tetapi kalau terlalu berangan-angan mereka boleh terjerumus terlibat dengan dadah.
Statistik menunjukkan majoriti yang terlibat dengan dadah ialah Melayu. Tidak cukup dengan fantasi di rumah mereka berkhayal melalui dadah.
Saya tahu bukan semua remaja terlibat tetapi sebahagian besarnya ialah mereka yang berangan-angan ini.
Saya fikir nisbah lelaki yang hidup dalam angan-angan jauh lebih besar berbanding wanita, boleh dikatakan dua pertiga.
Majoriti remaja wanita lebih stabil, kurang angan-angan dan ada imej yang jelas tentang matlamat hidup masa depan.
Itu sebabnya sekitar 70 peratus pelajar di universiti hari ini ialah wanita. Ini bukti bahawa jati diri gantian ini mempengaruhi lebih ramai lelaki berbanding wanita.
Malah kalau kita kaji, remaja lelaki Melayu jugalah yang paling banyak di pusat permainan video.
Remaja wanita tidak banyak yang bermain permainan video kerana mereka realist. Mereka ada cita-cita dan mahukan kebebasan. Mereka tahu kalau ada kerja, mereka ada kebebasan. Cita-cita mereka realistik. Krisis identiti ini lebih bahaya di kalangan lelaki berbanding wanita.
Kalau kita hendak membina Melayu yang unggul kita perlu mengukuhkan jati diri terutamanya di kalangan remaja lelaki.
Kita harus ada keseimbangan kuasa dalam masyarakat antara lelaki dan wanita.
MINGGUAN: Bagaimana hendak membentuk jati diri yang betul di kalangan remaja?
UNGKU AZIZ: Kita mesti berbalik kepada pendidikan kerana ia menentukan masa depan.
Kalau tidak rajin belajar, mereka akan banyak berpoya-poya, hidup berangan-angan dan duduk melepak. Ini semua fenomena sosial yang melemahkan remaja Melayu. Kita perlu mengubahnya dengan segera tetapi ia tidak mudah. Kita juga harus menanam hidup yang lebih berdisiplin. Kenapa misalnya di Jepun dan Switzerland, orang tahu berbaris tetapi di sini semua orang berebut-rebut hendak ke depan? Tidak ada disiplin sosial.
Kita juga harus menanam sifat jujur dan amanah.
Kalau jumpa dompet di tengah jalan kita pulangkan. Tetapi dalam masyarakat kita orang yang buat begitu adalah golongan yang terkecuali.
Ia tidak normal, dan apabila berlaku ia jadi bahan berita. Malah orang merasakan kalau jumpa dompet di tengah jalan itu rezeki. Konsep rezekinya pun sudah salah.
Kesedaran tentang nilai-nilai murni ini mesti dibina dari awal. Pada fikiran saya, pergerakan pengakap di sekolah dulu boleh menanam nilai-nilai ini. Sekarang ia sudah dipolitikkan.
MINGGUAN: Apa lagi yang perlu kita tanam kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Sifat kesetiaan dan patriotisme. Kepada saya, remaja yang dipanggil tetapi tidak pergi ke Program Latihan Khidmat Negara itu dalam jati dirinya tidak ada nilai patriotisme.
Kita tidak boleh melihatnya sebagai hero. Kalau patriotik, apabila dipanggil dia mesti pergi. Itu satu tanggungjawab.
Remaja juga harus berani buat apa saja, bersedia pada bila-bila masa. Ini sifat yang kepada saya harus ada tidak kira pada semua orang yang mahu berjaya.
Kalau hendak membina remaja yang unggul apabila dewasa kita kena pastikan mereka ada nilai-nilai ini - berdisiplin, berani, jujur, amanah dan patriotisme. Ini boleh kita buat melalui pendidikan tetapi kena fokus.
MINGGUAN: Apakah kita perlu mengetengahkan model-model baru kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Barangkali model itu ada tetapi kita simpan dalam almari (ketawa). Kita kena keluarkannya dari almari dan gilap sedikit. Kalau kita melihat tempoh 100 tahun yang lalu, saya fikir model itu banyak.
Malah dalam sejarah juga ada tokoh-tokoh yang boleh dijadikan model, Hang Tuah misalnya. Dia mungkin tidak pernah wujud tetapi sifat-sifatnya boleh kita baca dalam Hikayat Hang Tuah.
Dia perkasa, suka menuntut ilmu dan belajar banyak bahasa. Dia juga setia; baik atau buruk kesetiaannya itu, usah ditanya.
Sifat-sifat terpuji daripada model-model inilah yang akan membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa.
Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.
MINGGUAN:Apakah yang tidak harus ada pada orang Melayu untuk menjadi unggul?
UNGKU AZIZ: Harus tahu membezakan antara realiti dan fantasi. Orang muda hari ini lebih cenderung kepada angan-angan kerana pengaruh media yang saya sebutkan tadi, terutamanya media elektronik.
MINGGUAN: Usaha ini banyak bergantung kepada media?
UNGKU AZIZ: Ya, kerana media ada hubungan langsung dengan kelompok ini.
Pada masa yang sama perlu juga ada peranan ibu bapa dan guru. Semua pihak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sapu rata salahkan media saja - kononnya kalau baik media, semuanya akan baik. Tidak begitu?
Para pemimpin juga ada peranannya. Suka atau tidak suka, mereka adalah model yang unggul; seharusnya begitulah.
Kalau orang mahu berjaya mereka harus membetulkan diri sendiri. Jangan jadi seperti Enron dan WorldCom yang melahirkan tokoh-tokoh korporat berjaya tetapi mengerjakan duit orang beratus bilion. Itu bukan model yang baik.
MINGGUAN: Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa?
UNGKU AZIZ: Berikan perhatian kepada pemakanan anak-anak mereka.
Masalah kritikal orang Melayu sejak berpuluh tahun lalu ialah umumnya saiz badan mereka kecil.
Mengikut teori saya, 90 peratus masalah ini berpunca daripada makanan.
Kalau kita lihat orang yang masuk tentera atau yang keluarganya berpendapatan tinggi yang mendapat makanan lebih baik, saiz tubuh mereka lebih besar, tinggi dan lebih sihat.
Masalah saiz kecil ini boleh ditangani pada zaman awal praremaja, semasa kanak-kanak.
Tujuh tahun pertama dalam hidup manusia adalah tempoh pembesaran fizikal yang penting. Kalau tidak dapat makanan yang seimbang ketika itu, pembesarannya akan terganggu.
Kalau mahu jadi bangsa yang unggul orang Melayu mesti bersaiz lebih besar.
MINGGUAN: Apa hubung kaitnya?
UNGKU AZIZ: Cuba kita lihat di sekeliling kita. Orang yang berjaya biasanya tubuh mereka besar dan tinggi, bahu mereka lebar. Ini semua datang daripada pemakanan yang baik.
Pemakanan bukan saja mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak. Otak mereka lebih cekap seperti bateri yang sudah dicas dengan baik.
Otak kita ini seperti bateri. Kita charge otak dengan makanan yang berzat dan seimbang. Kita harus melakukannya dari sekolah rendah.
MINGGUAN: Bagaimana?
UNGKU AZIZ: Kita harus mula menyusun program makanan yang lebih baik dan menyeluruh untuk sekolah-sekolah. Sekarang kita buat tetapi tidak di semua sekolah dan tidak teratur.
Kenapa tidak kita mula menyediakan makan tengah hari yang seimbang dengan lebih sistematik, sehari sekali di sekolah?
Kanak-kanak yang membesar harus makan paling kurang sebiji telur seminggu. Tetapi ia tidak berlaku kerana sesetengah orang Melayu tidak mampu. Apatah lagi sekarang ini harga telur dan makanan keseluruhannya sudah naik.
Tetapi saya percaya usaha ini boleh dilakukan oleh kerajaan. Kalau kita percaya bahawa remaja adalah harapan masa depan, kita harus mula membina mereka sejak peringkat praremaja lagi.
Kita harus menjaga anak harapan bangsa ini sejak dari kecil lagi.
MINGGUAN: Apa lagi selain menjaga makanan?
UNGKU AZIZ: Jaga kesihatan dengan bersukan. Kita boleh melahirkan manusia unggul melalui sukan.
Kita harus galakkan orang menjadikan sukan sebagai satu cara hidup.
Tetapi sekarang sudah terbalik - kita cari juara, beri duit dan jadikan mereka celebrity. Ini melampau. Kita tidak harus sampai ke tahap itu.
Melalui sukan orang akan jadi lebih sihat, kuat dan aktif. Kita galakkan orang bersukan bukan untuk menang tetapi semata-mata untuk bersukan.
Apa salahnya kita galakkan bersukan untuk suka-suka. Kalau mahu mencari keunggulan kita harus juga melihat kepada aspek sukan kerana ia ada kaitan dengan kesihatan.
MINGGUAN: Pak Ungku sudah membincangkan tentang perubahan sikap, pemakanan dan kesihatan. Bagaimana dengan pendidikan?
