Kadang-kala bila bersendirian atau bersama isterinya, Jj kebingungan memikirkan masa depan anaknya seramai dua orang itu. Mereka tidak mempunyai anak perempuan membuatkan Jj rasa kesunyian.
Walaupun keluarga kecil ...sekangkang kera... tetapi masa depan anak-anak menjadi keutamaan keluarga. Jj yang bertugas di syarikat penerbitan terbesar di Malaysia ini manakala isterinya berkerja di sebuah bank di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.Anaknya masih tidak bekerja tetap, itu persoalannya.
Dua tahun lagi Jj akan bersara tetapi anak sulungnya masih belum mendapat kerja atau mencari kerja yang bersesuaian. Anak sulungnya bernama Sudir sangat berminat dengan binatang, Sejak di bangku sekolah lagi minatnya telah terjurus ke situ. Waktu itu si ayah bangga dengan sifat anaknya yang suka kepada binatang.
Itu sifat Nabi katanya. Pernah satu ketika Sudir menyelamatkan kucing yang hampir mati kerana diserang sekor anjing. Satu ketika lain Sudir membawa seekor iquana balik dari sekolah. "Kawan punya, pinjam semalaman", katanya selamba. Satu keluarga terperanjat, "Anak aku nak jadi zoologes ke ni", tanya Jj sendirian. Apa saja jenis binatang semua disukainya. Itu perangai pelik anaknya
Anak keduanya boleh dikatakan sudah berdikiri. Tetapi Jj agak terkilan kerana anak keduannya tidak dapat menandingi abangnya dalam pelajaran dengan memiliki segulung ijazah sarjana muda. Anak keduanya sudah bekerja dan mendapat gaji selepas menamatkan SPM, tidak lagi membebankan ayahnya.
Pernah satu ketika Sudir pulang dari Melaka, cuti semester Sudir membawa seekor ular tedung menaiki bas. Ular itu diletakkan dekat dadanya dan dia tertidur. Nasib baiklah ketika itu bas kurang penumpang, cerita Jj, kalau tidak ramai yang pensan.
Di masa-masa lain anaknya membawa ular peliharannya di dalam pouchnya dan selamba membuka zip di depan orang ramai dan memberinya makan. Ramai yang panik dan menjerit.
Kadang-kadang Sudir melatakkan ular peliharaannya secara mengejut di depan kawan-kawannya, ada yang pucat, terkencing dan ada yang menjerit ketakutan terutamanya wanita.
Gambar Hiasan
Sudir memang berani orangnya. Pernah satu pada waktu malam ketika Sudir dan rakan-rakan tersesat. Mereka terpaksa berkemah dan bermalam di tengah-tengah hutan. Semua rakannya seramai 3 orang telah tertidur kepenatan tetapi Sudir tidak dapat melelapkan mata. Sudir ternampak di atas pokok tinggi lembaga berpakaian serba putih duduk mencankung memandang ke arahnya sambil menghayun-hayunkan tangannya, Matanya yang merah membuatkan sesiapa yang terpandang akan terkejut. Sudir selamba saja memandang dan mengalihkan mukanya ke arah lain dan memejamkan mata.
Kita jangan gelabah buat selamba dan tiada apa-apa saja, terang Sudir memberi petua kepada ayahnya. Hantu akan mengacau kalau kita rasa takut atau hilang kawalan, kata Sudir selamba. Jj tidak mengetahui ilmu apa yang dipakai anaknya. Mungkin kerana minat yang mendalam kepada pengkajian dan pembacaan, terang Jj lagi. Sudir memang suka program National Geografi dan bersangkutan dengan binatang. Banyak buku rujukan dibiliknya terang jj lagi. Animal Planet dan crocodile Hunter sentiasa diikutinya. Membuatkan minat kepada hidupan haiwan bercambah.
Anaknya masih tidak bekerja tetap, itu persoalannya. Di waktu lain, cerita Jj anaknya mendapat panggilan dari seorang kawannya yang tinggal di pinggiran Ulu Langat. Kawanya ternampak lembaga duduk di atas pokok besar sedang memerhatikan apabila melalui bukit Ulu Langat lewat malam. Kawannya dengan peluh dingin meneruskan perjalanan ke Langat.
Sampai ke rumahnya semua keluarga tiada kerana balik kampung dan tidak dapat melelapkan mata lalu menalipon Sudir untuk menemainya. Sudir selamba saja melalui jalan itu tanpa gangguan dan rasa takut. Itu istimewanya anak aku, Jj bangga sambil mengurut misai jarangnya.
