ads

Friday, June 9, 2017

Sepucuk surat dari Ramadan





Biar berjauhan, awak kenal siapa saya...


Kisah 'aku' mendapat surat, dari siapakah dia?, kembang-kincup hidung 'aku' menerima surat tidak bertarikh itu. Si Pengirim surat mempersoalkan janji 'aku'. "Aku' berjanji sembahyang Tarawih di masjid tetapi janji sekadar janji. Si pengirim surat dukacita, puas 'dia' menunggu tetapi hampa. Tunggu punya tunggu tidak datang jua, masuk Bulan Ramadan ke 9 masih tidak muncul...


Disurahkan, pada malam raya, Si Ibu mengetuk pintu bilikku dan menghulurkan sepucuk surat.

“Apa ini, mak?”, “Ada orang bagi tadi. Untuk kamu.”

Ibu berlalu pergi ke ruang tamu, menyambung kerja menghias rumah dengan adik dan kakak.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Dengan cermat, aku membuka sampul berisi surat.

Ku teliti tulisannya. Kemas. Tulisan siapakah ini? Tidak ku kenali.

Aku mengambil posisi, bersila di atas katil. Aku amati bait-bait tulisan di helaian surat. Ringkas dan padat saja isinya.

“Assalamualaikum. Maaf mengganggu.

"Sebenarnya sudah lama saya memerhatikan awak. Awak boleh panggil saya stalker kalau awak nak. Sebelum puasa lagi, saya hendak sangat jumpa dengan awak. Awak tahu tak betapa saya berkenaan dengan awak?”.

Hatiku mulai berdebar-debar. Rupanya aku ada peminat dalam diam. Mesti awek sebelah apartment ini. Kembang kuncup sekejap hidungku. Tersipu-sipu. Tidak sabar-sabar lagi,
terus aku membaca perenggan seterusnya.

“Sejak tahun-tahun dulu lagi sebenarnya saya sudah lama follow awak. Awak saja tidak sedar kewujudan saya. Saya intai di facebook awak, di instagram status awak, awak kata awak suka ke masjid dekat rumah awak ini bila solat terawikh.


Saya buat keputusan untuk ke masjid yang awak sebutkan. Namun, hampa. Saya tidak nampak kelibat awak di situ. Saya tunggu dan tunggu, awak tidak muncul-muncul juga. Selama hampir 9 malam saya tunggu...

Saya kecewa. Saya merancang untuk meninjau-ninjau masjid dan surau yang berdekatan dengan rumah awak, tetapi hampa. Awak tiada di mana-mana.

Lalu, saya tekad cuba ke rumah awak. Saya dapati awak ada saja di rumah. Tidak ke mana-mana. Saya nampak awak sibuk dengan laptop dan h/p. Fikir saya, mungkin awak ada seseorang yang sangat istimewa. Bila habis saja orang bersolat terawih, awak keluar lepak dengan kawan-kawan minum-minum. Begitulah rutin hidup awak setiap hari.

Saya cemburu. Pada hal awak tidak tahu, andai awak kenal saya, awak akan tahu saya lebih istimewa dari orang yang awak suka itu. Awak tidak tahu, tidak perasaan saya pada awak jauh lebih dalam berbanding sesiapa pun yang awak kenal. Lebih anggun dan menawan dari gadis-gadis yang awak kenali.”

Aku berkerut kening. Dalam hati, dia ini menakutkanlah. Syok sendiri ke Minah ini? Aku menyambung membaca surat tidak berstem ini.

“Saya sedih. Sangat sedih".


Saya tetap menanti awak di pintu masjid yang awak katakan. Setia menanti setiap hari.
Cuma untuk melihat awak. Di malam ke-11, awak muncul akhirnya. Awak tahu tak,
betapa saya gembira sangat dapat melihat awak?. Walaupun awak tidak perasan, saya tak kisah.

Tapi, gembira saya tidak bertahan lama.

Awak hilang lagi. Tidak datang ke masjid. Saya pergi ke masjid itu setiap kali masuk waktu solat. Dengan harapan awak ada bersama berjemaah. Tapi, bertubi-tubi hampa. Bayang awak pun saya tidak nampak.

Di Waktu siang, ada saya ke rumah awak. Saya dapati awak selepas Waktu Subuh, tidur sampai Waktu Zohor. Selepas Zohor, tidur sampai Asar. Andai tidak tidur, sibuk dengan h/p. Malam kadang-kadang awak tidur, banyaknya berjaga. Tidak habis-habis dengan internet dan gajet. Kadang-kadang saya terfikir, awak tidak bosankah menghadap benda-benda itu?. Apa penting sangatkah teknologi itu?. Boleh membawa matikah?.

Saya menunggu seperti biasa di masjid. Tiap malam tanpa jemu. Hinggalah malam
terakhir terawih. Awak tidak menjenguk muka juga.


Saya amat kecewa. Saya sedih. Malam itu saya menangis cukup-cukup. Biarlah
tumpah seribu air mata sekalipun. Pedihnya hati ini. Betapa awak tidak
peduli. Tidak pedulikan saya. Tidak pedulikan kehadiran saya. Tidak pedulikan
kesetiaan saya selama ini. Tidak peduli yang saya sayangkan awak. Sayang awak sangat-sangat. Tidak peduli yang saya ambil berat sangat tentang awak.

Jauh di sudut hati saya sebenarnya, saya hendak tengok awak menjadi pemuda yang soleh. Sebab itulah tanpa jemu, saya tunggu awak di masjid tiap masa dan ketika. Tinggalkan dosa, tinggalkan benda-benda lagha. Namun, hajat tidak kesampaian.

Cukuplah sampai sini.

Saya mengambil keputusan untuk pergi. Tidak mahu menganggu awak lagi. Biarlah awak dengan hidup awak. Siapa saya di mata awak?. Sesuatu yang tidak bermakna saja pada awak. 

Biar berjauhan. Awak kenal siapa saya.

Aku menggigil sedikit membaca baris terakhir. Ku gagahkan diri jua.

“Saya Ramadhan.

Jaga diri, jaga iman.

Selamat tinggal.”


Aku terkedu. Kelu membisu. Air mata mulai menitik ke atas warkah misteri itu. 

Ya Allah. Ku tinggalkan surat tadi, berlari keluar untuk bertanyakan Emak siapa yang memberi surat itu?. Mak menggelengkan kepala. Bila aku masuk kembali ke dalam bilik, surat itu telah diterbangkan angin melalui tingkap. Hilang 'gone with the wind'.

Melihat orang lain beraya, aku juga mahu sakan beraya dengan orang tercinta. Tapi, selama ini aku buat semberono ala kadar saja pada Ramadhan Allah.

Air mata mengalir tidak tertahan lagi. 
Aku pendosa yang lupa Allah Maha Memerhati.
Kesal 150 juta kali sesal...


Sekian...



Watsap dari Rodongan

No comments: