ads

Wednesday, June 30, 2010

Demam bola di Johannesburg

Turut merasai keseronokan kejohanan Piala Dunia pertama dianjurkan di benua Afrika

AZHAR, Penulis di tengah kelayak tidak melepaskan peluang menyokong pasukan yang diminatinya.

IMPIAN melihat Piala Dunia secara langsung dan berada di dalam stadium bersama puluhan ribu penyokong dari seluruh dunia adalah impian penulis dan semua yang meminati arena sukan bola sepak.

Piala Dunia hanya empat tahun sekali tetapi pemain negara yang dihimpunkan adalah bertaraf antarabangsa dan di situlah gelanggang yang mempamerkan skil individu dan strategi terbaik dirancang.

Satu hari penulis dikejutkan dengan khabar gembira tak terkata, di mana penulis diberi peluang keemasan ke Johannesburg, Afrika Selatan oleh syarikat penulis bekerja iaitu The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd. Penulis diberi tiket untuk menghadiri upacara pembuka tirai Piala Dunia dan perlawanan di antara Afrika Selatan menentang Mexico.

Peluang ini tidak akan disia-siakan penulis memandangkan ia hanya datang sekali seumur hidup. Penulis bertolak ke Johannesburg bersama seorang teman yang turut mendapat tiket ke sana.

Perjalanan pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu transit terlebih dulu di Bangkok selama tiga jam sebelum berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan yang mana perjalanan mengambil masa lebih 11 jam.

Sekitar jalan ke stadium yang di penuhi bendera wc2010.

Walaupun keletihan kerana perjalanan jauh, namun bila dikenang kembali tiket Piala Dunia bernilai AS$300 (RM1,000) dan peluang keemasan diberi itu, terus hilang segala kepenatan sekelip mata.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tambo, penulis diberi air tin Coca-Cola dengan ayat tertera ‘Welcome to South Africa, World Cup 2010’ sebagai tanda penghargaan kedatangan pengunjung.

Penulis tidak sampai hati untuk minum kerana ‘packaging’ tin yang cantik dan ia sangat sesuai dijadikan barang kenangan.

Cuaca di sini boleh dikatakan sejuk, dianggarkan 4 darjah Celsius pada waktu pagi, tengah hari dan petang, 10 darjah Celsius manakala malam boleh mencapai 0 darjah Celsius.

Perjalanan penulis dari lapangan terbang ke Hotel Grand Airport yang didiami penulis adalah kira-kira 15 minit. Penulis dikatakan bertuah kerana pihak hotel menyediakan van ‘shuttle’ untuk kemudahan tetamunya.

Ini kerana kemudahan awam di sini boleh dirumuskan agak lemah dan pelancong perlu lebih berhati-hati kerana bandar Johannesburg terkenal dengan kadar jenayah tinggi.

Sejurus tiba di hotel, penulis terus menyimpan bagasi dan keluar berjalan bersama teman untuk melihat suasana dan keadaan sekitar seawal jam 10 pagi.

Di sini penulis dapat melihat kedai dan perumahan didirikan agak teratur dan tersusun di samping kain rentang dan bendera negara yang digantung di setiap jalan.

Di luar stadium rancak peniaga memperagakan jualan wc2010.

Penulis juga melihat sekumpulan remaja kulit hitam mengambil peluang menjual bendera negara di tepi jalan dengan harga 240 Rand (RM102) dan beberapa cenderamata lain.

Ada antara mereka juga menari ala Afrika untuk mendapatkan tip daripada pemandu kereta yang lalu-lalang. Kesusahan rakyat di sini dapat dilihat dan diselami penulis. Penulis ada membeli lukisan hasil lakaran pelukis jalanan untuk dijadikan simpanan.

Kemudian penulis singgah seketika di sebuah kedai kopi untuk membeli minuman panas kerana cuaca terlalu sejuk. Penulis sempat bertanya selok-belok keadaan dan jalan di sini kepada wanita pengusaha kedai itu.

Penulis diberitahu, Stadium Soccer City (lokasi pembukaan) agak jauh dari hotel penginapan penulis iaitu mengambil masa 45 minit perjalanan. Penulis dinasihatkan memilih perkhidmatan van shuttle ke stadium dan elak menaiki teksi yang tidak dikenali kerana faktor keselamatan.

