ads

Monday, January 30, 2012

NILAI MASA - Jika masa itu boleh dibeli, setiap hari kita akan membelinya...


 Apabila kita terfikir detik-detik pahit contohnya kesilapan-kesilapan yang telah kita buat di masa-masa yang lalu, kita sering menginginkan kita kembali ke masa itu untuk memperbetulkan keadaan. Sebagai manusia yang tidak mempunyai kuasa mengawal masa, kita hanya perlu pasrah bahawa yang berlalu itu kenangan, yang sekarang ini kenyataan dan yang akan datang itu kita sandarkan pengharapan.

...............................................

Setiap insan dikurniakan 24 jam sehari di dalam hidupnya. Bergantung pada dirinya bagaimana untuk menguruskannya. Ada yang merasakan 24 jam sehari tidak mencukupi baginya dan ada juga yang merasakan terlalu sukar untuk menghabiskannya.

Orang yang berjaya dalam hidupnya amat menghargai masa. Pepatah ada mengatakan, " Masa itu Emas ". Apabila masa terbuang bermaksa kita telah menghabiskan harta kita dengan sia-sia. Orang yang berjaya telah merancang masa mereka sebaik mungkin supaya kegiatannya berjalan lancar dan tiada gangguan.

Orison Swett memberikan pendapatnya, "Setiap hari masa mengunjungi kita seperti sahabat yang sedia membawa hadiah-hadiah yang berharga. Apabila hadiah itu kita tidak terima, maka ia akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Tiap-tiap pagi dia datang dengan membawa hadiah-hadiah baru. Tetapi jika kelmarin dan kelmarin dulu hadiah-hadiah itu tidak kita terima, lama-lama kita tidak dapat menikmati lazatnya hadiah pemberian masa itu, sebab kita tidak pandai menghargainya. Peribahasa mengatakan bahawa kekayaan yang hilang dapat dicari semula jika rajin, kesihatan yang terganggu akan sembuh jika berubat, tetapi masa yang hilang terbuang tidak dapat dicari selama-selamanya.

Micheal Faraday ada berkata, "Satu-satunya yang saya hargai dalam hidup ini adalah masa. Jika masa itu boleh dibeli, setiap hari saya akan membelinya".

Cuba kita perhatikan masyarakat Jepun. Mereka amat mematuhi dan menepati masa kerja. Hasilnya, Jepun telah berjaya menjadi sebuah negara industri yang menguasai dunia. Kita juga boleh berjaya dalam hidup kita sekiranya kita juga ada disiplin diri dan amat menghargai masa kita.


Benjamin Franklin (January 17, 1706 - April 17, 1790) was one of the Founding Fathers of the United States. A noted polymath, Franklin was a leading author, printer, political theorist, politician, postmaster, scientist, musician, inventor, satirist, civic activist, statesman, and diplomat. As a scientist, he was a major figure in the American Enlightenment and the history of physics for his discoveries and theories regarding electricity. He invented the lightning rod, bifocals, the Franklin stove, a carriage odometer, and the glass 'armonica'. He formed both the first public lending library in America and the first fire department in Pennsylvania.

....................................................

Orang yang berjaya tidak akan membiarkan masa berlalu. Setiap detik digunakan untuk memanfaatkan sesuatu. Oleh itu, gunakanlah masa sebaik mungkin. Renungkanlah satu pengalaman menarik dari Benjamin Franklin, seorang yang berjaya dalam semua bidang.

Franklin mempunyai sebuah kedai buku yang dijaga oleh seorang pekerja. Seorang pelanggan ingin membeli buku yang berharga seringgit. Dia minta dikurangkan. Apabila tidak berjaya, dia ingin menemui tuan punya kedai. Apabila Franklin mendengar kata pemuda itu ia terus berkata "Mengapa saudara ingin menemui saya?"

Pemuda itu lalu bertanya tentang harga buku tersebut. Franklin memberitahu harganya $1.50 iaitu lebih sen. Pemuda itu terkejut lalu bertanya.

