ads

Saturday, May 6, 2017

Senator Terpilih... antidote!



Orangnya peramah dan mudah didekati. Bila sudah mesra beliau akan menghampiri kita dan berbual dan terkadang menunjukkan di hpnya berita terkini perkembangan politik di Malaysia. Lagaknya seolah-olah masih menjawat jawatan Senator.

.......................................


Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hassan bin Abdullah. Seorang yang berdidikasi dan tekun menjalankan tugas walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi. Beliau dari kaum Semalai. Berusia 78 tahun, berasal dari Bera, Pahang. Memeluk Islam ketika berusia setengah dekad.

Bekas Senator ini telah bersara tahun 1990 dan kini banyak masa berada di masjid. Kalau tidak uzur susuk ini setiap waktu bersolat berjemaah. Kalau bercerita bab bersedekah 'Tangan kiri tidak sedar apa tangan kanan sumbangkan'.

Orangnya peramah dan mudah didekati. Bila sudah mesra beliau akan menghampiri kita dan berbual dan terkadang menunjukkan di hpnya berita terkini perkembangan politik di Malaysia. Lagaknya seolah-olah masih menjawat jawatan Senator.

Itulah Pak Haji Hassan, mewakili suara Orang Asli di Parlimen. Beliau boleh berbangga kerana suaranya di parlimen didengari pemimpin. Kemudahan asas seperti jalanraya, bekalan air, letrik dan tanah orang asli sudah digazettekan dan sempurna.


.........................................


Hassan Nam Dari Tasek Bera

KE KERUSI SENATOR


Senator Hassan bin Nam merupakan Orang Asli kedua dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) yang mewakili masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Ahli Dewan Negara yang pertama kali dilantik ialah Bangku Hamid Pandak Jalil, dari kaum Semai. 

DEDIKASI dalam menjalankan tugas menjadi prinsip hidup bagi YB Senator Hassan bin Nam. Beliau mengamalkan pegangan hidupnya itu sejak kanak-kanak lagi, iaitu sewaktu beliau belum tahu menyebut dan mengenali istilah 'dedikasi' itu sendiri.

"Usaha yang gigih dan tekun dengan apa saja tugas yang dilakukan, Insya-Allah akan membawa kejayaan dalam hidup kita," begitulah keyakinan Senator berusia 51 tahun (kini hampir 77 tahun) ini yang baru memeluk agama Islam lebih setahun yang lalu. 

Dari pegangan hidup itulah yang menjadi titik tolak kepadanya mencapai kejayaan. Senator Hassan bin Nam merupakan Orang Asli kedua dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) yang mewakili masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Ahli Dewan Negara yang pertama kali dilantik ialah Bangku Hamid Pandak Jalil, dari kaum Semai.

Senator Hassan Nam dari kaum Semelai ini juga mencipta sejarah bila beliau terpilih tidak lama dulu sebagai Ahli Majlid Perunding Ekonomi Negara (MAPEN) newakili masyarakat Orang Asli dalam majlis tersebut yang Pengerusinya ialah Tan Sri Ghazali Shafie.

Menyingkap latarbelakang kehidupannya, beliau bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Sama seperti kebanyakan kanak-kanak masyarakat Orang Asli, Senator Hassan Nam hanya mampu menamatkan pelajarannya sampai darjah 5 Sekolah Melayu Pos Iskandar, di Tasek Bera, Temerloh, Pahang.

"Saya berasal dari suku kaum Semelai. Semasa di kampung kami bercakap dalam bahasa Semelai. Hidup masyarakat kami bergantung kepada hasil pertanian. Sebab itu sejak kecik lagi ibu mengajar saya berladang cara tradisional. Ayah saya meninggal dunia waktu usia saya 6 tahun. Sebagai anak lelaki, sayalah yang menjadi harapan keluarga," cerita Senator Hassan sewaktu ditemubual di rumahnya di Taman Selasih, Gombak baru-baru ini.


Kisah Senator Hasan Nam keluar dalam majalah Famili keluaran bulan Julai 1989.