Di waktu lain-lain lagi, kawan-kawan Sudir membawa pelbagai jenis ular dan proses 'kahwin'kan ular. Satu ketika ular bersalin kulit dan Sudir memandikan ular. Dahulu Sudir mempunyai seekor ular sendok/vipper, Tetapi Jj tidak menyukai ular bisa minta diserahkan kepada temannya.
Sudir ada tiga ekor ular sawa specis burmese python dan seekor ular sawa albino specis burmese python dan memeliki lesen perhilitan. Hobi 'The rich man pet, agak mudah dan senang mengendalikan. Dua minggu sekali diberi makan dengan seketul peha ayam dan akan kenyang selama dua minggu.
Sudir tidak membiasakan memberi makan binatang mati kerana ular akan menjadi ganas dan akan mematuk orang yang berada di sisinya. Ini membahayakan katanya. Satu ketika TV3 mewawancara tentang hobi ganjilnya di rumah. Jj bergegas keluar rumah kerana merasa malu dengan hobi anaknya yang itu.
Minat Sudir kepada binatang bukan calang-calang. Dia dengan kawan-kawan semasa di universiti dulu akan berkumpul pada hujung minggu. Masing-masing akan membawa binatang peliharaan. Ada yang membawa iquana, tikus, pelbagai jenis ular, mengkarung dan lain-lain untuk dibincangkan.
Mereka berbual dari hal makanan hinggalah ke menubuhkan kesatuan dan membina syarikat. Satu hal yang aneh bagi Jj ialah kawan-kawannya bukan saja lelaki tetapi juga perempuan meminati bidang yang sama. Gadis itu sangat cantik tetapi bila datang ke rumah dengan membawa seekor ular peliharaan hilang selera untuk bertegur-sapa. Rasa mual dan sahamnya gadis itu jatuh merundum, terang Jj lagi.
Kawan-kawannya sudah berkerjaya tetapi anak aku masih terkial-kial memilih bidang kerjaya yang bersuaian, Pernah juga Sudir menghubungi pihak perhilitan atau zoo tetapi mendukacitakan kerana jawatan yang bersesuaian tiada kekosongan. Itulah persoalannya...
Satu yang membanggakan Jj, walaupun anaknya masih belum berkerja tetapi banyak juga daya usahanya. Sudir dan kawan-kawannya yang sudah berkerjaya acapkali bila Jom Hebuh anjuran TV3 diadakan mereka akan menyertainya. Ini termasuk anjuran DIGi dan Rakan Muda.
Masing-masing akan membawa binatang peliharaan untuk pertunjukaan anjuran berkenaan. Masalah yang timbul bila penganjuran diadakan di luar Kuala Lumpur. Mereka terpaksa tidur di dalam khemah kerana binatang seperti ular di larang di bawa masuk ke hotel. Terpaksalah mereka tidur bersama ular.
Hasil bayaran itu digunakan untuk makanan binatang berkenaan. "Tidak cukup", kata Jj marahkan anaknya. Sepatutnya kamu jangan membawa ramai sangat rakan-rakan kerana jumlah bayaran sekitar RM2 ribu akan diberi sama rata, jadi kamu dapat terlalu sedikit, terang Jj kepada anaknya.
Anaknya masih tidak bekerja tetap, itu persoalannya. Acap kali bila diajukan soalan itu Sudir bertanya balik kepada ayahnya. "Binatang ni siapa nak jaga? Tiga ekor ular sawa spesis burmese python, seekor ular sawa albino spesis burmese python. Kalau Sudir bekerja waktu untuk di pejabat terlalu lama dan sangat menyulitkan untuk bersama binatang peliharaannya.
Ada juga niat untuk diberikan kepada jiran menjaganya tetapi takut binatang itu mati kebuluran atau gejala lain. Nanti ular itu mematuk anak jirannya pula fikir Sudir sendirian. Banyak kali ayahnya mengomel tentang tingkah-laku anaknya, lama kelamaan 'sunyi' saja amarah itu.
Baru-baru ini anaknya menghantar 3 ekor ular ke Penang untuk pameran selama seminggu. Ini bermakna sunyilah sedikit rumah besar setingkat itu dari jeritan ular. Binatang peliharaan Sudir ditempatkan di dalam biliknya di atas.