UNGKU AZIZ: Apabila sampai kepada satu peringkat golongan remaja akan mula matang fikirannya. Mereka mula berfikir.
Kita harus ada satu sistem yang lebih baik untuk mengajar orang berfikir.
Kepada saya, salah satu kelemahan sistem pelajaran kita pada hari ini ialah ia tidak mengajar orang berfikir.
Para pemimpin kita selalu bercakap tentang masyarakat inovatif dan kreatif. Tetapi bagaimana mahu melahirkan masyarakat seperti itu kalau mereka tidak diajar untuk inovatif dan kreatif? Ia perlu diasuh dan dipupuk dari awal.
MINGGUAN: Apakah sistem pendidikan kita membantu pembentukan bangsa unggul?
UNGKU AZIZ: Saya fikir ada banyak kekurangan dan kelemahannya. Ini hakikat yang perlu saya suarakan.
Kalau ada menteri-menteri yang hendak marah dengan kenyataan ini, tidak mengapa. Saya pun sudah 83 tahun (ketawa), tidak kisah apa-apa lagi. Saya hanya menyuarakan pandangan, bukan untuk mengenakan sesiapa.
Kita harus memikirkan hala yang hendak kita tuju, dan menyusun langkahnya dari situ. Selepas itu jangan ditukar-tukar separuh jalan.
MINGGUAN: Apakah yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul?
UNGKU AZIZ: Ini terpulang kepada diri masing-masing, berbalik kepada apa yang saya petik daripada Za'ba di awal tadi.
Saya sudah sebut sebelum ini, dan saya hendak ulang lagi: Buku Za'ba itu adalah bacaan wajib untuk semua orang Melayu.
Secara ringkas, apa yang dikatakan oleh Za'ba dalam bukunya itu ialah kalau ada keyakinan kita boleh melakukan apa saja.
Kita boleh menjadi unggul tetapi usaha itu bergantung kepada diri kita sendiri. Malah apa yang disebut oleh Za'ba itu adalah falsafah yang digali daripada ajaran al-Quran.
Itulah yang harus kita tekankan kepada remaja hari ini. Ini soal mahu atau tidak mahu, mahu lebih atau mahu kurang - pilihan masing-masing.
Tetapi kalau pemikirannya terkongkong oleh model-model kecil yang dibentuk oleh media, mereka akan sukar membuat pilihan kerana tidak boleh berfikir.
Mereka hendak bergembira saja tetapi hidup ini bukan bergembira sepanjang masa.
Ini masalahnya. Orang selalu bercakap tentang sifat-sifat negatif Melayu - malas dan suka buang masa, misalnya - sehingga menimbulkan rasa rendah diri untuk mereka maju.
MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku dalam hal ini?
UNGKU AZIZ: Sifat malas itu ada kaitannya dengan kemiskinan dalam masyarakat. Dari segi ekonominya, kemiskinan menyebabkan orang tidak ada tenaga kerana tidak mendapat pemakanan yang baik.
Rasa rendah diri pula sifat yang sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu. Ini soal budaya. Tetapi orang yang menjadi berjaya adalah mereka yang mampu mengeluarkan diri daripada kepungan budaya itu - kepungan budaya yang ada dalam minda.
Ia boleh diatasi, bergantung kepada diri sendiri. Tidak ada yang mustahil. Tidak ada apa-apa yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul.
MINGGUAN: Pak Ungku pernah sebut sesetengah orang Melayu yang berjaya daripada Dasar Ekonomi Baru ibarat kacang lupakan kulit; tidak membantu anak bangsa lain berjaya sama. Tidakkah mereka boleh menjadi pemangkin pembinaan Melayu unggul ini?
UNGKU AZIZ: Ini bukan soal boleh; tetapi itulah yang sepatutnya. Siapa lagi kalau bukan mereka?
MINGGUAN: Pak Ungku telah mengupas tentang zaman remaja yang cukup kritikal dalam pembinaan sahsiah bangsa. Pak Ungku semasa remaja bagaimana?
UNGKU AZIZ: Zaman saya remaja sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dulu adalah satu zaman yang sama sekali berlainan, zaman perang. Tetapi saya bekerja kuat kerana
yakin bahawa kejayaan adalah dengan memiliki ijazah. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh.
Arwah ayah tidak banyak mempengaruhi saya, tidak banyak meninggalkan nasihat. Dia hidup dalam dunianya sendiri tetapi dari semasa ke semasa kami berbincang juga. Dia banyak meninggalkan saya dengan dunia saya sendiri.
Tetapi ada satu perkara yang dia tekankan: Kalau tidak berjaya dalam pelajaran kamu tidak akan jadi sesiapa.
Dia nasihatkan bahawa dalam apa keadaan saya mesti belajar kerana kejayaan itu datang daripada usaha kita belajar. Ini tidak ada galang-gantinya.
Dia menanam dalam dada saya bahawa kejayaan akan datang dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi semasa di English College, Johor Bahru saya belajar bersungguh-sungguh.
Selepas ayah meninggal pada tahun 1939, saya jadi anak yatim piatu. Ibu meninggal semasa saya umur 4 tahun.
Semasa itu pun saya tidak suka pergi kepada ahli keluarga untuk minta bantuan. Apabila bapa saudara saya (Datuk Onn Jaafar) jadi Menteri Besar Johor pun saya tidak rasa saya perlu minta kerja, sokongan atau duit daripada dia.
Saya pernah jadi kerani semasa menunggu keputusan peperiksaan. Apa yang saya buat itu adalah sebahagian daripada usaha untuk berjaya, pemikiran yang sudah tertanam dalam diri saya.
Saya tidak kisah jadi kerani untuk cari duit supaya dapat belajar. Saya tidak pernah segan macam kebanyakan graduan yang menganggur sekarang.
Saya fikir sikap inilah yang harus ada pada setiap orang muda yang mahu berjaya.
MINGGUAN: Sikap terhadap pelajaran?
UNGKU AZIZ: Ya, sudah semestinya.
Sebelum Perang Dunia Kedua saya sudah masuk ke Raffles College tetapi kemudian terganggu apabila Jepun datang. Tetapi semasa itu pun saya terus belajar juga.
Saya ke Universiti Waseda di Jepun, sempat belajar dua tahun. Orang perang atau tidak perang, saya belajar juga.
Apabila semua universiti di Jepun ditutup saya balik semula ke Johor dan berkhidmat sekejap dengan kerajaan negeri.
Apabila Raffles College buka semula saya sambung belajar sampai lulus.
Kepada saya jentera dalam mindalah yang menggerakkan saya untuk berjaya.
Kemahuan untuk berjaya itu harus ada dalam minda terlebih dulu. Soal hendak jadi kaya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.
MINGGUAN: Apakah antara perkara penting yang Pak Ungku belajar yang membentuk diri Pak Ungku sampai ke tahap ini?
UNGKU AZIZ: Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah,
mati. Habis cerita.
Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur.
Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa.
Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani.
MINGGUAN: Boleh Pak Ungku namakan Melayu unggul yang boleh dicontohi?
UNGKU AZIZ: Susah bagi saya hendak menamakannya tetapi orang itu harus ada ciri-ciri yang kita bincangkan tadi.
Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi. Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu.
Kita jangan jadi bangsa hangat-hangat tahi ayam. Dan keunggulan mereka itu tentunya akan diukur dari segi kejayaan, baik dalam bidang apa sekalipun.
MINGGUAN: Sekarang ini orang melihat kepada Pak Ungku?
UNGKU AZIZ: (Ketawa) Saya tidak berani. Lihatlah diri saya ini. Saya begini saja.
Saya tidak suka pakai tali leher dan saya makan simple saja. Ini bukan saya buat-buat; saya memang begini. Ini memang saya. Susah untuk orang jadi macam saya. Saya tidak fikir orang boleh meniru cara saya.
Tetapi kalau dedikasi saya - dedikasi ini perkataan yang besar - terhadap pendidikan, barangkali, ya. Saya fikir orang boleh tiru sifat-sifat baik yang mereka fikir ada pada saya.
......................................
Tragedi
pemikiran
Melayu
KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.
Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.
Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.
Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.
Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah.
Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.
Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.
Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?
Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.
Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.
Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.
Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.
Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.
Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.
Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.
Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.
Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.
Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.
Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.
Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.
Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.
Rujukan:
- Majalah Varsiti Universiti Malaya
- Buku Penganugerahan Konvokesyen Universiti Malaya
- Diperolehi daripada "http://masa.wikipedia.org/wiki/Ungku_Aziz"
- Sebutir Permata Di Menara - Aziz Zariza Ahmad
- http://masa.wikipedia.org/wiki/Ungku_Aziz
- BERNAMA
- UTUSAN MALAYSIA dll.
“Saya tidak pernah sunyi”
PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz UNGKU ABDUL HAMID merupakan tokoh ulung yang telah begitu banyak menyumbang bakti kepada negara. Berdasarkan idea-idea bernasnya ketika lebih 20 tahun menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya menjadi antara universiti terunggul di rantau ini sehingga sekarang. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Tabung Haji dan ANGKASA.