Difahamkan, kerajaan Afrika Selatan memberi cuti sekolah selama tiga minggu untuk mengelak kesesakan lalu lintas sepanjang Piala Dunia berlangsung.

Di sini juga buat pertama kali penulis dikejutkan dan diperkenalkan dengan bunyian-bunyian vuvuzela. Sungguh kuat bunyinya, malah boleh dikatakan sepanjang jalan bersahut-sahutan vuvuzela ditiup warga Afrika Selatan.

Ada pelbagai jenis vuvuzela dapat dilihat penulis; daripada jenis yang kecil hinggalah besar dan ada pelbagai warna juga corak.

Sedang penulis berjalan menuju ke pusat membeli-belah berdekatan, penulis ditegur penduduk sekitar yang lalu-lalang sambil mengatakan “My friend, we will beat your country” (Kawanku, kami akan tewaskan negara anda) dalam nada melawak.

Penulis terpinga-pinga sebentar sebelum menyedari baju sejuk yang dipakai tertera bendera negara Australia. Ketawa besar penulis dan teman.

Pusat membeli-belah di sini boleh dikatakan besar serta ramai pengawal keselamatan menjaga setiap penjuru di dalamnya. Ini mungkin untuk memperketatkan keselamatan kerana ramai pengunjung dari luar negara.

Pusat membeli-belah ini dikenali sebagai East Rand Mall. Peniaga di sini sangat ramah, malah memberi layanan baik kepada penulis dan teman. Di sini penulis membeli beberapa cenderamata, termasuk vuvuzela, untuk dibawa pulang.

Penulis dan teman juga tidak lupa membeli jersi Afrika Selatan dan bendera memandangkan kami berdua sepakat menyokong pihak tuan rumah. Sedang asyik menjamu mata, penulis terlihat sejenis topi kontraktor yang diubah suai bentuknya untuk dipakai sempena Piala Dunia.

Tanpa disedari, masa berlalu dengan pantas dan hari mulai senja, menyebabkan penulis pulang ke hotel untuk berehat. Di hotel, penulis melihat ramai pelancong dari luar negara seperti Brazil, Argentina dan Mexico duduk berborak semeja. Riuh rendah melihat gelagat mereka. Penulis berpeluang untuk turut serta dengan duduk semeja.

Setiap mereka memperkatakan kekuatan pasukan negara kelahiran. Bagi Argentina mereka mempunyai tonggak utama iaitu Lionel Messi, penyokong Brazil percaya pasukan mereka mampu merangkul Piala Dunia, bagi Mexico pula mereka yakin dengan barisan pasukannya manakala Afrika Selatan mempunyai jurulatih bagus dan berpengalaman.

Kelakar bila berada di samping mereka, tetapi itulah ertinya semangat negarawan dan fanatik bola. Penulis ada memberitahu bahawa dalam perlawanan pembukaan di antara Afrika Selatan menentang Mexico, seorang daripada pengadilnya (pengadil simpanan) dari Malaysia.

Mereka terkejut lalu berkata “It’s better be good” (lebih baik jadi bagus -merujuk pengadilan perlawanan) dalam nada gurauan. Penulis juga berpeluang bertukar kad, malah penyokong Brazil, Mr Camargo mengundang penulis tinggal di rumah mereka apabila berlangsungnya Piala Dunia di Brazil.

Hari dinantikan penulis untuk ke Stadium Soccer City sudah tiba. Seawal jam 8 pagi, penulis diberitahu oleh pihak hotel untuk menaiki van shuttle berbayar dari Lapangan Terbang Tambo ke tempat bernama Westgates.

Dari Westgate, penulis bertukar kenderaan menaiki bas awam terus ke stadium itu. Di dalam bas, penulis ditegur mesra oleh penduduk Afrika Selatan sebagai ‘My Brother’ kerana memakai jersi kebangsaan mereka.

Mereka terharu dengan sokongan yang kami beri. Bas yang penulis naiki penuh dengan penyokong pasukan tuan rumah dan ia sangat menghiburkan.

Setibanya di stadium, penulis antara terawal sampai dan tidak perlu beratur panjang. Penulis kagum melihat pemandangan seni bina stadium yang mampu memuatkan seramai 94,700 penonton. Suasana sekeliling riuh rendah dengan sorakan peminat fanatik selepas pintu pagar stadium dibuka pada jam 10 pagi. Penonton perlu melalui pengimbas sekuriti terlebih dulu sebelum masuk.

Gadis Afrika yang malu-malu di depan kemera.

Ketika di pekarangan stadium, penulis melihat ramai penonton dari pelbagai negara turut hadir dalam perasmian sukan berprestij ini. Ada yang hadir lengkap dengan bendera di badan, topi kontraktor/ bola serta penonton asyik menyanyi sambil menari, manakala sebahagiannya pula meniup vuvuzela sekuat hati.

Penulis tertarik melihat pancaragam yang membawa pelbagai alat muzik unik. Di sini juga penonton dihiburkan dengan gaya tari patung besar yang dikawal oleh jurumudinya. Penulis sempat bergambar kenang-kenangan bersama patung unik dan penyokong dari pelbagai negara.


Suasana itu umpama pesta besar-besaran dan kedengaran jeritan ‘Bafana bafana’ dari penyokong Afrika Selatan yang bermaksud pemain lelaki.

Bagi penyokong Mexico mereka tidak mahu kalah daripada segi pemakaian, ada yang memakai topeng gusti dan menconteng muka untuk meraikan pasukan negara. Malah mereka memakai topi besar Mexico yang cantik dan menarik.

Keadaan di dalam stadium dikawal rapi oleh pengawal keselamatan. Stadium bergema dengan ribuan tiupan vuvuzela ketika perasmian yang meriah dengan disusuli jet pejuang melintasi ruang atas stadium, selain persembahan pelbagai tarian unik Afrika.

Perlawanan pembukaan antara Afrika Selatan menentang Mexico berlangsung sengit dengan sorakan kuat dari seluruh isi stadium.

Penulis berasa bangga kerana melihat pengadil Malaysia (Subkhiddin Mohd Salleh) ketika perlawanan itu. Tanpa berlengah, penulis berkesempatan merakam suasana berharga itu menggunakan kamera video untuk tatapan di kemudian hari.
Shakira Waka Waka lyrics Shakira released "Waka Waka" as the FIFA World Cup 2010 

People are raising
Their Expectations
Go on and feed them
This is your moment
No hesitations

Today's your day
I feel it
You paved the way
Believe it

If you get down
Get up Oh oh...
When you get down
Get up eh eh...

Tsamina mina zangalewa
Anawa aa
This time for Africa

Tsamina mina eh eh
Waka Waka eh eh

Tsamina mina zangalewa
Anawa aa

Tsamina mina eh eh
Waka Waka eh eh
Tsamina mina zangalewa
This time for Africa.

Penulis bersyukur kerana diberi peluang sebegini kerana impian yang diidam-idamkan tercapai jua. Walaupun tempoh percutian singkat, pengalaman ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan pasti menjadi memori indah yang sukar dilupakan sepanjang hayat.
Oleh AHMAD AZHAR MOHAMAD NOR
aazhar@nstp.com.my


Disiarkan di Metro Ahad 27 Jun 2010 dalam Ruangan Ekspresi.


Monday, June 14, 2010

Terima kasih Mak

Cerita ini datang dari email seorang kawan yang berasal dari tanah Felda Jenderak Utara. Saya mengalir air mata membacanya... Cerita dari kawan lain, katanya. Berkebetulan Pak Najib, Perdana Menteri sedang ingin mengubah nasib para penorka Felda. Go Glokal... Jadi molek bebenorlah ditampilkan cerita pendek ini untuk menjadi pedoman kita di hari muka.

...........................................

Kalau nak kira Mak aku la harta yang paling mahal, palig berharga, tak de nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat ngan Mak aku, dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. Cukup memahami...



Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu, pernah kami kena pelangkung dengan dia sebab lambat mandi pagi nak p sekolah. sejak hari tu aku dah kurang sket ngan abah. Apa-apa masalah aku ngadu ngan mak. Mak laa tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat keja sekolah. Mintak duit belanja. Kena buli ngan kawan, semuanya Mak. Ngan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.

