Turut merasai keseronokan kejohanan Piala Dunia pertama dianjurkan di benua Afrika
AZHAR, Penulis di tengah kelayak tidak melepaskan peluang menyokong pasukan yang diminatinya.
IMPIAN melihat Piala Dunia secara langsung dan berada di dalam stadium bersama puluhan ribu penyokong dari seluruh dunia adalah impian penulis dan semua yang meminati arena sukan bola sepak.Piala Dunia hanya empat tahun sekali tetapi pemain negara yang dihimpunkan adalah bertaraf antarabangsa dan di situlah gelanggang yang mempamerkan skil individu dan strategi terbaik dirancang.
Satu hari penulis dikejutkan dengan khabar gembira tak terkata, di mana penulis diberi peluang keemasan ke Johannesburg, Afrika Selatan oleh syarikat penulis bekerja iaitu The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd. Penulis diberi tiket untuk menghadiri upacara pembuka tirai Piala Dunia dan perlawanan di antara Afrika Selatan menentang Mexico.
Perjalanan pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu transit terlebih dulu di Bangkok selama tiga jam sebelum berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan yang mana perjalanan mengambil masa lebih 11 jam.
Sekitar jalan ke stadium yang di penuhi bendera wc2010.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tambo, penulis diberi air tin Coca-Cola dengan ayat tertera ‘Welcome to South Africa, World Cup 2010’ sebagai tanda penghargaan kedatangan pengunjung.
Penulis tidak sampai hati untuk minum kerana ‘packaging’ tin yang cantik dan ia sangat sesuai dijadikan barang kenangan.
Cuaca di sini boleh dikatakan sejuk, dianggarkan 4 darjah Celsius pada waktu pagi, tengah hari dan petang, 10 darjah Celsius manakala malam boleh mencapai 0 darjah Celsius.
Perjalanan penulis dari lapangan terbang ke Hotel Grand Airport yang didiami penulis adalah kira-kira 15 minit. Penulis dikatakan bertuah kerana pihak hotel menyediakan van ‘shuttle’ untuk kemudahan tetamunya.
Ini kerana kemudahan awam di sini boleh dirumuskan agak lemah dan pelancong perlu lebih berhati-hati kerana bandar Johannesburg terkenal dengan kadar jenayah tinggi.
Sejurus tiba di hotel, penulis terus menyimpan bagasi dan keluar berjalan bersama teman untuk melihat suasana dan keadaan sekitar seawal jam 10 pagi.
Di sini penulis dapat melihat kedai dan perumahan didirikan agak teratur dan tersusun di samping kain rentang dan bendera negara yang digantung di setiap jalan.
Di luar stadium rancak peniaga memperagakan jualan wc2010.
Ada antara mereka juga menari ala Afrika untuk mendapatkan tip daripada pemandu kereta yang lalu-lalang. Kesusahan rakyat di sini dapat dilihat dan diselami penulis. Penulis ada membeli lukisan hasil lakaran pelukis jalanan untuk dijadikan simpanan.
Kemudian penulis singgah seketika di sebuah kedai kopi untuk membeli minuman panas kerana cuaca terlalu sejuk. Penulis sempat bertanya selok-belok keadaan dan jalan di sini kepada wanita pengusaha kedai itu.
Penulis diberitahu, Stadium Soccer City (lokasi pembukaan) agak jauh dari hotel penginapan penulis iaitu mengambil masa 45 minit perjalanan. Penulis dinasihatkan memilih perkhidmatan van shuttle ke stadium dan elak menaiki teksi yang tidak dikenali kerana faktor keselamatan.
Difahamkan, kerajaan Afrika Selatan memberi cuti sekolah selama tiga minggu untuk mengelak kesesakan lalu lintas sepanjang Piala Dunia berlangsung.
Di sini juga buat pertama kali penulis dikejutkan dan diperkenalkan dengan bunyian-bunyian vuvuzela. Sungguh kuat bunyinya, malah boleh dikatakan sepanjang jalan bersahut-sahutan vuvuzela ditiup warga Afrika Selatan.
Ada pelbagai jenis vuvuzela dapat dilihat penulis; daripada jenis yang kecil hinggalah besar dan ada pelbagai warna juga corak.
Sedang penulis berjalan menuju ke pusat membeli-belah berdekatan, penulis ditegur penduduk sekitar yang lalu-lalang sambil mengatakan “My friend, we will beat your country” (Kawanku, kami akan tewaskan negara anda) dalam nada melawak.
Penulis terpinga-pinga sebentar sebelum menyedari baju sejuk yang dipakai tertera bendera negara Australia. Ketawa besar penulis dan teman.
Pusat membeli-belah di sini boleh dikatakan besar serta ramai pengawal keselamatan menjaga setiap penjuru di dalamnya. Ini mungkin untuk memperketatkan keselamatan kerana ramai pengunjung dari luar negara.
Pusat membeli-belah ini dikenali sebagai East Rand Mall. Peniaga di sini sangat ramah, malah memberi layanan baik kepada penulis dan teman. Di sini penulis membeli beberapa cenderamata, termasuk vuvuzela, untuk dibawa pulang.