Namun kini namanya semakin terpinggir mungkin kerana usianya agak lanjut tetapi tiada sesiapapun boleh menafikan sumbangan dan jasanya pada negara.
Walaupun mungkin agak terlewat, beliau sebenarnya baru sahaja menginjak ke usia 90 tahun pada 28 Januari lepas. Namun pada usia sedemikian, beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Ungku masih tetap cergas, sihat dan lebih mengagumkan memorinya masih tetap kukuh dalam ingatan.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid dan Khairunnisa Sulaiman, Pak Ungku begitu ceria berkongsi pengalaman hidup dan rahsia beliau panjang umur.
Namun bagi beliau tidak ada perkara yang beliau sesalkan dalam hidup kerana bagi Pak Ungku, beliau puas dan bersyukur dengan apa yang telah dilalui dalam hidup. Dan seperti biasa apabila diajukan soalan mengenai nasib orang Melayu, semangatnya begitu membara mempertahan dan menjelaskan, apa sebenarnya yang orang Melayu perlu lakukan.
UNGKU AZIZ: Bagi saya nombor satu kita kena jaga pemakanan. Perkara kedua adalah mesti mendapatkan rehat yang cukup serta selalu bersenam untuk kesihatan diri. Ia perlu dilakukan secara berdisiplin tidak bolehlah hari ini kita ingat nak ponteng, minggu depan baru nak buat balik. Kita mesti tetapkan waktu dalam jadual harian. Berapa jam kita nak bersenam dan berapa lama kita perlu tidur pada waktu malam. Aktiviti seharian saya bermula pada awal pagi, pukul enam sudah bangun dan saya akan pastikan tidur paling lewat sebelum pukul 12 malam. Ada ketika saya tidur lewat sedikit kerana menonton filem. Tapi kebiasaannya petang saya akan tidur sekejap untuk berehat. Pada umur saya, tidur selama enam jam dan adakalanya dibahagi dua iaitu pada malam dan petang, itu sudah mencukupi. Kemudian saya juga tetapkan waktu, bila nak buat kerja berfikir dan bila pula untuk menulis dan membaca. Kita juga perlu jaga kesihatan minda. Minda kita mesti ada masa untuk digunakan sebagai latihan untuk pemikiran dan ingatan. Setiap manusia perlu menggunakan kemahiran berfikir mereka kerana itulah anugerah Tuhan paling bermakna.
Bagaimana dengan pemakanan Pak Ungku?
UNGKU AZIZ: Bagi saya paling penting ialah menjaga zat makanan. Kalau nak cerita semua sekali akan mengambil waktu yang panjang tetapi rahsia saya yang sebenar adalah makan bawang besar secara mentah-mentah. Tukang masak saya akan pastikan benda ini setiap hari. Selain itu saya juga menggemari sayur ulam seperti ulam raja, salad dan juga petai. Masalah yang saya lihat sekarang kebanyakan orang tidak boleh mengurus waktu mereka, bila masa makan, tidur, rehat dan sebagainya. Hanya kerana sibuk dengan kerja waktu makan jadi tidak tentu hala. Saya sangat bertuah kerana ketika menjadi Naib Canselor dan pensyarah di Universiti Malaya, petang-petang saya berjoging di kawasan tasik. Semasa saya muda-muda dahulu saya banyak menyertai kejohanan marathon, kalau setakat 10 kilometer saya tidak ada masalah. Namun sekarang tidak boleh lagi. Doktor tak bagi kerana ia boleh mengakibatkan lutut saya lemah. Kalau setakat berjalan laju tidak ada masalah tapi bukan berjoging. Oleh itu saya kini hanya bersenam di gim dengan dibantu oleh pembantu di pusat gim. Satu masalah yang dihadapi bila kita tua ialah ketika kita jalan ke belakang baru dua tiga langkah sudah hilang keseimbangan.
Tidakkah Pak Ungku rasa agak terbeban dengan semua perkara ini kerana bagi kebanyakan orang apabila sudah berusia mereka lebih banyak berehat?
UNGKU AZIZ: Bila orang tengok saya mereka akan kata Pak Ungku ni macam robot. Bagi saya adalah okey untuk mereka kata saya sebagai robot tapi bagi saya, paling penting adalah cara hidup kerana ia benar-benar memberi kepuasan. Kita tidak akan tahu tentang takdir, bila kita akan mati. Esok pagi atau malam ini, saya boleh putus nyawa. Bagi saya jika sudah sampai masanya saya terima dan saya tidak akan rasa banyak lagi benda yang belum dibuat atau ada beberapa buku yang belum dibaca atau banyak perkara yang saya belum tulis lagi. Saya tidak akan minta untuk dipanjangkan nyawa untuk satu, dua hari atau bulan untuk menyiapkan apa yang belum siap. Kalau sudah tiba masanya saya akan terima dengan tenang hati, Alhamdulillah, Tuhan sudah beri saya peluang selama ini dan saya tidak akan minta hendak hidup lama lagi hanya kerana mahu lakukan itu dan ini. Tetapi kalau Tuhan beri saya nyawa panjang lagi satu tahun atau 10 tahun, saya terima dan bersyukur.
Apa perkembangan terbaru Pak Ungku?
UNGKU AZIZ: Saya kini sedang menumpukan usaha untuk menulis tentang satu isu besar, kenapa orang Melayu sering berasa tidak peduli. Saya sedang sibuk tentang beberapa perkara dan ia terpaksa ditangguhkan dahulu, namun semua nota yang berkaitan sudah ada dan bila ada kelapangan saya akan mulakan. Namun suka saya nyatakan di sini bahawa satu amalan yang kita harus lakukan adalah menggunakan sepenuhnya keupayaan minda. Bagi saya minda saya selalu berfungsi hampir sepenuh masa. Perkara ini akan menggalakkan saya untuk berfikir dan juga mencari ketenteraman.
Bagaimana dengan sisi hidup Pak Ungku yang lain?
UNGKU AZIZ: Saya adalah seorang yang gemar membaca. Saya baca lima akhbar sehari. Saya juga gemar menonton filem di rumah. Kebanyakan filem-filem yang saya tonton adalah filem Inggeris dan Perancis. Saya boleh faham bahasa Perancis dan saya juga boleh bercakap dalam bahasa Jepun. Saya juga boleh faham bahasa Arab dan bukan saya nak puji diri sendiri tetapi saya membaca dan mengkaji enam terjemahan al-Quran. Ini termasuklah terjemahan dari bahasa Melayu ke Arab ataupun bahasa Inggeris ke Arab. Selain itu saya juga gemarkan muzik-muzik tertentu antaranya saya meminati kumpulan Scorpion tetapi bunyi muziknya terpaksalah dikurangkan kerana telinga saya memakai alat bantuan mendengar. Saya juga menggemari muzik-muzik tradisional seperti ghazal, angklung, keroncong dan saya mempunyai lebih 200 cakera padat pelbagai genre lagu.
Buku yang paling saya minati dan saya sangat-sangat menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu membacanya adalah buku tulisan Pendeta Zaaba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Buku ini adalah paling penting dalam hidup Zaaba. Malah buku ini hanya diterbitkan setelah beliau meninggal dunia. Saya mempunyai lebih 4,000 koleksi buku setakat ini dan saya mempunyai sebuah rumah di Morib yang kini menjadi tempat simpanan khusus buku-buku saya. Itulah gaya hidup saya yang sebenar dan saya tidak suka bergantung pada orang lain. Orang bertanya pada saya apakah saya pernah berasa kesunyian. Secara jujur saya beritahu saya tidak pernah merasa sunyi. Terus-terang saya katakan hidup saya sentiasa penuh aktiviti terutama dengan buku-buku dan kemudian menulis. Saya sentiasa akan menulis nota kerana jika tidak akan ada saja halangan, ini kerana minda kita selalu melayang ke mana-mana.
Boleh Pak Ungku kongsi antara pengalaman pahit, manis sepanjang kehidupan?
UNGKU AZIZ: Bagi saya sepanjang hidup, saya tidak mahu atau mengelak sama sekali untuk menjadi angkuh. Bagi saya itu adalah satu perkara yang memalukan dan sangat berdosa. Namun saya tidaklah sampai mahu menghambakan diri pada orang lain serta tidak sekali-kali mahu memuji diri atau menunjuk-nunjuk. Saya tidak mahu diberi sebarang gelaran, yang saya terima hanya Profesor Diraja tetapi tidak ada gelaran Datuk atau Tan Sri dan sebagainya. Pada saya itu tidak penting dan paling penting saya puas menjalani hidup berdasarkan apa yang saya mahu dan dalam cara saya tersendiri. Kita banyak mendengar atau terbaca tentang apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan atau kegembiraan. Saya rasakan selama ini saya gembira dengan apa yang telah saya lakukan. Tidak terlintas di pemikiran, saya perlukan beberapa tahun lagi untuk menghabiskan itu dan ini. Saya telah mengembara hampir ke seluruh dunia dan berkhidmat dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan ataupun di peringkat antarabangsa. Namun bagi saya walau ke mana saya pernah merantau tapi Malaysia adalah tempat tumpah darah saya, tidak ada negara yang boleh menggantikannya.