"Apakah encik tidak keliru?" tanya pemuda itu.

"Tidak, kau telah memanggil aku dan masa terbuang untuk melayan kamu. Jadi kamu harus membayar kerugian masa saya,"
kata Franklin. Dari cerita di atas, kesimpulannya masa itu sangat penting dan berharga.

Ingatlah, kalau kita pandai menggunakan masa, ia akan memberi hadiah kepada kita, iaitu kejayaan. Jika kita mensia-siakan masa, kita akan kecewa.

..............................


"Satu-satunya yang saya hargai dalam hidup ini adalah masa. Jika masa itu boleh dibeli, setiap hari saya akan membelinya".





Masa Itu Emas

Anda adalah apa sahaja yang anda fikirkan tentang masa anda. Dan bahagian yang paling penting setiap hari adalah apa yang anda fikirkan pada awal hari tersebut.

Mulai Hari Anda Dengan…
Setiap pagi, ambil 30 minit dari masa anda untuk duduk dan berfikir mengenai matlamat anda. Apabila anda membaca biografi dan autobiografi mereka yang berjaya, anda akan dapati bahawa hampir kesemua mereka memulakan langkah untuk mencapai kejayaan pada setiap awal pagi dan menghabiskan masa tersebut untuk diri mereka sendiri.

Tambahkan Minda Anda Dengan Pelbagai Idea Positif
Inilah masa keemasan. Sejam pertama bakal menetapkan posisi anda untuk hari tersebut. Perkara-perkara yang anda lakukan pada jam yang pertama dapat mempersiapkan minda anda dan menetapkan arah anda sepanjang hari. Dalam tempoh 30-60 minit pertama, ambil masa tersebut untuk anda berfikir dan mengkaji semula rancangan anda untuk masa hadapan.

Gunakan Masa Tenang Anda dengan Berkesan
Berikut adalah empat perkara yang boleh anda lakukan pada suatu masa yang tenang di pagi hari.

Pertama sekali ialah untuk mengkaji semula rancangan anda untuk mencapai matlamat anda dan menukar rancangan anda sekiranya perlu.
Kedua ialah dengan memikirkan cara yang lebih baik untuk mencapai matlamat anda. Sebagai latihan, anggaplah bahawa cara yang anda lakukan adalah salah sama sekali dan bayangkan keadaannya yang sama sekali berbeza. Apa yang akan anda lakukan jika ia berbeza daripada apa yang anda lakukan sekarang?
Ketiga, fikirkan tentang pengajaran yang berharga yang anda telah belajar sebelumnya dan, sentiasalah mempelajari sesuatu sepanjang laluan tersebut ke arah matlamat anda.
Keempat, gambarkan matlamat anda dengan tenang sebagai satu realiti. Tutup mata anda, berehat, senyum, dan bayangkan matlamat anda seolah-olah ia telah menjadi suatu realiti. Tuliskan semula matlamat utama anda setiap hari ketika ini. Tulis semula matlamat tersebut seolah-olah ia telah wujud. Tuliskan “saya mendapat X ringgit.” “Saya mempunyai kekayaan bersih sebanyak X.” “Berat saya hanya beberapa kilogram.” Latihan menulis seperti ini dan penulisan semula matlamat anda setiap hari adalah salah satu perkara terhebat yang anda pelajari.

Ikat Tali Keledar Anda dengan Kemas
Kehidupan anda akan bergerak mengikut kepantasan anda memakai tali pinggang keledar anda. Ingat, titik permulaan untuk mencapai kejayaan dalam kewangan anda ialah berdasarkan kepada terbinanya keyakinan yang tidak mudah goyah dalam diri anda dan kemampuan anda untuk mencapai matlamat anda. Semua yang kita katakan ialah mengenai cara membina dan membangunkan sistem kepercayaan diri anda sehingga anda akhirnya sampai ke tahap di mana anda benar-benar yakin bahawa tiada apa yang boleh menghalang anda daripada mencapai apa yang anda tetapkan untuk dicapai.

Segalanya Dikira
Tiada siapa yang bermula dengan sikap seperti ini, tetapi anda boleh bangunkannya menggunakan undang-undang pengumpulan. Segalanya dikira. Tiada usaha yang akan pernah hilang. Tiap-tiap pencapaian yang luar biasa adalah hasil daripada beribu-ribu pencapaian biasa yang langsung tidak pernah diiktiraf atau dihargai. Cabaran yang paling besar adalah untuk anda tumpukan fikiran anda terhadap matlamat anda dan melalui undang-undang tarikan, anda pasti tidak dapat mengelak daripada menarik individu-individu lain, keadaan dan peluang yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda.


Menjadi Magnet yang Hidup
Sebaik sahaja anda telah menguasai diri dan pemikiran anda, anda bakal menjadi magnet yang hidup yang dapat menarik idea-idea dan peluang untuk menjadi kaya. Ia terjadi bukan sahaja kepada diri saya sendiri bahkan juga kepada setiap orang yang berjaya yang pernah saya kenal. Ia juga bakal berlaku kepada anda jika anda mulakannya hari ini, kini, serta saat ini juga untuk berfikir dan bercakap tentang impian dan matlamat anda seolah-olah ia suatu realiti. Apabila anda mengubah corak pemikiran anda, anda bakal mengubah kehidupan anda. Anda akan meletakkan diri anda seteguh mungkin di atas laluan untuk mencapai tahap kebebasan kewangan.

Latihan tindakan
Di sini ada dua perkara yang boleh anda lakukan setiap hari dalam memfokuskan minda anda ke arah matlamat kewangan anda:
Pertama, bangun sedikit lebih awal setiap pagi dan rancang hari anda terlebih dahulu. Ambil sedikit masa untuk berfikir tentang matlamat anda dan bagaimana anda boleh mencapai matlamat tersebut. Ini dapat menetapkan posisi anda sepanjang hari. 

Kedua, fikirkan tentang pelajaran berharga yang anda pelajari setiap hari sepanjang anda berusaha menuju ke arah matlamat-matlamat anda. Bersedia untuk membetulkan kedudukan anda dan sesuaikannya dengan tindakan anda. Yakinlah dengan sebenar-benarnya bahawa anda sedang bergerak pantas menuju matlamat anda, tidak kira apa jua yang berlaku di luar sana buat sementara waktu. Biarkan sahaja di sana!

 

Dr. Wan Shah Razali
http://drshahrazali.com/2011/12/masa-itu-emas/
   


Thursday, January 19, 2012

Highlight, camera...Tuah?

  Versi Hang Tuah dari blog: alamjin - TuanKelarias

KEMBARA HANG TUAH versi akhir zaman '2010'

Ketika Hwang Tou Ah berumur lebih kurang 10 tahun bersama teman teman seangkatannya yang masih mempunyai tali persaudaraan yang kuat si  Hwang Jee Fat, Hwang Lee Ker dan Hwang Lee Kiew dan anak anak saudaranya yang lain telah berpeluang untuk menyertai satu rombongan pelayaran kapal dagang dari negeri China negeri asal usul mereka berempat. Hang Tuah pula menurut kata qilnya ialah seorang anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa semenjak kecil lalu dibawa oleh bapa saudaranya seorang saudagar kaya raya berlayar ke arah kepulauan melayu menuju ke sebuah kota yang amat terkenal pada masa itu iaitu, kota Kerajaan Islam Melayu Melaka. Pelayaran anak-anak ini disertai oleh ibu dan bapa saudara mereka yang kebanyakkannya adalah peniaga dan pedagang dari golongan atasan. Kebetulan pada masa yang sama kedua-dua buah negeri  ini telah pun menjalinkan hubungan perdagangan sebelumnya.
Kisah ini bermula pada zaman Sultan Mansyur Syah yang mana pada zaman itu Kota Melaka telah menjadi salah  sebuah pelabuhan persinggahan perdagangan yang sibuk dan terkenal di seluruh dunia ditambah lagi Melaka pada masa itu secara tidak langsung turut menjadi sebuah pusat penyebaran islam terbesar di Asia Tenggara. Melaka ketika itu berada di puncak kemasyhuran dan kekuatan sebagai salah sebuah kerajaan islam yang menawarkan berbagai peluang perniagaan dan pekerjaan.