Kadang-kadang bila Jj masuk ke bilik anaknya terpaksa berhati-hati takut ular itu melingkar di atas kepalanya. Begitu juga kalau Jj keluar bilik takut juga ular tersepit dipintu. Kadang-kadang naik darah juga melihatkan kerenah anak sulungnya tetapi terpaksa memendamkan rasa kerana anak hanya dua orang saja. Isteri Jj mampu memekakkan telinga saja dengan telatah anak sulungnya.
"Dah hobinya begitu sejak kecil, nak buat macam mano...", telah isteri Jj berloghat minang selamba. "Kita semakin tua, dua tiga tahun lagi I pencen, nak juga menimang cucu dan bermain dengannya, nampak gayanya hasrat terbengkalai...", keluh Jj tak sudah. Aku kena kahwin satu lagi, aku kesunyian dan perlukan belaian... pendam Jj di dalam hati.
Anaknya masih tidak bekerja tetap, itu persoalannya. Minggu lepas terang Jj, anaknya ke Putrajaya untuk memohon pinjaman pertanian Siswazah. Semua kertas kerja sudah disiapkan dan pada dasarnya permohonan itu berjaya. Anaknya bukan tidak mahu berkerja tetapi memilih kerja yang bersuaian dan dapat menjaga binatang peliharaannya.
Itu saja kata Jj tetapi sampai bila? umur semakin meningkat tetapi perkerjaan tetap masih tercari-cari. Kalau berjaya permohonan ini dan memdapat pinjaman sebanyak RM50 ribu, anaknya ingin menceburi bidang pertanian, tentang tapak pertanian boleh dipohon dari jabatan tanah katanya.
Apabila pulang dari Putrajaya kereta MPV baru ayahnya telah dilangar orang semasa Sudir meletakkan di penjuru jalan. Sudir takut ayahnya memberikan sumpah seranah bila pulang nanti. "Abah silap", kata Jj selamba. "Pasal apa?, tanya Sudir ingin tahu. "Silap abah, bagi kau pakai kereta abah, itu saja", ujar Jj memendam rasa geram kepada anaknya secara sindiran. Sudir terkebil-kebil ingin tahu kenapa ayahnya tidak memarahinya. Lain kali tak merasa pakai le, rungut Sudir.
Gambar Hiasan
"Abah dah ada budget untuk kamu mendirikan rumah-tangga". kata Jj meminta anaknya Sudir cepat-cepat berkahwin. Tetapi hasrat ayahnya terbengkalai lagi kerana anaknya masih tidak nampak condong ke arah untuk berumah-tangga. Anaknya berusia 24 tahun lebih sepatutnya sudah ada bakal calon, fikir Jj. Ini membuat Si ayah pening kepala.
Pernah Sudir membawa seorang gadis balik ke rumah tetapi Jj tidak berkenaan kerana belum ada ikatan gadis itu berleser dan selalu memegang tangan anaknya. "Belum apa-apa dah meleser dan berpegang-tangan", bentak Jj tidak setuju. Nanti bila aku dah tua, isteri Sudir mengabaikan aku, pendam Jj.
"Abah, simpanlah dulu budget itu", nasihat Sudir kepada ayahnya. Kedudukan Sudir masih tidak kukuh lagi bagaimana hendak menanggung anak orang. Memandangkan umur anaknya sudah boleh berkahwin membuatkan Jj mendesak anaknya bernikah segera. Lagipun Jj dikurniakan keluarga kecil dan tiada anak perempuan.
Rumah teres dua tingkat itu ketara benar sunyinya. Kalau begini keadaannya mengapa aku tidak dikurniakan ramai anak? tanya Jj sendirian.
"Budget ni terpaksa digunakan dalam tahun ini jugak, tidak boleh dibawa ke depan!", bentak Jj mengejutkan Sudir yang masih bermain dan memberi makan ular sawanya. "Kenapa?, kalau tak digunakan, bawa saja ke tahun depan atau simpan!", tanya Sudir ingin tahu.
"Tak boleh, budget mesti diguna, kalau tidak abah yang gunakan!", tegah Jj menggugut, menutup bicara petang itu.
Kalau aku gunakan budget itu.... aku kahwin satu lagi le... cari anak dara 20an kat Penang, anak Mami, puak gerabak aku... bisik Jj sendirian sambil menuruni anak tangga rumahnya. Jj mengubah fikiran, jika anaknya masih tertanguh-tangguh untuk berumah-tangga. Aku akan kahwin satu lagi, itulah persoalan sebenarnya...