Mungkin Pak Ungku pernah ditawarkan untuk menyertai politik?
UNGKU AZIZ: Selepas kita mencapai kemerdekaan, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah menyatakan negara memerlukan orang seperti saya. Tapi saya kata, Tunku tidak perlu orang seperti saya kerana falsafah beliau dan saya jauh berbeza. Jadi saya beritahu tidak perlulah kerana nanti ia akan hanya menyakitkan hati. Kemudian Tun Abdul Razak juga pernah menawarkan perkara sama meminta saya masuk politik, boleh naik pangkat, jadi menteri dan sebagainya. Namun saya beritahu beliau, saya sangat berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang yang mana saya boleh berfikir dan menulis. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lalui kerana saya sudah membaca pelbagai jenis buku dari Sigmund Freud hinggalah Ernest Hemingway dan sebagainya. Saya juga berpuas hati dengan ilmu ekonomi yang saya pelajari kerana melaluinya saya mampu memberi pandangan yang luas.
Bagaimana Pak Ungku menilai kepuasan dalam hidup?
UNGKU AZIZ: Kepuasan bagi saya sangat mudah kerana saya puas membaca, menulis dan berfikir. Saya suka perkara yang intelektual tapi tidak sepatutnya begitu serius. Kalau saya jumpa permainan sudoku saya boleh bermain dengannya. Saya juga sangat bahagia dengan keluarga saya. Kini isteri saya sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Saya akan meluangkan masa setiap hari untuk menjaganya. Begitu juga dengan anak saya Zeti (Tan Sri Dr. Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara Malaysia) yang akan menghubungi saya setiap hari. Saya sering berjumpa dengan cucu saya Alif dan Aziz serta menantu saya Datuk Aiman. Keluarga saya sangat rapat di antara satu sama lain dan itu juga membuatkan saya berasa puas dalam hidup.
Sekarang Pak Ungku tahu adalah zaman sains dan teknologi, bagaimana pula pengetahuan Pak Ungku dalam bidang ini?
UNGKU AZIZ: Dalam komputer saya yang mana saya menggunakan perisian Window7 dan saya mempunyai 16,000 koleksi pantun Melayu yang saya masukkan sendiri. Saya masih belajar malah orang yang membantu dalam perisian untuk koleksi pantun saya juga membantu mengajar saya selama setahun. Dan kini melalui pengajaran yang saya dapati, saya sudah boleh bagi ceramah atau membuat kertas kerja mengenai pantun yang saya kumpulkan.
Mingguan Malaysia/19 Februari 2012
Perbaiki kemiskinan di Malaysia— Ungku Aziz
February 26, 2012
26 FEB —
Suatu
perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah
ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah
kemiskinan melampau extreme poverty bagi setiap warganegara yang hidup
di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan.
Tanpa terjunam di dalam
perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas
bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian
pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan
kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut
bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed).
Majoriti golongan miskin
melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka termasuk yang tinggal di desa
dan di kota dan kini semakin meningkat bilangannya. Mereka yang ditakrif
sebagai Orang Asli dan penduduk asal Sarawak dan Sabah (natives) juga
tergolong dalam kumpulan ini.
Di samping itu sejumlah besar
kaum India, terutamanya mereka yang tersingkir dari kawasan bekas ladang
getah juga merupakan golongan miskin melampau.
Bagi kaum Cina pula, terdapat
sejumlah warga tua yang tercicir daripada jaringan keselamatan
tradisional. Golongan terbiar warga tua ini yang pada kebiasaanya dijaga
oleh pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan mengikut dialek
masing-masing.
Di sini saya tidak akan menyentuh tentang golongan pengemis dan anak-anak yatim.
Golongan miskin melampau dianggarkan berjumlah lebih daripada satu juta individu atau 300,000 hingga 400,000 keluarga.
Sekiranya keadaan ini terus
diabaikan ia akan menjejaskan kestabilan politik, terutamanya dalam
rancangan pembangunan. Saya belum nampak sebarang rancangan berkesan
atau kenyataan-kenyataan khusus yang dibuat untuk menangani masalah
kemiskinan melampau.
Rakyat Malaysia harus sedar
bahawa terdapat jurang perbezaan antara niat dan perilaku. Perbezaan ini
dipengaruhi oleh sikap kita terhadap peredaran waktu. Menurut pesanan
Keynes, in the long run we are all dead! (dalam jangka panjang, kita
semua akan menemui ajal!) Justeru, berapa lama lagi kita harus menunggu?
Kononnya ada pelbagai teori
berbeza yang direka untuk mengurangkan, membasmi atau menangani apa yang
disebut sebagai ‘kemiskinan tegar’ atau hardcore poverty. Usaha yang
tidak praktikal ini sebenarnya bermula dengan niat murni, sungguhpun
tidak ada satu pun yang meninggalkan hasil berkesan dan berkekalan.
Istilah hardcore membawa maksud
kesukaran yang berpunca dari akar umbi. Kata sifat hard bermaksud sukar
diatasi. Para perancang putar belit politik Malaysia mahu kita percaya
bahawa jika core atau punca akar umbi itu boleh dihapuskan, maka
keseluruhan masalah itu akan lenyap dalam sekelip mata.
Sebenarnya ini bukanlah isu
semantik. Ia telah mempengaruhi ramai pencipta akronim, kata singkatan
dan slogan. Kita perlu ingat kata mutiara Marshall McLuhan: The medium
is the message yang bermaksud perantaraan ialah mesejnya.
Saya mencadangkan satu
penyelesaian holistik yang berkekalan terhadap masalah yang berbangkit
ekoran pengabaian ini. Bagi mengelakkan salah faham, saya akan
menggunakan istilah baharu iaitu Kumpulan Miskin Melampau (KMM) atau
Extreme Poverty Group.
Di sini, untuk memudahkan
perbincangan saya cadangkan satu penyampaian dalam bentuk kewangan
supaya ia mudah difaham oleh pembaca biasa.
Dengan mengambil kira semua isi
rumah warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini pada 1 Januari
2012 saya cadangkan setiap keluarga lima orang ahli (contohnya, suami,
isteri dan tiga anak) hidup di bawah paras kemiskinan jika pendapatan
kasar mereka kurang daripada RM800 sebulan.
Tanpa mengambil kira tentang
perbezaan keperluan keluarga di kota atau desa dan perbandingan jangka
hayat kanak-kanak di bawah umur lima tahun, data ini membayangkan bahawa
jika anda tergolong dalam kumpulan miskin melampau, anda mungkin lebih
pendek umur atau lebih cepat sampai ajal berbanding orang lain.
Aspek paling penting keadaan ini
ialah kekurangan pertumbuhan jasad dan otak, atau keadaan “terbantut”,
(stunted) mengikut istilah Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia. Ini
bermakna walaupun keluarga KMM mungkin melahirkan lebih ramai anak,
bilangan yang mencapai usia remaja atau pertengahan umur semakin
berkurangan sebagaimana yang tercatat pada carta jangka hayat semasa.
Sebenarnya golongan KMM ini perlukan bekalan keperluan asas seperti makanan yang selamat, pakaian dan tempat berteduh.
Mereka tidak perlukan bantuan
atau sumbangan bermusim seperti pada waktu pilihan raya, perayaan atau
pada bila-bila waktu pemimpin tertentu itu berasa perlukan sokongan
besar-besaran penduduk tempatan.
Acara tanggungjawab sosial
korporat yang dianjurkan dari masa ke semasa untuk melepaskan batuk di
tepi tangga juga tidak memadai untuk membantu mereka.
Cadangan baru demi memperbaiki kumpulan kemiskinan melampau
Usaha memperbaiki kemiskinan
bermula hanya apabila warganegara paling miskin mampu memberi makan dan
pakaian kepada keluarganya mengikut ukuran penjagaan asas (basic
standards of care).
Satu rangka prasarana
perkhidmatan diperlukan. Cadangan saya mengandungi empat bahagian:
sebuah Agensi Kerajaan untuk Menangani Kemiskinan Melampau (AMKM) atau
Agency for the Mitigation of Extreme Poverty, Ketua keluarga (Kk),
Mentor dan Peruncit berdaftar (Pb).
Pada peringkat awal di bawah rancangan ini kerajaan akan menubuhkan sebuah agensi —
AMKM — yang ditugaskan secara khusus untuk menangani kemiskinan
melampau di Malaysia. Peranan utamanya adalah untuk menetapkan dan
mengurus ganjaran bulanan (stipend) yang layak diterima oleh Kk dan
memastikan ganjaran ini digunakan dengan betul.