MENGENALI

Walaupun beliau dilahir dan dibesarkan di sebuah kampung pendalaman, kampung Genrek, namun Senator Hasan Nam mempunyai kegemarannya sendiri yang dapat mengembangkan daya pemikirannya iaitu bersahabat pena, membaca buku-buku cerita dan pengetahuannya di samping membaca akhbar.

"Saya juga gemar memancing dan bermain bola sepak", beritahunya. 

Senator Hassan Nam mula mengenali dunia luar daerahnya bila beliau mencari pekerjaan di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada tahun 1958. Pekerjaan awalnya sebagai buruh bergaji hari.
"Saya bekerja sebagai tukang rumah buat kem Senoi Pra'aq di Kuala Triang, Hulu Perak bersama Encik Puteh dengan bayaran gaji sehari $2.50, " ceritanya.

Sebenarnya ada kisah menarik yang membuatnya menjadi orang perantau.

"Pada tahun 1958 itu, pada satu hari emak saya sakit kuat dan dipaksa dibawa ke Gombak dengan helikopter. Kerana sebab tertentu saya tak dapat ikut serta. Jadi kemudiannya saya terpaksa pergi bersendirian. Saya berperahu ke Kuala Bera dan di pertengahan jalan menuju ke Kuala Lumpur, terpaksa singgah di Bahau kerana kehabisan wang."

Di Bahau, beliau sempat kemgambil upah memasak rotan dengan seorang pengusaha barang-barang perabot selama 20 hari. Dari gaji yang dikumpulnya sebanyak $30/= itulah menjadi tambangnya meneruskan perjalanan ke Gombak, Kuala Lumpur.

"Malangnya sesampai sahaja ke Hospital Orang Asli di Gombak, emak telah pun dibawa balik ke Pahang. Oleh kerana sudah terlanjur saya berada di sini, terfikir pula saya untuk terus menetap di perantauan mengadu nasib," cerita beliau.

BERKHIDMAT

Dari pekerjaan awalnya sebagai tukang buat rumah, pada awal tahun 1959, beliau bernasib baik mendapat pekerjaan sebagai 'Field Staff' mengikut Askar Senoi Pra'aq. Tugasnya sebagai 'Voice Operator W/Set' dan kerja-kerja Operasi di Pahang (Operation Off Seladang) dan tahun 1960 mengikut Operasi di Perak (Perak Operation Off Bamboo).

Sewaktu berkhidmat dengan Senoi Pra'aq itulah beliau pernah mengikuti Pembarisan Tamat Darurat pada tahun 1960 berjalan kaki pembarisan dari Lake Garden hingga ke Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada bulan Mei, 1961, beliau beralih tugas ke bahagian Perubatan di Hospital JHEOA, Gombak dan terus mengikuti kursus asas perubatan selama 6 bulan di Hospital Besar Kuala Lipis, Pahang. Setelah tamat kursus, beliau dihantar bertugas di pendalaman di Pos Kemar, Gerik, Perak untuk memberi khidmat rawatan perubatan selama 3 bulan.

"Pada awal tahun 1962, saya telah dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Luar Tingkat biasa bahagian perubatan, bertugas di Hospital JHEOA Gombak dan di samping itu saya pernah ditugaskan juga di Pos Pendalaman dalam masa posting," cerita Senator Hassan Nam.

Antara tempat-tempat yang beliau pernah berkhidmat ialah Pos Brooke, Ulu Kelantan (1962-1963) dan di Pos Bukit Serok Sungai Keratong, Rompin, Pahang (1963-1965).

Awal bulan Mei, 1965 hingga 1975 saya telah ditugaskan mengetuai Unit X-Ray bergerak untuk menghapuskan penyakit TIBI khasnya di kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, iaitu tugas melawat mengembara dengan unit X-Ray ke perkampungan Orang Asli sama ada melalui jalan raya dan udara dengan helikopter," beritahu beliau lagi.