Melaka ketika itu juga adalah sebagai pusat pengembangan tamadun islam yang kaya dengan berbagai sumber ilmu pengetahuan dunia dan akhirat dari sebelah belahan timur bumi ini. Sebagai buktinya salah sebuah warisan istana Sultan Mansyur Syah, telah dibina dengan menampilkan seni bina islam yang unik dan teramat rahsia yaitu simbol kerajaan islam yang mewarisi kesenian dan kebudayaan ilmu Martabat Tujuh.

Perigi Hang Tuah

Ilmu ini hanya dikenal oleh golongan atasan termasuk para sultan yang memerintah  sebelum itu serta beberapa orang alim ulama dari kalangan sheikh ahli ahli sufi yang kebanyakkannya datang dari luar negeri. Istana yang ditenggelami pasir itu di tingkat bawahnya adalah tempat berkhalwat (uzlah) dan tempat bertawajjuh para sheikh dan golongan para bangsawan termasuk keluarga diraja. Tanpa berlebih lebihan dongeng, saya mendapat tahu dari salah seorang rohaniah yang pernah menjelaskan bahawa istana yang tertimbus sebahagiannya itu adalah bekas pusat pertemuan rahsia dari seluruh dunia dari kalangan para wali kutub, abdal, nujabak dan lain lainnya pada masa awal pemerintahan Sultan Mansyur Shah.

Pada hari ini, dengan takdir dari Allah swt bangunan istana tersebut telah muncul di permukaan dan sedang dalam kajian dan siasatan para pengkaji sejarah. Perhatikanlah batu batu merah kota dan istananya itu, kalau mengikut perkhabaran ghaib, sebenarnya didatangkan khas dari negeri Pasai yang makmur tanpa menggunakan sebuah tongkang atau kapal laut pun, tetapi menggunakan khidmat tenaga jin seperti Nabi Sulaiman a.s memindahkan singgahsana Ratu Balqis dari Sana'a.

Setiap hari tidak putus putus pelabuhan Kota Melaka dilabuhi kapal kapal besar dan kecil yang menurunkan barang dagangan dari negara negara sejauh tanah besar China, Arab, Eropah dan benua benua lain yang tidak terpapar di dalam sejarah. Termasuklah salah sebuah kapal dagang yang ditumpangi oleh anak anak keluarga keturunan Hang yang berlabuh disuatu hari yang bertuah.

Menurut khabar ghaibnya, tinggallah Hang Tou Ah, Hang Jee Fat, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew di Melaka bersama ibu dan bapa saudaranya serta rakan taulannya yang lain di kawasan kediaman yang disediakan oleh pegawai kerajaan untuk mereka. Gerombolan mereka ini memang di hormati oleh orang orang besar istana termasuk sultan sendiri sama seperti mereka memuliakan kumpulan pedagang asing sebelum dan selepas mereka. Demikianlah halnya anak anak keturunan Hang ini belajar hidup berdikari di negeri orang tanpa belaian kasih sayang dari kedua ibu bapa mereka.

Pada masa yang sama dari sekian ramai rakan kenalan berbangsa melayu, muncullah seorang anak muda dari kalangan yang hampir sebaya dengan mereka langsung menjadi rakan karib setiap hari. Pemuda itu lah yang bergelar Hang Kasturi. Mungkin sempena nama satu haruman yang dipanggil kasturi. Oleh kerana terlalu akrab dan saling percaya dan dipercayai, anak anak serta keluarga keturunan hang itu sengaja memakaikan gelaran keturunan hang kepada  anak muda Kasturi yang memang dikenali ramai oleh penduduk sekitar kota sebagai salah seorang anak penghulu yang dihormati.