Jumlah ganjaran adalah sama bagi
semua keluarga, tanpa mengira bilangan ahli keluarga atau kedudukan
mereka. Ia akan disalurkan melalui MyKad yang diperbaharui dalam bentuk
debit pratambah nilai yang hanya boleh digunakan di kedai Pb.
Ganjaran ini bertujuan membantu
KMM mendapatkan keperluan asas mereka untuk setiap bulan. Jumlahnya
perlu dibincangkan lebih lanjut.
Saya amat menitikberatkan
penubuhan satu sistem yang telus, bertanggungjawab dan berkesan bagi
menyalurkan ganjaran secara langsung kepada mereka yang paling
memerlukannya. Adalah penting cadangan ini mampu mendidik KMM secara
holistik.
AMKM diketuai oleh seorang Ketua
Pengarah yang akan menyusun dasar dan peraturan supaya Agensi ini dapat
melaksanakan tugas dengan cekap. Ketua Pengarah akan dibantu oleh
barisan Mentor dan Penyelia Mentor Kanan yang tugasnya akan saya
huraikan seterusnya.
AMKM tertakluk di bawah
peraturan dan amalan perkhidmatan awam akan mengenalpasti kelompok isi
rumah KMM yang akan diselia oleh seorang Mentor di bawah Kawasan
Perkhidmatan Ditetapkan (Designated Service Area).
Pada peringkat awal, seorang
Mentor ditugaskan menyelia lima orang Kk sehari. Sekali gus ia
berkhidmat untuk 80 orang Kk dalam tempoh sebulan bekerja. Setelah
mendapat pengalaman, Mentor itu mampu menyelia bilangan Kk yang lebih
besar lagi.
Ciri-ciri Mykad hendaklah
dipertingkatkan bagi meliputi kad debit khas untuk KMM. Mykad berciri
baru ini akan hanya dikeluarkan kepada mereka yang layak ditakrif
sebagai KMM sahaja.
Keseluruhan operasi ini perlu
kerap diperiksa oleh Jabatan Audit Negara. Pihak media serta Ahli
Parlimen juga perlu terlibat sama dalam pengawasan ini.
Sebagai bahagian kedua cadangan
ini, Kk akan diberikan MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad bagi
membolehkan mereka berhubung dengan Mentor. Dengan alat ini Kk boleh
pergi ke mana-mana kedai Pb di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan dan
mendapatkan bekalan barangan pengguna mengikut jumlah ganjaran bulanan
yang dibenarkan.
Pb tidak dibenar menukarkan baki
ganjaran dalam bentuk tunai dengan Kk. Jika ada baki yang tidak
dibelanjakan, ia akan dipulangkan kembali kepada Agensi pada akhir
bulan.
MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad itu hendaklah disimpan dalam sarung plastik yang boleh digantung pada leher Kk.
Mentor memainkan peranan penting
dalam bahagian ketiga cadangan ini. Dia adalah pembimbing, guru dan
penasihat kepada setiap Kk dan keluarga KMM. Mentor boleh bertindak
sebagai penghubung di antara Kk dan semua pihak lain termasuk agensi, Pb
dan lain-lain Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.
Tugas utama Mentor adalah
mendidik KMM supaya mereka lebih proaktif dalam menggalakkan ketelusan
sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka selaku penerima bantuan
kebajikan. Mentor juga akan mendidik keluarga itu semasa berkunjung ke
rumah tersebut dan mengajar mereka tentang kecekapan membeli, cara untuk
membuat pembelian yang tepat dan bagaimana untuk memaksimumkan
penggunaan ganjaran.
Setiap Mentor hendaklah tinggal
di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan yang mereka selia dan kegiatan serta
kuasa mereka adalah terbatas pada kawasan itu. Adalah lebih baik jika
mereka mempunyai latar belakang kebudayaan yang sama dengan keluarga di
bawah seliaan mereka. Mereka juga hendaklah mempunyai kenderaan sendiri
seperti motosikal atau basikal.
Di satu sudut lain pula, Mentor
juga dikehendaki menyiasat jika wujud amalan monopoli oleh pembekal atau
penipuan oleh Pb. Semua aktiviti dan pemerhatian mereka dicatatkan
dalam laporan bulanan kepada AMKM.
Mentor juga hendaklah melaporkan
kepada AMKM jika terdapat perubahan dalam profil kewangan KMM.
Contohnya, jika pendapatan kasar keluarga KMM itu melebihi garis
kemiskinan ini bermakna mereka tidak layak mendapat ganjaran bulanan
itu.
Sebaliknya jika keluarga Kk itu
menghadapi sesuatu masalah seperti ditimpa penyakit teruk yang
memerlukan rawatan perubatan yang mahal, Mentor hendaklah menghubungi
Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapat bantuan.
Mentor hendaklah berumur
sekurang-kurangnya 25 tahun dan memiliki kelayakan minimum SPM,
mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan cekap mengurus
wang, mengira dan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik.
Mereka hendaklah memiliki sikap positif, jujur, prihatin dan berdaya usaha.
Pada umumnya, pesara-pesara
perkhidmatan awam merupakan calon yang sesuai memandangkan mereka
mempunyai pengalaman berurusan dengan orang awam. Peluang juga hendaklah
dibuka kepada siswazah menganggur yang ada pengalaman. Mereka hendaklah
peka terhadap perbezaan gender, etnik dan bahasa.
Jelas sekali Mentor merupakan
penghubung paling penting dalam rangkaian sistem ini. Justeru
pengambilan dan latihan mereka hendaklah dirancang dan diurus dengan
teliti. Latihan yang diberi hendaklah sentiasa berkesinambungan. Mentor
hendaklah memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka sebelum bersedia
mendidik KMM.
Tugas Mentor boleh diperkukuh
jika mereka dibekalkan dengan komputer riba yang lengkap dengan
broadband supaya mereka boleh memperoleh maklumat semasa melalui
Internet. Ini sangat penting bagi kawasan desa. Untuk mengetahui
perkembangan semasa, Mentor hendaklah kerap mengadakan rundingan yang
diketuai oleh Penyelia Mentor Kanan di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.
Untuk pelantikan perkhidmatan
awam, tempoh perkhidmatan Mentor hendaklah digariskan dengan jelas. Gaji
pokok mereka mungkin bermula daripada RM1,500 sebulan dengan elaun sara
hidup dan lain-lain faedah biasa untuk kakitangan.
Mentor yang didapati melakukan
penipuan boleh didakwa atas kesalahan jenayah dan salahguna kuasa boleh
menyebabkan dibuang kerja.
Peranan Peruncit berdaftar
Dalam bahagian keempat cadangan
ini, Pb dilantik oleh AMKM daripada kalangan peruncit sedia ada. Mereka
dibekalkan dengan alat pengimbas kad pintar untuk mengimbas ibu jari dan
MyKad Kk.
Jumlah pembelian yang dibuat
oleh Kk dalam setiap urusniaga akan dicatat pada resit seperti amalan
biasa. Salinan resit akan diberikan kepada Kk. Semua urusniaga
disalurkan secara elektronik kepada AMKM untuk pembayaran balik kepada
Pb.
Pb dikehendaki menyimpan stok
barangan yang biasa dibeli oleh Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.
Beberapa barangan keperluan asas sememangnya termasuk dalam senarai
barang kawalan harga. Mentor juga perlu berwaspada memastikan tiada
sebarang kegiatan monopsoni dan penipuan atau penganiayaan oleh Pb.
Di kawasan pedalaman yang
terpencil, AMKM boleh melantik Peruncit Bergerak yang berniaga dengan
menaiki van atau bot. Secara tidak langsung ganjaran KMM itu akan
mewujudkan satu pasaran yang belum pernah wujud sebelumnya. Bila pasaran
baru muncul, para usahawan akan mengekori seterusnya tidak kira sejauh
mana terpencilnya kawasan itu.
Pb tidak dibenar mengeluarkan
wang tunai kepada Kk sebagai pertukaran debit pada MyKad. Semua
urusniaga akan dicatatkan oleh Agensi untuk penilaian, ketelusan dan
perancangan masa depan.
Memodenkan KMM
Sungguhpun tujuan utama cadangan
ini adalah untuk mengatasi kesan kemiskinan melampau, matlamat jangka
panjang sebenarnya ialah untuk memodenkan KMM dengan membantu golongan
itu melompat keluar dari belenggu buta huruf dan menjadi pengguna bijak.
Bila kerap berurusan dengan Mentor dan Pb, KMM mula belajar berfikir
dengan lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan.
KMM juga akan lebih peka terhadap kepentingan menyimpan rekod. Sifat
bertanggungjawab ialah manfaat sebenar cadangan ini.
Anggaran kos cadangan
Anggaran untuk kos melaksanakan
cadangan ini memerlukan kajian teliti terhadap data yang tersimpan dalam
beberapa bank data tetapi mungkin tidak pernah dikaji.
Masalah ini menjadi lebih rumit memandangkan paras pendapatan yang menentukan seseorang warganegara Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan masih belum ditetapkan secara rasmi.
Kos sampingan untuk melaksanakan
seluruh cadangan ini memerlukan peruntukan tahunan dan jumlah
kakitangan AMKM yang ditetapkan mengikut sempadan Kawasan Perkhidmatan
ditetapkan.
Pada peringkat permulaan kita
hendaklah mempunyai anggaran kos yang berkesan untuk melaksanakan
cadangan ini secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada
kumpulan masyarakat yang paling miskin.
Cadangan ini hendaklah didahului
dengan kajian perintis (pilot surveys) di beberapa kawasan perwakilan.
Nisbah bilangan Kk yang diselia oleh setiap Mentor merupakan penentu
penting untuk memastikan keberkesanan seluruh cadangan.
Secara keseluruhan, cadangan ini
mengandungi empat unsur: pertama, kita perlu memastikan kefahaman dan
penerimaan konsep asasi ini. Seterusnya kita hendaklah memastikan ia
mencakupi semua KMM. Ketiga, cadangan ini hendaklah dilaksanakan dengan
berkekalan. Akhir sekali, kita perlu menerima hakikat bahawa kejayaan
sepenuhnya akan hanya boleh dicapai dengan berkesan, secara
berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun.
Pembaca perlu terima kenyataan
bahawa penyampaian rangka cadangan ini berlakarkan suasana yang benar,
tidak berat sebelah dan berasaskan uji kaji atau timbangan empirisis.
Penyampaian itu harus tertumpu atau terfokus kepada matlamat asasinya.
Hasil kajiannya hendaklah
dilapor kepada satu pasukan khusus yang berkekalan. Yang demikian,
cadangan ini wajib dibaca sebagai satu saranan yang berdiri di atas
empat pangsi.
Saya perlu tekankan bahawa
cadangan ini bukan satu muslihat untuk memperkenalkan negara kebajikan
(welfare state) atau seumpamanya. Ia semata-mata untuk memperbaiki
masalah kemiskinan dalam satu sektor penting di negara Malaysia.
Akhir sekali, pihak di peringkat
tertinggi kerajaan hendaklah mencari keseimbangan berperikemanusiaan di
antara jumlah kos pelaksanaan cadangan ini dan kos sebahagian daripada
projek prasarana atau alat bekalan tertentu yang mungkin boleh dianggap
keutamaannya tidak begitu mustahak.
Secara ringkasnya, cadangan memperbaiki taraf KMM mempunyai tujuh manfaat:
1. Ia mencakupi semua warganegara yang mempunyai MyKad-KMM khusus.
2. Faedah kewangan dan lain-lain kemudahan akan dibahagikan sama rata dan secara langsung.
3. Cadangan ini akan mengubah
tanggapan seluruh keluarga, mengurangkan sikap tidak ambil peduli atau
apathy dan mencetuskan minda positif, proaktif di antara KMM.
4. Ia memberi fokus terhadap manfaat pemakanan dan kesihatan di kalangan kanak-kanak KMM yang sangat memerlukannya.
5. Tidak ada percanggahan di antara penyebab bantuan bukan kewangan dengan amalan perniagaan di Malaysia.
6. Ia membuka jalan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat yang tidak bergantung sangat kepada pihak lain.
7. Ia mampu memenuhi matlamat
yang terabai sekian lama, iaitu membantu Bumiputera khususnya dan KMM
secara amnya, supaya mereka boleh hidup berdikari.
Usaha merungkai masalah yang paling rumit boleh mencetuskan sinar baru terhadap penyebab kemiskinan yang wujud di negara kita.
Ada pula beberapa saranan yang
kurang kukuh yang sukar diterima oleh pembaca umum seperti: kemiskinan
itu harus wujud disebabkan suratan takdir, atau cadangan niat baik yang
tinggal khayalan harapan kosong sahaja. Atau ajuan politik depostisme di
mana segala kuasa pemerintah tertumpu kepada seorang pemimpin yang
ganas. Atau rancangan berdikit-dikit demi pencapaian reformasi yang
lengkap.
Setakat ini, belum pernah ada
cadangan seperti ini dihasilkan di Malaysia. Ia merupakan cadangan yang
julung kali serba lengkap dan selari dengan satu model inovatif yang
telah dicadangkan oleh penulis dengan berskala agak kecil sedikit: iaitu
Agensi Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1960. Maka cadangan saya di
bahagian permulaan adalah rumusan penulis veteran pada usia 90 tahun.
* Royal Professor Ungku Aziz was the Vice-Chancellor of University Malaya from 1968-1988
The Malaysian Insider 26 Februari 2012
Petua Ungku Aziz jaga kesihatan
PROFESOR Diraja Ungku Aziz sentiasa dihormati sebagai tokoh akademik terulung negara dan tidak hairanlah pelbagai pihak mendapatkan pandangannya mengenai isu seperti pembangunan ekonomi dan kecemerlangan universiti.
Pada usia 84 tahun, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku, terus mengekalkan stamina fizikal dan minda, sesuatu yang jarang dimiliki orang sebaya umurnya.
Pemikiran Pak Ungku bukan hanya terhadap kepada isu ilmiah dan akademik, malah bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini mempunyai gaya hidup sihat dan pandangan unik mengenai tabiat pemakanan orang Melayu.
Ikuti beberapa pandangan Pak Ungku mengenai senaman dan pemakanan yang bukan sekadar untuk ditatapi, malah boleh diamalkan mengikut kemampuan masing-masing.
Senaman
Pak Ungku berpendapat bahawa senaman mesti mengeluarkan peluh. Bersenam atau beriadah adalah rutin hidupnya. Ketika usia muda, beliau menjadikan angkat berat sebagai senaman dan kemudian berjoging satu atau dua jam. Kini sesuai dengan peningkatan usia, aktiviti berjoging digantikan dengan berjalan laju selama sejam setiap pagi.
Pemakanan
Aspek ini cukup dijaga oleh Pak Ungku. Beliau menyifatkan corak pemakanannya amat ringkas, iaitu tidak banyak makan gula, karbohidrat dan makanan berlemak. Apakah menu makanan Pak Ungku?
Sarapan - Cuma empat biji kurma dan ketika musim jambu air, buah tempatan ini menjadi pilihannya. Beliau juga makan epal dan cider epal yang disifatkannya amat baik untuk mengelakkan arthritis.
Makan tengah hari - Pak Ungku hanya makan sekali sehari. Beliau memilih hidangan ikan atau ayam dan sayur-sayuran, salad serta buah-buahan. Beliau cukup suka buah-buahan dan hingga kini, nanas yang sesetengah orang anggap sebagai ‘tajam’ dimakannya, termasuk pada jam 11 malam tanpa sebarang pantang.
Malam - Bubur atau sup menjadi pilihannya. Pak Ungku sudah lama tidak makan daging merah dan kopi. Sebaliknya, beliau memilih teh Cina atau Jepun yang dibancuh sendiri serta minum banyak air iaitu sebanyak enam gelas. Kadang kala, beliau makan sate, tetapi tidak begitu suka makanan pedas dan berminyak.
Rutin harian
Pagi - Bangun seawal jam 6 pagi hingga jam 7 pagi, membaca al-Quran, belajar tafsir termasuk menggunakan bantuan moden seperti CD. Beliau suka belajar bahasa Arab kerana mencabar dan berpendapat amalan membaca al-Quran amat baik sebagai pembuka minda.
Antara jam 7 hingga 8 pagi, Pak Ungku berjalan laju di sekitar Seksyen 17, Petaling Jaya dan beriadah menerusi programnya sendiri. Selepas warm up atau baginya ‘naik haba’, Pak Ungku membaca surat khabar selama setengah jam. Selepas mandi dan minum pagi, beliau ke pejabat yang terletak berdekatan rumahnya.
Tengah hari/petang - Makan tengah hari. Beliau akan tidur dan berehat pada waktu petang, iaitu sekurang-kurangnya lima minit dan jika tidak sibuk hingga 45 minit. Beliau lebih selesa tidur menghadap tingkap terbuka tanpa penghawa dingin .
Malam - Hanya makan ringan dan menonton berita serta program kesukaan. Pak Ungku tidur jam 12 malam dan hanya kadang kala jam 12.30 atau 1 pagi.
Tabiat pemakanan orang Melayu
Pak Ungku melahirkan kebimbangan terhadap amalan pemakanan orang Melayu yang negatif dari segi kesihatan seperti makan nasi lemak setiap hari dan pengambilan gula yang tinggi hingga menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.
Beliau berkata: “Cukup menakutkan apabila saya membaca laporan bahawa 10 peratus orang Melayu menghidap kencing manis. Saya tidak faham mengapa perlu jadi begitu? Orang Melayu kalau berduit sikit dan mula masuk usia 40-an, mulalah buncit perut dan kalau yang perempuannya, selain perut, punggung menjadi lebar dek diselaput lemak. Sepatutnya ini semua tidak berlaku".
Pemakanan seimbang
PENGAMBILAN makanan seimbang adalah antara isu yang menjadi perhatian Pak Ungku. Beliau berpendapat ramai kanak-kanak lebih gemar mengambil makanan ringan dan diproses yang sebenar tidak elok untuk kesihatan.