- KISAH BENAR
Nama telah di tukar & Fantasi Makhkuk halus telah di ubah kerana tidak mendapat gambaran sebenar.
Gambar/ilustrasi sekadar hiasan.
........................................................
Tak serik kena 'patuk'
Oleh Diyanah Anuar - IKON/BERITA HARIAN
Ada beberapa spesis ular, contohnya ular sawa sesuai dijadikan dipelihara. Namun, ia memerlukan penjagaan yang unik oleh individu yang benar-benar boleh memberi komitmen dan memahami kehendak haiwan ini. Walaupun jarang dijadikan haiwan peliharaan berbanding haiwan comel dan manja yang lain, beberapa pemelihara ular yang ditanya baru-baru ini memberitahu, menjaga ular adalah lebih mudah daripada menjaga haiwan peliharaan popular yang lain seperti kucing dan sebagainya.
Imej ‘ganas’ ular juga tidak menghalang mereka untuk menyayangi dan memanjakan reptilia itu seperti mana haiwan jinak lain dibelai, dijaga dan disayangi tuan mereka. i-Kon sempat berkongsi cerita dengan dua gadis, artis, Ezlynn dan pensyarah muda, Fynn yang menjadikan ular sawa haiwan kesayangan mereka.
Pensyarah kolej, Nur Affina Yanti Jamalludin (Fynn), 25, membela seekor ular sawa spesis burmese python sebagai haiwan peliharaannya sejak awal tahun ini. Ular jantan yang panjangnya lebih satu meter itu dinamakannya Bobby. Sebelum membela Bobby, beliau pernah membela seekor ular sawa yang dinamakannya Atek sekitar tahun 2005.
“Atek ‘tersesat’ masuk ke bilik rakan saya ketika menuntut di kolej. Saya begitu minat dengan ular sejak kecil jadi daripada membuangnya, saya ambilnya untuk dibela. “Namun, saya cuma berpeluang membela Atek sekejap saja kerana tidak berapa lama dibela, ia mati. Besar kemungkinan kerana tidak biasa, ia tidak mahu makan langsung lalu mati,” katanya. Ketika dibeli di sebuah kedai haiwan peliharaan dulu, Bobby masih kecil lagi.
“Dibandingkan dengan ular sawa lain di kedai itu, Bobby ini agak agresif dan sifat itu membuatkannya sukar untuk dijual. “Jadi, bila kami hendak membeli Bobby, dari RM800, harganya diturunkan hingga kira-kira RM300, lengkap dengan lesen untuk memeliharanya sekali,” katanya sambil mengingatkan sesiapa yang ingin memelihara ular untuk mendapatkan lesen yang sah.
Beliau menempatkan Bobby di sebuah akuarium khas, siap dengan perkakasan yang diperlukan. Perbelanjaan penjagaannya tidak mahal dan tidak merumitkan kerana ia hanya makan sekali dalam dua minggu yang menelan belanja sekitar RM30 sebulan.
Kata Fynn, haiwan peliharaan biasanya memberi refleksi personaliti individu yang memeliharanya. Menggambarkan dirinya sebagai dark person, Fynn tertarik dengan reptilia eksotik ini untuk dijadikan peliharaan.
“Sifat ular itu sendiri yang kelihatan misteri dan sukar dijangka saya rasakan begitu dekat dengan karektor diri saya,” kata Fynn yang juga seorang aktivis seni.
Di peringkat awal, Fynn banyak membuat kajian mengenai tabiat haiwan berkenaan bagi memudahkan beliau menjaganya. “Banyak maklumat yang membantu saya untuk memahami sifat Bobby ini. Selebihnya, saya pelajari melalui pengalaman sepanjang memeliharanya,”katanya. Cerita Fynn, dua kali tangannya digigit Bobby ketika memberi makanan kepada haiwan itu.
“Ia tidak sengaja ‘tercengkam’ sekali tangan saya ketika saya hendak memberikan burung pipit yang menjadi makanannya selain tikus,” katanya sambil menambah, walaupun tidak berbisa, ular sawa mempunyai gigi yang cukup kuat. Haiwan ini juga kata Fynn tidak akan kenal pada tuannya tapi mungkin akan terbiasa dengan bau atau suhu badan orang yang selalu menjaganya.
Kadangkala, Fynn akan membawa Bobby bersamanya ketika keluar bersantai. “Setiap kali dibawa keluar, Bobby pasti menjadi perhatian ramai, terutama kanak-kanak. Ada yang memberi reaksi terkejut atau takut bila melihat ular melingkari leher atau tangan saya tapi ada juga yang mendekati, memegang dan bertanya itu ini mengenai Bobby.