Makam Hang Jebat di Jalan Kampung Kuli berdekatan Joker Street.
Keluasan sekitar 18 kaki x 40kaki persegi.

Pada suatu ketika seseorang telah menceritakan kepada mereka bahawa di salah sebuah daerah keadipatian di kepulauan Jawa  terdapat seorang tokoh sakti yang bergelar 'Ki Ageng Adi Putra'. Menurut khabarnya tokoh sakti itu mampu membunuh lawannya tanpa menggunakan sebarang senjata dan tubuhnya yang kebal dari semua jenis senjata yang ada sangat digeruni dan di hormati oleh sesiapa  pun yang mengenalinya.  Sayang, pada pandangan sesetengah mereka, kenapa Ki Ageng tidak mencurahkan bakti  dan menghambakan diri kepada Majapahit. Jawab kami, istilah Ki Ageng itu sendiri membawa arti yang lebih mirip kepada guru agung yang sedia di ketahui ramai bahawa manusia itu  adalah peribadi  yang warak dan suka menyendiri dari kesibukkan dunia.

Peneranagan Makam Hang Jebat.

Ilmu kebal adalah suatu ilmu yang sangat dituntut dan dicari cari oleh kesatria mana sekalipun. Apa yang pasti, pemiliknya atau yang mampu menguasainya akan mendapat tempat di hati sultan atau raja yang berkuasa. Pada hari ini, ilmu ringgit dan peti besi kebal amat penting kepada hartawan dunia. Sesiapa pun yang dapat menguasai ilmu itu maka orang itu dianggap amat hebat dan maha penting sekali. untuk mempertahankan sesebuah kerajaan dari runtuh dikuasai musuh.

Oleh kerana itu, pada masa ilmu kebal menjadi idola para kanuragan dan para pahlawan besar kerajaan nusantara, para empu keris dan tosan aji yang lain, berlumba lumba mencipta dan mereka untuk menghasilkan suatu senjata yang mampu merobek dada dan perut musuh yang kebal senjata tajam. Saat itu muncullah empu yang berjaya menciptakan sebilah keris lagenda yang tidak luput di telan zaman, keris Taming Sari. Menurut perkhabaran ghaibnya keris ini mampu menjadikan pemegangnya kebal serta mampu membelah usus musuh-musuhnya yang memiliki ilmu kebal besi. Itulah keris Taming Sari yang diciptakan dari teras kayu hitam yang sangat keras dan sangat berbisa yang dikenali dengan nama jawanya sebagai  'Kayu Galeh Kelor'. Masyarakat jawa dan orang-orang Majapahit benar-benar sangat mengenali kayu ini serta khasiatnya yang sangat ajaib sehingga kini.

Ilmu kebal dikatakan mempunyai jenis dan peringkat yang banyak.
1. Kebal kerana timbulan' suatu istilah yang bermaksud pengisian semula menggunakan jampi-jampi  tertentu sama ada jampi-jampi melayu kuno atau ayat ayat alquran  terpilih. Ada di antaranya yang  disertai dengan memasukkan barang benda susuk dan lain lain ke dalam tubuh melalui taangan kanan atau kirinya atau di tempat tempat tertentu di anggota tubuh. Sama seperti keadaan saudara install suatu perisian kekomputer.

2. Kebal kerana wafak-wafak tertentu yang ditulis dan dipuasakan oleh sipenulisnya selama beberapa hari. Biasanya kebal wafak ini hanya akan berlaku apabila sampai ketika kecemasan sahaja.

3. Kebal kekal dengan memiliki sesuatu barang contohnya keris Taming Sari, siung, cemara, kalung babi. tanduk rusa putih atau kijang putih, batu delima kebal atau sebarang batu yang kebal dan bermacam macam lagi. Barang-barang ini biasanya mengandungi khadam halus dari bangsa jin yang jika meresap ke tubuh, si pemakainya akan merasa kebas dan tidak lut sebarang senjata, tetapi dengan tempoh tertentu barang-barang tersebut mesti  dipulihkan atau 'dirawat' semula.

4. Kebal seterusnya adalah kebal berkhadamkan malaikat. Ini adalah suatu ilmu yang sangat jarang diperolehi. Mungkin satu dari sejuta manusia yang mampu milik. Ini adalah kerana syarat pemilikannya amat terhad dan amat ketat. Jiwa mestilah bersih sebersihnya dari kekotoran maknawi. tetapi ada juga yang menyangka di tahap ini mereka telah sampai ke hadrat Allah..Nauzubillahi min zalik.

Makam Hang Lekir.

5. Kebal yang terakhir adalah ilmu kebal jalinan penyatuan hemoglobin di dalam darah yang mengandungi unsur-unsur zat besi khurasani dan unsur unsur galian yang lain. Jika disatukan dengan gerakan gelombang martabat tujuh yang sentiasa hidup dan larut di dalam darah mampu menyatukan segala jenis unsur besi di bawah kulit dan mengeraskan kulit seterusnya melindungi tubuh dari terobek atau terluka. Khalifah-Khalifah zikir biasanya memiliki keilmuan seperti ini, tetapi itu bukanlah yang mutakhir di dalam dunia imu kebal. Bahkan ada satu lagi kekuatan seperti itu yang amat tidak terduga oleh umat manusia jin dan bunian serta para malaikatNya kecuali yang Haq dan Yang maha Kuasa.

Kita kembali bersama Hang Tou Ah yang ketika itu berumur dua puluhan tahun, bersama anak-anak saudaranya termasuk si Mamat,  Kasturi itu yang sedang mempersiapkan segala perbekalan untuk menempuh satu perjalanan yang jauh.
Berangkatlah mereka berlima ke suatu daerah terpencil di Tanah Jawa dengan bekalan dan pemandu yang dapat menemukan anak anak-muda ini dengan seorang tokoh guru terbilang dan ternama Ki Ageng Panembahan Sang Adi Putra dengan kewaskitaannya.

Panembahan inilah yang membukakan rahsia kejaguhan dan kekebalan Taming Sari ada pada keris hitamnya dikemudian hari. Maka mengabdilah sang ingson kawula kepada gustinya, sang hamba kepada tuannya, si murid kepada gurunya selama beberapa purnama lima pada bilangan tahunnya. Hang Tuah akhirnya mendahului temannya yang lain dalam persaingan merebut ketangkasan dan kepakaran membela diri namun begitu kekuatannya hampir setanding dengan teman temannya yang lain. Mungkin begitulah kebenaran yang disampaikan oleh penghikayatnya kemudian bagaimana beliau diceritakan mampu bertahan dalam perselisihan yang memerah tenaga selama tujuh hari tujuh malam. Namun ilmu kebal yang berjaya dituntutnya menenggelamkan keegoan teman teman seperguruannya yang lain. Itulah pewaris ilmu perguruan Ki Ageng Sang Adi Putra dari tanah Kidul yang diberkati Allah...

Makam Hang Tuah.


Dari blog: alamjin - TuanKelarias/diangkat dari: http://alamjin-tuankelarias.blogspot.com/2010/02/pengembaraan-hang-tuah.html


Dari blog: alamjin - Penulis tiada bukti kukuh ke atas setiap maklumat terbaru dan terkini kerana penulis hanya menggunakan khidmat perantaraan alam ghaib untuk mengesan dan menjejaki peristiwa yang berlaku ratusan bahkan ribuan tahun dahulu..Kenyataan itu samada benar atau tidak hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Inilah dongeng Kembaranya..

Sempena lawatan blogger ke Melaka baru-baru ini. Amin.


RENCANA UTAMA


Cerita sakti Taming Sari benar



KERIS Taming Sari tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.



KISAH pertarungan hebat pendekar Melayu, Hang Tuah dengan seorang pahlawan Majapahit bernama Taming Sari dianggap sebagai detik permulaan legenda keris Taming Sari.