Abah pepagi lepas hantar kitorang p sekolah dia p ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat kekadang tidur kat pangkin bawah pokok moktan tepi rumah.

Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena.
Masa tu kekadang aku rasa ngapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak Abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami, kami dulu org susah abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, Mak buat nasik lemak ngan kuih tepung bungkus.

Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasik. Pepagi lepas hantar kitorang p skolah abah singgah letak nasik lemak ngan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasik lemak sebungkus Abah jual 30 sen kuih tepung bungkus 15 sen. Kekadang tu aku bawak gak 2, 3 bungkus nasik lemak jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu.

Aku dpat duk ngan mak sampai tingkatan 3, pastu aku masuk asrama Vokesional Temerloh. Tapi tetiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak, keras tengkuk aku duk makan nasik kawah, ikan jeket ngan sawi balak kat asrama.

Petang Jumaat balik kampung sampai umah terus cari nasik. Mak setiap jumaat dia dah tau, dia akan goreng ikan plaklin (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh ngan kacang botol, sambal belacan lada besar. tu je favored aku, Ada set tu... mamang makan tak ingat punya. Kekadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3, 4 kali ulang makan nasik.

Duk asrama 2 taun lepas SPM aku kerja sementara kat Tekam Resort, nama je resort sebenarnya aku kerja dalam ladang gak banci pokok. Gaji RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambik gaji tu seronok bukan main macam-macam dah plan nak beli barang.

Benda yang paling aku teringan masa tu, pancing guna mesin. Dapat duit terus p pekan beli, ingat lagi... harga pancing tu RM75 satu set. Balik rumah petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak, bayar balik duit minyak moto yang aku mintak kat dia tetiap ari p kerja. menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata "ni bukan duit minyak moto, ni duit kerja anak ma, alhamdullillah dapat dah ma merasa duit anak-anak".

Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran p UITM (masa tu masih ITM) Shah Alam jurusan elektrik panggilan pertama. masa tu aku baru balik keja, siap mandi, pastu makan. mak masak sedap tengah hari tu. Tengah makan mak cakap "haa.... makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni", aku tanya ngapa. Mak kata ada surat kat depan. Dan dan aku p ambik baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat mak. Dia kata dia dah baca tadi. Berair mata mak masa tu, kata dia... lepas dah anak ma 2 orang, tinggal 2 lagi tu tak tau macam mna.

Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu abg sulung aku tanggung. Masa tu dia di Jepun study dan buat kerja part time jadi DJ.

Masa aku part 4, mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik lalaki. Abah la orang paling gembira dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, abah, aku tengok abah yang mengasuh adik lebih dari mak. Syukur pda Tuhan harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.

Ssetahun lepas adik lahir mak sakit. Tapi tak de la teruk sangat, cuma p klinik je. Lepas sebulan lebih sakit mak tak sembuh. Abah bawak pegi pada pakar kat hospital Mentakab. Diarang ambik semple darah.

Lepas seminggu diorang panggil p hospital semula, dah dapat keputusan. Ya Allah, mak disahkan kena barah payu dara. Doktor kata, untuk selamat mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Bermula dari hari tu kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah. Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate. Mak tetiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risukan adik perempuan yg masih kecik, apa nasib adik bila dia tak de nanti. Aku cukup tak tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. "mie... nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu je. Mie.... kain batik ma ada 3 lai yang baru dalam almari, nanti orang datang bukak ambik". Air mata memang tak leh tahan.

Sampai masa mak terpaksa operate jugak. Doktor kate kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu aku ambik cuti seminggu dengan dekan. Balik kampung kena jaga adik.

Lepas operate mak dah mula jadi lemah kesian sangat aku tengok doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak trlampau lemah. Lepas 2 minggu Mak kat spital. Dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat umah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang. Mak boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa.

Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak p hospital jengka. Bermula hari tu...keadaan mak makin hari, makin teruk. Seminggu mak kat spital. Kemudian doktor bagi balik, keadaan mak elok sket, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duk umah, pas tu abah terpakasa bawak mak p hospital semula, sebab keadaan mak terlalu lemah, mata tak bleh bukak, dah tak bleh bercakap, mak tak makan sejak balik umah. Masuk makanan mak muntah.