“Antara tujuan saya membawa haiwan ini keluar adalah untuk membiasakannya dengan orang, supaya ia tidak begitu berasa terancam setiap kali disentuh. “Di samping itu juga, saya mahu orang ramai lebih ‘mesra’ dengan haiwan yang biasanya digeruni ini. Bila mereka dapat memegang dan melihat sendiri keistimewaan haiwan ini, rasa takut itu akan hilang dan tidak mustahil mereka akan mula menyukai sifatnya.
“Kebanyakan orang takut kepada ular dan merasakan ia berbahaya kerana mereka tidak pernah cuba untuk mendekati dan memahami reptilia ini. Sebab itulah, segelintir orang, bila terjumpa haiwan ini, tanpa alasan kukuh mereka akan terus membunuhnya kerana menganggap ia mengancam nyawa mereka walau pada hakikatnya manusia yang memberi ancaman kepada mereka,” ujar Fynn.
Ezlynn anggap suatu terapi
HAL yang sama diutarakan penyanyi dan pelakon, Ezlynn yang turut memelihara ular sawa albino spesis burmese python juga.
Katanya, kebanyakan orang cepat membuat tanggapan yang ular adalah haiwan berbahaya sedangkan mereka belum mendekatinya lagi.
Ular yang dipanggil Kiki itu dibelinya tiga tahun lalu dengan harga RM1,500. Kini, panjang Kiki sudah mencecah hingga kira-kira dua meter dan beratnya pula hampir lima kilogram. Ada juga yang berminat untuk membeli Kiki daripada Ezlynn dengan harga RM7,000 (dikira RM1,000 setiap kaki panjang)
Berbeza dengan Bobby yang dipelihara Fynn, Kiki lebih pasif, jinak dan manja. “Mungkin kerana sejak ia kecil lagi saya tidak berikannya binatang yang masih hidup sebagai makanan sebaliknya saya berikan ia ayam mentah,” katanya.
Ezlynn mengambil keputusan untuk memelihara ular sawa sebagai haiwan peliharaan selepas dicadangkan rakannya. “Saya ini jenis yang takutkan serangga yang merayap dan terbang seperti lipas atau kumbang. Rakan saya mencadangkan supaya saya membela ular sawa sebagai cara melawan rasa ketakutan, bukan saja terhadap serangga tetapi juga dalam banyak perkara.
“Sekarang, ketakutan saya semakin berkurangan dan keyakinan saya juga semakin meningkat,” katanya. Memelihara ular ini juga kata Ezlynn, ibarat suatu terapi untuk dirinya.
Kerjaya sebagai artis kadangkala memberikan tekanan kepadanya. Setiap kali memegang Kiki atau melihat pergerakannya yang perlahan, secara automatik ia memberikan saya ketenangan dan sedikit demi sedikit masalah itu dapat dilupakan.
Kata Ezlynn, ular sawa adalah haiwan sensitif. Jika tidak kena dengan caranya, ia senang ‘merajuk’, tidak mahu makan ataupun sakit. “Walaupun tidak begitu memerlukan perhatian atau penjagaan, haiwan ini juga senang dihinggap penyakit.
“Ketika mula-mula memelihara Kiki dulu, ia pernah dijangkiti kutu, kecacingan dan juga selsema. Namun, setiap kali sakit, saya akan lekas membawanya berjumpa pakar reptilia untuk mendapatkan rawatan.
“Bila sudah besar sedikit ini, jarang sekali ia dijangkiti penyakit hasil daripada pemakanan dan penjagaan yang baik,” jelas Ezlynn sekali-sekala akan membawa haiwan peliharaannya ini ke pertunjukan nyanyian atau penggambaran lakonan. “Bagaimanapun, saya akan pastikan juga, sama ada orang di sekeliling tempat saya pergi itu senang ataupun tidak dengan kehadiran Kiki ini.
“Bila minta ditunjukkan, barulah saya akan keluarkan Kiki dari beg khasnya. Jika tidak, saya hanya biarkan saja ia berada di dalam beg itu,” katanya.
Tempoh masa kira-kira empat hingga lima tahun lagi ditetapkan Ezlynn untuk beliau memelihara Kiki. Selepas itu, beliau bercadang untuk menyerahkannya kepada zoo atau kepada orang yang benar-benar berminat untuk memelihara ular sawa.
Info:
No comments:
Post a Comment