Dalam pertarungan itu, pendekar berdarah Jawa itu tidak lut ditikam keris Hang Tuah kononnya keris yang dipegang Taming Sari menjadikan dirinya kebal daripada tujahan senjata tajam.

Bagaimanapun, selepas Hang Tuah berjaya merampas keris itu daripada tangan Taming Sari, barulah lelaki itu berjaya dikalahkan. Keris Taming Sari itu kemudian dianugerahkan kepada Hang Tuah.

Namun, terdapat sesetengah pihak menolak kewujudan Hang Tuah walaupun keris Taming Sari itu tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak sekarang.

Bekas Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu, keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Keris Taming Sari yang pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah warisan Kesultanan Perak selain menjadi alat kebesaran diraja negeri ini.

Misteri

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak tahun 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan keris berkenaan terus dikaji pelbagai pihak, Muzium Perak mempertahankan ia keris Taming Sari yang asli.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat yang kurang tepat.

“Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sejarah keris Taming Sari,” tegas Jannati.

Taming Sari kini disimpan bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah. Senjata itu dikatakan mempunyai ‘kuasa’ hinggakan penjaga alat kebesaran diraja itu perlu mematuhi pantang larang sepanjang menjaga atau membawanya.

Antaranya, keris keramat itu tidak boleh dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Keris Seri Gading juga perlu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.
Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan pernah dicampakkan Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.

Versi lain yang tidak kurang popularnya ialah keris Taming Sari telah diserahkan oleh Hang Tuah kepada Sultan Mahmud Shah berikutan kegagalan beliau meminang Puteri Gunung Ledang untuk baginda.

Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.



IMEJ mural di Muzium Negara yang didakwa mirip wajah dan sosok tubuh Hang Tuah.



“Kemudian atas permintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Mudzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.

“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri yang baru ditubuhkan itu,” cerita Jannati.

Kursani

Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

“Manuskrip terbabit mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.

Pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, keris Taming Sari hanya ada satu iaitu keris yang disimpan oleh Sultan Perak sekarang.

Keris Taming Sari ada kesaktian. Salah satu cara untuk mengenal pasti keris itu ialah melalui bahan yang digunakan untuk membuatnya.

“Keris Taming Sari asli dibuat daripada serbuk kursani, tetapi yang palsu dibuat menggunakan besi biasa atau pasir hitam,” katanya.

Prof. Emiratus Tan Sri Khoo Kay Kim pula berkata, tiada fakta sejarah yang dapat membuktikan lokasi sebenar keris Taming Sari.

Namun begitu, berdasarkan kajiannya, ada dua versi mengenai sejarah keris tersebut.
“Keris Taming Sari tersebut telah hilang buat selama-lamanya bersama Laksamana Hang Tuah sewaktu keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

“Selain itu, keris tersebut telah dibawa ke Perak oleh Sultan Mudzaffar Shah yang merupakan anak kepada Sultan Mahmud Shah, iaitu sultan terakhir Melaka, untuk dijadikan peralatan kebesaran dalam majlis pertabalan Sultan Perak yang pertama,” katanya.