Doktor kata penyakit mak dah teruk, kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan. Selama di spital mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya aku tengok muke mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap. tapi masa tu mak boleh bercakap.

Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit. Tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam tak de apa-apa boleh buat lawak, gelak lagi. Walhal aku tau yang dia menanggung sakit yang amat sangat.

Doktr ada terangkan pada kami adik beradik macam mana nak jaga org sakit barah. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan. penglihatan akan kabur, di sebabkan paru-paru mak dh rosak, bila dia bernafas dia akan rasa sakit.

Seksanya mak, tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik.

Semakin hari keadaan mak semakin teruk .... aku ambik keputusan untuk cuti satu sem. Abg di Jepun pun balik.
Hati mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam di pam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga pemikiran mak dah tak berapa normal. Dia tak kenal dah orang yg pegi melawat dia, kecuali kali anak-anak dia. Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa. Mak kata ada habuk penuh atas kepala aku jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak merambu air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia.

Hampir 3 bulan mak kat spital jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua misi, doktor dah kenal. Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalnya walaupun kami lelaki jururawat kat situ dah tak kesah. Memulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Kami jumpa doktor dan ketua dia jururawat, mintak kebenaran sebab kami tak de adik-beradik pompuan kemudian mak perlukan org tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada org urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa Mak sementara hayatnya masih ada.

Akhirnya Mak kami bawak balik ke umah. Sebab Mak kate dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia suami dia. Mintak ngan doktor, doktor benarkan. doktor kata mak dah tak de harapan.

Bila mak sampai rumah. Suatu keajaban berlaku, mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. cuma mata dia ja masih kelabu. Dia makan, kami bagi semua makanan yang dia suka, apa yang dia sebut kami cari. Kami ambik semua baju baru mak kami pakaikan pada dia. Mak sembang ngan semua orang, mintak maaf ngan semua. Mak terpaksa baring mengiring, sebab perut dia smakin membesar.

Lebih kurang seminggu mak kat rumah. Mak nazak. Hari tu pagi sabtu. Nafas Mak tersekat-sekat... masa tu Mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru dengar.

Tengah hari tu kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu, seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat. Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua dan buat keputusan, agaknya hari ni sampailah masa tamatnya penderitaan mak sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan abah pegi pada mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum. "Ma... Emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa Emie pada ma, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum Emie selama ni, Emie mintak halal air susu yang Emie minum", banyak lagi aku nak sebut pada Mak tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. kami kucup dahi Mak.... kami cium tapak kaki mak.

Air mata Mak mangalir. Kami letak adik tepi Mak. Bagi Mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata Mak mengalir bila tengok adik. Kesian adik lepas ni dia dah tak dapat jumpa Mak. Tak dapat merase kasih sayang Mak. Mak bisikkan sesuatu pada Abah. Air mata abah mengalir. Nilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi Mak.
Kemudian dengan amat terpaksa kami terlentangkan Mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami syangkan Mak. Tak nak seksa mak.
Tak lama mak sesak nafas. Abah ajar mak mengucap.Allahhuakbar seksanya menuju kematian. Innalillahiwainnahiro-jiun..... Ibu tercinta pergi buat selamanya.........

Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini..... linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

---------------------
INGAT.... IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI, JIKA TIADA. MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU.
KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG.... AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU MINTAK AMPUN. JANGAN TUNGGU HARI RAYA JE...TAKUT TAK SEMPAT.
AKU... HANYA MAMPU MENGUCUP BATU NISAN MAK DI PAGI SYAWAL.
---------------------
Bila makan kuih tepung bungkus ... aku akan ceritakan pada wife aku, 'sebab kuih ni la abg boleh pegi sekolah dan kuih ni lah yang membesarkan abang adik beradik...
...........................
Assalamualaikum.


Tak pasti lak kisah benar ke dak..Nampak macam benar. Yang menarik tu kisah datang dari tempat kita...


Yang penting pengajaran yg patut diceduk dari kisah tersebut...baik kita sebagai anak atau ibu bapa. Koi dah 2 kali meleleh airmata membaca cerita nih..


...........................


- ini cerita benar ke?.... tanya saya.

...........................

Gambar/ilustrasi sekadar hiasan.
Photo/illustration for display purposes.