Sementara itu, katanya ketidakseimbangan juga wujud antara kanak-kanak bandar dan luar bandar. Kanak-kanak luar bandar kurang mengambil makanan yang cukup berkhasiat berbanding kanak-kanak di bandar yang terdedah kepada pelbagai iklan mengenai pengambilan makanan berkhasiat.
Katanya, kanak-kanak bandar tidak menghadapi masalah dari segi pengambilan zat dan vitamin serta menikmati pelbagai kemudahan kesihatan yang sempurna.
Beliau berpendapat, menu seperti telur dan ikan sebagai makanan harian amat penting untuk melahirkan pelajar cemerlang, khususnya pada peringkat sekolah rendah kerana makanan berkhasiat dan protein membolehkan kanak-kanak mempunyai otak yang cerdas dan cergas.
Zeti Akhtar bersama bapanya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan anaknya, Alif Ayman (kanan) pada majlis sambutan Maal Hijrah 1432H di Putrajaya hari ini. — Foto Bernama.
Perginya seorang tokoh budaya Melayu
Minggu lepas, Malaysia kehilangan seorang bintang warisan dan budaya negara, apabila penulis, aktivis dan tokoh budaya Melayu yang tersohor, Azah Aziz kembali ke Rahmatullah.
Dilahirkan di Singapura pada 1928 dan dibesarkan di Johor Bahru, bonda beliau, Azizah Jaafar, adalah kakak kepada pengasas Umno dan Menteri
Besar Johor, Datuk Onn Jaafar.
Umum mengetahui bahawa Azah Aziz memiliki personaliti yang mempesonakan dan budi pekerti yang tinggi. Walaupun dalam suasana santai, beliau sering berpakaian rapi, berbaju kurung (kebiasaannya baju kurung cekak musang) yang menggambarkan keunikan sahsiah beliau.
Puan Azah sememangnya seorang ikon yang memukau,terutamanya bagi mereka
yang sempat bersua muka dengan budayawan ini. Puan Azah juga dikenali
di negara-negara jiran. Tidak hairanlah, Basoeki Abdullah, seorang
pelukis tersohor di Indonesia telah memotret gambar Puan Azah dan hasil
seni itu ada digantung di Istana Negara Jakarta.
Sebagai seorang daripada kerabat dinasti keluarga yang tersohor (dan aktif berpolitik) di Johor dan membesar tatkala negara masih dilanda kemelut kewangan akibat perang dan dalam pergolakan menuntut kemerdekaan, Puan Azah turut serta dalam membantah penubuhan Malayan Union serta aktif bergiat ke arah pembentukan Umno.
Beliau berkahwin dengan tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz (berasal dari Johor juga), ketika di usia muda lagi. Semangat dan usaha beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat masih dapat diteruskan biarpun memulakan keluarga seawal usia (anak beliau, Tan Sri Zeti Aziz, ialah Gabenor Bank Negara).
Pengalaman hidup beliau yang sentiasa dibayangi semangat patriotik Melayu dan peka terhadap pembangunan ekonomi (didorong suaminya) pada ketika itu, telah menjadikan beliau penulis yang gigih dan unggul selama lebih dua dekad.
Puan Azah memiliki minat dan pengetahuan yang mendalam mengenai budaya Melayu. Justeru, beliau memahami kepentingan mengekalkan hubungan kukuh sesama warisan multi-diversiti yang kita miliki – lanjutan daripada lembaran pengaruh budaya Timur Tengah, Indonesia, India dan China.
Saya ketika pertama kali bertemu beliau 15 tahun yang lalu ketika saya menjalankan penyelidikan mengenai sejarah pakaian tradisional Melayu antara zaman 1930-an dan 1940-an.
Sesungguhnya pengetahuan beliau amat hebat dan di luar jangkaan. Saya sangat tertarik dengan ruangan baca yang dipenuhi koleksi buku dan tekstilnya – beliau adalah tokoh yang benar-benar mendalami asal-usul beliau di samping sentiasa bersikap terbuka dan kritis.
Ketika perbincangan, beliau menerangkan perbezaan aspek pakaian antara negeri Perak, Johor dan Kedah. Ketika itu, saya mula memahami asas penting yang menjadi penggerak Puan Azah terhadap budaya Melayu.
Beliau percaya bahawa keunikan utama budaya Melayu terletak pada kepelbagaian, gabungan dan pertindihan antara pengaruh budaya lain – faktor mengapa beliau tertarik dengan tren rekaan baju kurung moden yang menggunakan material yang sama pada baju dan kain.
Beliau kagum dengan keupayaan masyarakat Melayu dalam mengadaptasi – rekaan budaya asing (bukan sahaja mengenai pakaian, tetapi dalam hal lain) – sama ada ianya kain broket, sutera atau satin menjadi suatu rekaan unggul masyarakat Melayu.
Malah, bagi Puan Azah, pakaian adalah suatu tradisi bagi meneroka kekayaan dan kepelbagaian sesuatu budaya (daripada pantun kepada syair). Beliau berjuang dalam memelihara kecantikan dan keunikan tradisi tersebut menerusi penulisan buku, risalah, majalah dan artikel.
Ternyata beliau menginginkan supaya generasi kini dapat mengenali diri sendiri sambil mengetahui sejarah asal-usul budaya, seperti yang dikarangkan dalam salah satu karya penulisan beliau: “Tiada masa depan tanpa sejarah masa lalu. Persoalannya adalah di mana asal kita dan ke mana arah tujuan kita: dari mana, ke mana.”
Minat beliau adalah meluas. Sejajar dengan itu, beliau sangat aktif berjuang untuk hak wanita – menekankan isu bayaran gaji sama rata bagi wanita.
Sungguhpun masih banyak yang harus dilakukan untuk aspek kesamarataan jantina, beliau dikenali sebagai ikon perintis bagi perjuangan wanita. Ketika masyarakat kita berpecah–belah dan berpuak-puak, dan apabila mereka yang kononnya berjuang untuk masyarakat Melayu bersikap agresif, sememangnya penting bagi kita mengingati ikon seperti Puan Azah Aziz.
Seorang yang tenang, elegan dan disegani ramai, beliau menjadi tokoh hebat kalangan pejuang bangsa dan identiti Melayu yang pernah dilahirkan. Sesungguhnya pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi bangsa Melayu dan Malaysia. Semoga roh beliau dicucuri rahmat, Amin.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/perginya-seorang-tokoh-budaya-melayu-1.67318
...........................................
Zeti: Ikon golongan profesional
TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah seorang ikon. Sebenarnya, beliau telah lama menjadi ikon, lama sebelum menjadi Gabenor Bank Negara (BNM) pada Mei 2000, setelah memangku jawatan tersebut sejak September 1998.
Pada satu sisi, Zeti merupakan simbol kebanggaan kaum Hawa kerana beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa seorang wanita Melayu mampu mengurus sistem kewangan negara majoriti Muslim dengan cemerlang. Sememangnya kejayaan beliau diperakui di seantero dunia dan Zeti merupakan tokoh yang disegani dalam komuniti kewangan global.
Tatkala Malaysia sekali lagi berdepan dengan cabaran ekonomi global yang mengingatkan kita kembali pada zaman menjelang krisis kewangan Asia 1998, terkenang peranan tokoh wanita hebat ini dalam menyelamatkan negara dari terjerumus lebih teruk dalam krisis tersebut.
Walaupun langkah drastik BNM menetapkan kadar tukaran nilai mata wang Ringgit kepada Dolar Amerika ketika itu mengundang kontroversi dan dikritik hebat, langkah tersebut telah terbukti berjaya menenangkan pasaran ketika itu. Ternyata langkah berani itu tepat dan berkesan.
Justeru, apa yang membuatkan Zeti istimewa? Pertama, beliau seorang ahli perbankan pusat yang sejati: bebas, berani dan profesional. Zeti sering bertindak bertentangan dengan jangkaan pasar- menaikkan kadar faedah lebih awal dari yang dijangka dan memotongnya dengan cepat bersesuaian suasana pasar.
Sepanjang menjadi Gabenor, Zeti berjaya mendorong sektor kewangan negara mempertingkatkan prestasi dan memastikan dalam keadaan stabil serta bersiap siaga berdepan sebarang masalah ekonomi.
Memang benar Zeti dilahirkan dalam keluarga terbilang. Beliau anak kepada tokoh akademik dan ahli ekonomi dari Johor, Profesor Diraja Ungku Aziz, manakala ibunya penulis dan tokoh budaya, Azah Aziz. Namun, Zeti berjaya atas usaha sendiri, bukan kerana isteri atau anak orang tertentu.
Ini membawa saya kepada poin kedua: Zeti merupakan contoh bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pro-Bumiputera kerajaan telah berjaya. Hari ini, kita hanya mendengar banyak keluhan tentang kegagalan DEB. Ini sememangnya benar apabila kita melihat kepada peluang dan sumber yang telah disalahgunakan.