Penulis dan teman juga tidak lupa membeli jersi Afrika Selatan dan bendera memandangkan kami berdua sepakat menyokong pihak tuan rumah. Sedang asyik menjamu mata, penulis terlihat sejenis topi kontraktor yang diubah suai bentuknya untuk dipakai sempena Piala Dunia.
Tanpa disedari, masa berlalu dengan pantas dan hari mulai senja, menyebabkan penulis pulang ke hotel untuk berehat. Di hotel, penulis melihat ramai pelancong dari luar negara seperti Brazil, Argentina dan Mexico duduk berborak semeja. Riuh rendah melihat gelagat mereka. Penulis berpeluang untuk turut serta dengan duduk semeja.
Setiap mereka memperkatakan kekuatan pasukan negara kelahiran. Bagi Argentina mereka mempunyai tonggak utama iaitu Lionel Messi, penyokong Brazil percaya pasukan mereka mampu merangkul Piala Dunia, bagi Mexico pula mereka yakin dengan barisan pasukannya manakala Afrika Selatan mempunyai jurulatih bagus dan berpengalaman.
Kelakar bila berada di samping mereka, tetapi itulah ertinya semangat negarawan dan fanatik bola. Penulis ada memberitahu bahawa dalam perlawanan pembukaan di antara Afrika Selatan menentang Mexico, seorang daripada pengadilnya (pengadil simpanan) dari Malaysia.
Mereka terkejut lalu berkata “It’s better be good” (lebih baik jadi bagus -merujuk pengadilan perlawanan) dalam nada gurauan. Penulis juga berpeluang bertukar kad, malah penyokong Brazil, Mr Camargo mengundang penulis tinggal di rumah mereka apabila berlangsungnya Piala Dunia di Brazil.
Hari dinantikan penulis untuk ke Stadium Soccer City sudah tiba. Seawal jam 8 pagi, penulis diberitahu oleh pihak hotel untuk menaiki van shuttle berbayar dari Lapangan Terbang Tambo ke tempat bernama Westgates.
Dari Westgate, penulis bertukar kenderaan menaiki bas awam terus ke stadium itu. Di dalam bas, penulis ditegur mesra oleh penduduk Afrika Selatan sebagai ‘My Brother’ kerana memakai jersi kebangsaan mereka.
Mereka terharu dengan sokongan yang kami beri. Bas yang penulis naiki penuh dengan penyokong pasukan tuan rumah dan ia sangat menghiburkan.
Setibanya di stadium, penulis antara terawal sampai dan tidak perlu beratur panjang. Penulis kagum melihat pemandangan seni bina stadium yang mampu memuatkan seramai 94,700 penonton. Suasana sekeliling riuh rendah dengan sorakan peminat fanatik selepas pintu pagar stadium dibuka pada jam 10 pagi. Penonton perlu melalui pengimbas sekuriti terlebih dulu sebelum masuk.
Gadis Afrika yang malu-malu di depan kemera.
Penulis tertarik melihat pancaragam yang membawa pelbagai alat muzik unik. Di sini juga penonton dihiburkan dengan gaya tari patung besar yang dikawal oleh jurumudinya. Penulis sempat bergambar kenang-kenangan bersama patung unik dan penyokong dari pelbagai negara.
Suasana itu umpama pesta besar-besaran dan kedengaran jeritan ‘Bafana bafana’ dari penyokong Afrika Selatan yang bermaksud pemain lelaki.
Bagi penyokong Mexico mereka tidak mahu kalah daripada segi pemakaian, ada yang memakai topeng gusti dan menconteng muka untuk meraikan pasukan negara. Malah mereka memakai topi besar Mexico yang cantik dan menarik.
Keadaan di dalam stadium dikawal rapi oleh pengawal keselamatan. Stadium bergema dengan ribuan tiupan vuvuzela ketika perasmian yang meriah dengan disusuli jet pejuang melintasi ruang atas stadium, selain persembahan pelbagai tarian unik Afrika.
Perlawanan pembukaan antara Afrika Selatan menentang Mexico berlangsung sengit dengan sorakan kuat dari seluruh isi stadium.
Penulis berasa bangga kerana melihat pengadil Malaysia (Subkhiddin Mohd Salleh) ketika perlawanan itu. Tanpa berlengah, penulis berkesempatan merakam suasana berharga itu menggunakan kamera video untuk tatapan di kemudian hari.
Shakira Waka Waka lyrics Shakira released "Waka Waka" as the FIFA World Cup 2010
People are raising
Their Expectations
Go on and feed them
This is your moment
No hesitations
Today's your day
I feel it
You paved the way
Believe it
If you get down
Get up Oh oh...
When you get down
Get up eh eh...
Tsamina mina zangalewa
Anawa aa
This time for Africa
Tsamina mina eh eh
Waka Waka eh eh
Tsamina mina zangalewa
Anawa aa
Tsamina mina eh eh
Waka Waka eh eh
Tsamina mina zangalewa
This time for Africa.
Oleh AHMAD AZHAR MOHAMAD NOR
aazhar@nstp.com.my
Disiarkan di Metro Ahad 27 Jun 2010 dalam Ruangan Ekspresi.
aazhar@nstp.com.my
Disiarkan di Metro Ahad 27 Jun 2010 dalam Ruangan Ekspresi.
No comments:
Post a Comment