Dari: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm



Hang Tuah Bukan Dongeng - Penyelidik UPM

Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 10:00 AM

Hang Tuah sinonim dengan kata-katanya "Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia"
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Pertikaian mengenai kewujudan Laksamana Melaka - Hang Tuah akhirnya terjawab apabila Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan empat bukti bertulis selain satu artifak mengenai pahlawan Melayu itu.
Pendedahan tersebut dibuktikan menerusi buku Hang Tuah: Catatan Okinawa hasil kajian dua pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM iaitu Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin.
Menurut Hashim, buku setebal 204 halaman itu dihasilkan bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti primer daripada sumber asing yang belum didedahkan kepada masyarakat negara ini.
“Demi membuktikan sesuatu watak itu wujud dalam sejarah, sumber primer atau sumber sahih yang sezaman dengan watak itu harus ditemui dan dipaparkan dengan jelas.
“Jadi menerusi buku ini kami paparkan empat data (termasuk satu artifak) daripada luar alam Melayu yang boleh dianggap sebagai bertaraf sumber primer iaitu dari Jepun, Portugal dan China,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Hang Tuah: Catatan Okinawa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.
Katanya, empat sumber bertulis tersebut adalah dokumen rasmi daripada kerajaan Ryukyu yang kini dikenali sebagai Okinawa, Jepun; catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1774 dan dua sumber China yang menghuraikan mengenai hubungan diplomatik dan perdagangan antara Maharaja Dinasti Ming dengan Sultan Melaka sekitar awal abad ke-15.
Sementara itu, menyentuh mengenai penemuan dokumen Empayar Ryukyu iaitu Rekidai Hoan yang mencatatkan hubungan kerajaan bebas itu dengan Korea dan negara Asia Tenggara, kata Rohaidah, terdapat sekurang-kurangnya 19 surat daripada kerajaan Ryukyu kepada Melaka dan 11 surat lagi daripada Melaka kepada Ryukyu.
“Namun ditemui tiga surat daripada pihak Melaka yang mempunyai kaitan langsung dengan Laksamana Hang Tuah bertarikh 1480 dan 1481,” kata Rohaidah yang berkunjung ke Okinawa pada Oktober lalu bagi mengumpul bukti-bukti berkenaan.
Rekidai Hoan dijumpai pada 1932 dan dikaji serta diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Prof Dr Atsushi Kobata dan Dr Mitsugu Matsuda yang diterbitkan pada 1969.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama kedua-dua penulis buku "Hang Tuah" Prof Emeritus Dr Hashim Musa (kiri) dan Dr Rohaidah Kamaruddin (kanan) selepas melancarkannya pada Majlis Perasmian Anugerah Buku Negara dan Ekspo Buku Malaysia 2015 di PWTC, Khamis.
Menerusi buku Hang Tuah: Catatan Okinawa turut dimuatkan fotokopi salinan tiga surat berkaitan Hang Tuah dalam bahasa Cina iaitu bahasa asalnya serta terjemahannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Kata Rohaidah lagi, surat-surat berkenaan antara lain menyentuh mengenai hubungan diplomatik, perdagangan dan berkaitan hadiah atau sumbangan Melaka kepada kerajaan Ryukyu.
“Antara barang bingkisan hadiah daripada Melaka kepada Ryukyu ialah keris. Sebilah keris tanpa hulu dan sarung dijumpai di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji.
“Keris itu mempunyai sembilan lok menandakan ia bagi kegunaan rasmi dan bukannya untuk berjuang,” katanya.
Ditanya mengenai siknifikan buku Hang Tuah: Catatan Okinawa terbitan UPM Press itu kepada negara pada hari ini, Hashim berkata ia sebagai bukti bahawa Hang Tuah sebagai wira Melayu bukan hanya cerita dongeng.
“Hang Tuah memang wujud dalam sejarah. Bagi orang Melayu beliau adalah wira bangsa. Hang Tuah juga adalah lambang sifat orang Melayu iaitu kepahlawanan, berani, taat setia kepada raja, berilmu serta berdiplomasi tinggi.
“Beliau mempunyai karakter Melayu global. Kita nak tonjolkan bahawa Hang Tuah adalah wira Melayu,” katanya.
Selain itu menurut Hashim, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan Hang Tuah sebagai tokoh sejarah dalam buku teks pembelajaran di sekolah.

“Sekarang ini tak ada, yang ada hanya cerita dongeng. Jadi untuk permulaan kami merancang untuk menghasilkan naskhah mudah untuk peringkat kanak-kanak, menengah rendah dan atas.

“Saya tak mahu Hang Tuah hilang dalam lipatan sejarah, kita mesti tonjolkan,” katanya.

Tags / Kata Kunci:Hang Tuah , Okinawa , UPM
Dari: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/11/27/hang-tuah-bukan-dongeng/