Namun demikian, kita jangan sesekali menidakkan kejayaan dasar tersebut dalam melahirkan tokoh disegani seperti Zeti, Gabenor BNM yang disegani di dunia kewangan global.
Seharusnya kita menginsafi hakikat bahawa pada 1970, bilangan golongan profesional Bumiputera (termasuk arkitek, akauntan, doktor gigi, doktor dan jurutera) hanya sekitar 4.3 peratus. Pada tahun 2005, golongan ini mewakili 38.8% dari jumlah keseluruhan Bumiputera
Malaysia.
Walau ramai orang Melayu menggunakan peluang yang diberi oleh DEB untuk mengayakan diri dengan mengaut kontrak-kontrak kerajaan, terdapat juga mereka yang seperti Zeti, menggunakan peluang diberi kerajaan untuk membina kerjaya yang cemerlang terutamanya dalam sistem pentadbiran negara.
Mendahului Zeti, adalah barisan tokoh birokrat dan teknokrat yang amat disegani seperti mantan Gabenor BNM Tun Ismail Ali, salah seorang pengasas Petronas, Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, mantan Pengerusi Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, dan Tan Sri Ahmad Zakaria Noordin Zakaria, Ketua Audit Negara yang berani berdepan dengan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dalam isu penyelewengan BMF.
Tokoh-tokoh ini berpendidikan tinggi dan berusaha keras dalam membangunkan Malaysia yang kita warisi hari ini. Harus diingatkan, golongan birokrat dan teknokrat yang dikagumi ini merupakan sebahagian daripada kumpulan profesional yang diasah bakat dan kerjayanya dibentuk oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Selain kumpulan pemimpin disegani ini terdapat juga golongan profesional yang walaupun kurang menonjol tetapi begitu berdedikasi seperti barisan hakim, doktor, pentadbir awam dan ahli perniagaan.
Namun demikian, walaupun kedua kumpulan sering selalu mampu bekerja bersama, golongan profesional Melayu secara keseluruhannya sering berdepan dengan tuntutan golongan politik yang berpengaruh.
Golongan profesional sering kali harus menjadi kompas moral dalam mempertahankan sesuatu yang benar dan menjauhkan dari kehancuran. Sememangnya ini sudah menjadi asam garam dunia pentadbiran Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Situasi seperti ini menyulitkan dan boleh membawa kepada konflik.
Siapa sebenar lebih berhak menentukan hala-tuju negara: pemimpin politik yang dipilih rakyat atau birokrat yang dilantik?
Dinamika sepak terajang, 'tarik menarik’ di antara kumpulan ini sudah lumrah dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.
Namun begitu, Zeti lebih bermakna dan bernilai dari dinamika ini. Beliau ikon integriti kebijaksanaan dan profesionalisme.
Sesungguhnya, kita amat memerlukan tokoh seperti Zeti, terutama dalam berhadapan situasi ekonomi yang amat mencabar dan malap ke hadapan.
* Sinar Harian dalam November 2015
8 comments:
Saya dah baca artikel ini dalam berita harian. Ini artikel saudara ke?
Kalau iya, saya kagum. Menarik dan padat..
Saya tertunggu2 juga, bilakah artikel Burhanuddin dan pejuang kiri yang lain akan diterbitkan.. Kalau boleh saya nak baca.. Burhanuddin rumahnya juga telah diroboh untuk pembangunan katanya tapi rumahnya itu menyimpan seribu rahsia perjuangan seorang pejuang negara..
Intelektual spt Prof Ungku Aziz ini juga pejuang, tapi kita kena ingat kalau tidak ada yang lama tidak akan ada yang sekarang..
Prof SH Alattas dan Syed Naquib Al-Alattas di ISTAC Uni. Malaya juga banyak memberikan sumbangan tapi mungkin namanya tidak menonjol seperti seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi.. Adakah para akademik dari bidang lain dipandang sebelah mata oleh masyarakat.. ;) Falsafah di Malaysia juga sepentingnya seperti hal-hal ekonomi kapitalis.
Saudara, juga kalau boleh berikan ulasan daripada segi pejuang2 haluan kiri masa Zaman Revolusi Russia dan Perancis dan kesannya kepada Tanah Melayu semasa berlaku revolusi ini.. Dalam dunia ini ada tiga revolusi yang mencorakkan sosio-politik sekarang; Revolusi Perancis, Amerika dan Russia..
Malaysia ada juga revolusi, tapi revolusi kita dikenali sebagai revolusi pengkhianatan.. Di Malaysia ada Revolusi 48, iaitu semasa Zaman Darurat tapi sebenarnya itu adalah revolusi dimana rakyat Malaysia bangkit bangun meminta kemerdekaan daripada penjajah..
Tapi sayang, mereka yang menuntut kemerdekaan ini dicop sebagai komunis dan pelbagai yang diea korup lain...Sayang sekali revolusi ini jika tidak dipelajari dan dihayati perjuangan nyaaa.. ;)
Sekadar pertanyaan..
assalamualaikum
pertama sekali saya hendak mengucapkan terima kasih kerana saudara telah memaparkan sejarah perjuangan ungku aziz.saya adalah salah seorang yang amat mengagumi akan perjuangan ungku termasuk ahli keluarganya.saya harap saudara dapat menyediakan cerita yang terkini tentang ungku.sekian, terima kasih
Naulofa,
Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kerana sudi membaca blogger saya. Dan Naulofa teruja dengan cerita Prof. Ungku Aziz. Saya banyak mendapatkan fakta melalui buku karangan Aziz Zariza Ahmad dan order sourse...
Prof ini sukar untuk mendapatkan cerita terkini kerana tidak pernah mengarang buku. Ini yang menyukarkan pengkaji atau peminatnya. Yang saya tau dia hanya mempermosikan satu buku klau tak silap tentan Sirdaharta... Seorang little budha mencari dirinnya sendiri... banyak pengalaman mistik dilaluinya... itu saja.
*Saya masih mencari gambar beliau ketika berjogging untuk artikal blogger say abertajuk: Jogging till u drop
TErima kasih,
Salam Tuan, bagaimana saya nak beli buku lama Sebutir Permata Di Menara : Ungku Aziz oleh Aziz Zariza Ahmad ni? Tuan ada cdgn?
-syihan
syi_han@yahoo.com.my
http://www.facebook.com/ahmad.syihan.50
Sdr Amyra,
Buku ini terbitan sekitar 1987. Dan terlalu sukar mendapatkannya atau hubungi terus penulisnya.
Maaf
Adakah anda dalam apa-apa jenis masalah kewangan? Adakah anda memerlukan pinjaman untuk
penyatuan hutang, pembinaan, pinjaman hartanah, membiayai semula, peribadi,
maksud perniagaan atau wang kecemasan? Adakah anda seorang lelaki perniagaan atau
wanita yang merancang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, kami menawarkan pinjaman semua jenis pada hanya 2%. jika berminat hubungi kami hari ini melalui fredrickpetersonloan@gmail.com dengan maklumat di bawah.
NAMA PENUH:
NEGARA:
JUMLAH PINJAMAN DIPERLUKAN:
PINJAMAN TEMPOH:
PENDAPATAN BULANAN:
NOMBOR TELEFON:
Terima kasih,
Mr Fredrick
Adakah anda memerlukan pinjaman untuk sebenar? Adakah anda pernah ditolak oleh mana-mana pertubuhan kewangan, bank dan perusahaan kewangan lain? Jika ya, bimbang tidak lagi kerana syarikat pinjaman @ ROSSA STANLEY, kami adalah syarikat kewangan yang berpengalaman yang menyediakan pinjaman korporat, kepada badan korporat.farmer, kontraktor dan orang awam pada kadar faedah sebanyak 2%. Kami mempunyai akses kepada kumpulan tunai untuk memberi kepada syarikat dan mereka yang mempunyai rancangan untuk memulakan perniagaan tidak kira betapa kecil.Kami yakin bahawa kebajikan dan keselesaan anda adalah keutamaan kami yang optimum, mengapa kami berada di sini untuk menjaga pemprosesan pinjaman anda . Berhubung dengan perkhidmatan pelanggan kami
E-mel: Rossastanleyloancompany@gmail.com
Viber: +15186756750
Instagram: Rossamikefavor
Twitter: Rossastanlyloan
Untuk tindak balas yang cepat dan pantas ....
Sila isi borang permohonan di bawah:
DATA PEMOHON:
1. Nama
2. negara
3. Alamat
4. Jantina
5. Kerja
6. Jawatan di tempat kerja
7. Pendapatan bulanan
8. Jumlah pinjaman yang diperlukan
9. Tempoh pinjaman
10. Agama
11. Pernahkah anda memohon sebelum dan ditolak? Jika ya
12. jika anda telah ditolak berikan alasan .............................. .......... ..
............................. ..................... ..........
............................. ..................... ..........
............................. ..................... ..........
............................. ..................... ..........
Kami berada di sini untuk keperluan kewangan anda
Post a Comment