"Memang sehingga ini terdapat anak-anak Orang Asli yang ada memegang jawatan yang baik dengan kerajaan atau swasta, tapi bilangannya tidak ramai. Apa yang penting dan menjadi matlamat saya, ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli betapa pentingnya pelajaran untuk mengejar kemajuan hidup,"


PENGALAMAN

Dalam tempoh 10 tahun itulah, Senator Hassan Nam menimba pengalaman mengalami pelbagai masalah masyarakat hampir seluruh perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

"Bintangnya' dalam kerjaya semakin cerah bila pada tahun 1975 beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Luar Kanan Bahagian Pentadbiran dan dalam waktu yang sama ditukar bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran Kawasan Pusat Perubatan Hospital dan Perumahan JHEOA di Batu Caves 11 1/2 Gombak hingga 1983.

"Tanggungjawab saya waktu itu dianggap sebagai jawatan Penolong Pengarah," katanya sambil tersenyum.

Pada pertengahan tahun 1983 beliau ditukarkan semula ke Bahagian Perubatan bertugas sebagai Pegawai Pembelian Perubatan Hospital JHEOA Gombak.

Dari pengalaman yang telah dilaluinya, sesuai dengan kewibawaannya sebagai Ahli Dewan Negara, Senator Hassan Nam amat menyedari banyak masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang diwakilinya. Atas hasrat itulah beliau berazam untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin untuk memajukan kehidupan masyarakat Orang Asli.

"Memang sehingga ini terdapat anak-anak Orang Asli yang ada memegang jawatan yang baik dengan kerajaan atau swasta, tapi bilangannya tidak ramai. Apa yang penting dan menjadi matlamat saya, ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli betapa pentingnya pelajaran untuk mengejar kemajuan hidup," begitulah hasratnya.

Beliau sendiri mempraktikkan apa yang dikatakannya. Anak sulungnya, Habibah, 23, kini sedang menuntut di ITM  dalam jurusan perakaunan, Rosita, 19, menuntut tingkatan 6 aliran sains sementara anak ketiganya Mohsonie, 18, terus melanjutkan pelajarannya selepas keputusan peperiksaan SPM baru lepas. Anak bongsunya pula, Manijam, kini sedang menuntut tingkatan 1.


AKTIF

Senator Hassan Nam mendirikan rumahtangga dengan isterinya, Meah Mulat 24 tahun lalu sewaktu beliau di Bukit Ibam.

"Entahlah, tak pernah terlintas satu hari nanti saya akan berkahwin dengan suku kaum asli yang lain. Isteri saya adalah suku kaum Jakun," beritahu beliau.

"Sebagai seorang yang gemar aktif dalam masyarakat, Senator Hassan Nam mula melibatkan dirinya dalam politik setempat pada tahun 1971 sebagai ahli UMNO Cawangan Batu 12, Gombak.

Dari seorang ahli biasa, beliau berjaya melangkah tahap demi tahap dari peringkat Cawangan hingga ke peringkat Bahagian di Setapak dan kemudiannya Selayang. Beliau juga pernah terpilih sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agong UMNO iaitu pada tahun 1974 dan 1977.

Sementara itu Senator Hassan Nam turut aktif dalam koperasi PURBA/KIJANG MAS sejak 1971 hingga 1983. Dari menjadi ahli biasa, beliau dilantik sebagai Pemangku Pengurus Besar Koperasi Kijang Mas (1982-1983).

Kemuncak kerjaya beliau, pada bulan Februari, 1984, beliau telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, satu jawatan yang tak pernah dimimpikan sebelumnya.

Bagi diri Senator Hassan Nam, mengingatkan zaman kanak-kanaknya yang hidup di pendalaman, dengan pelajaran yang terbatas , tidak terlintas dalam angan-angan untuk mendapat gelaran Yang Berhormat.

Namun beliau sendiri telah membuktikan, ketabahan, sikap dedikasi dan tekun dalam tugas-tugas yang dilakukannya telah meletakkan dirinya di tangga kejayaan.
Jasa baktinya kepada masyarakat khususnya di kalangan Orang-Orang Asli turut mendapat penghargaan dengan penganugerahan Pingat PJK kurniaan DYMM Sultan Selangor pada tahun 1973 beliau turut mendapat kurniaan Pingat PPN oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.



Kisah Senator Hasan Nam keluar dalam majalah Famili keluaran bulan Julai 1989 

Hassan Nam Dari Tasek Bera - KE KERUSI SENATOR

























No comments: