ads

Monday, October 20, 2008

Perihal penyamun, pemabuk dan sumbang di jejantas...


Pelbagai cerita dalam satu malam
sebagai 'Koboi Malam'!






Malam minggu baru-baru ni, aku sengaja meluangkan masa menjadi volunteer rukun tetangga di taman tempat aku menginap. Tujuan lain 'join' mereka adalah kerana nak menambah koleksi cerita blogger aku. Kalau anda ingat filem 'Midnight Caller' hero filem itu sebagai DJ mempunyai ramai teman wanita dan kisah-kisahnya akan menjadi bahan untuknya bercerita sebagai DJ radio.

Sebenarnya sebelum ini kami penduduk setaman sepakat untuk menjaga ketenteraman taman. Kami bersetuju menjadi sukarelawan jika ada kelapangan, Ini kerana semenjak dua menjak ini banyak belaku kejadian samun, pecah rumah, pecah kereta atau curi kereta menjadi-jadi di taman ini.

Kami sepakat mendirikan pos kawalan menggunakan wang kutipan. Di satu penjuru bersebelahan Lebuhraya Duke yang menghubungkan Jalan Pahang ke Jalan Sentul, kami juga mendirikan pos kawalan.

Kira-kira jam 11.30 malam saya keluar rumah dan setibanya di pos kawalan sudah ada teman-teman menunggu. Jam 12 malam kami meletakkan kon-kon penghalang lalu-lintas. Tujuannya untuk memastikan kereta keluar masuk.

Aku, Abang Znal 'Besi', Yus, Mues, Wak, Awe, Aji Fauzi, Kadir 'Burn', dan dua tiga orang yang terlupa nama. Yus 'Jiran Baik Membawa Berkat' sudah menyediakan kopi, roti, serbuk kuih raya dan pelbagai kekacang untuk kami balun malam itu kerana rumahnya berhampiran dengan pos kawalan. Sambil menjalankan tugas tak rasmi sambil makan kacang. Pelbagai cerita terhembur keluar diselang-seli gelak ketawa memecah keheningan malam.

Malam semalam ada seorang pemabuk terlanggar tiang lampu dekat pondok kawalan kita, kata Agang Znal 'Besi'. Dia cuba buat bising dan marah-marah. Kami cuba mententeramkannya tetapi dia masih bersikap keras kepala mungkin pengaruh alkohol. Apa lagi Abang Znal 'Besi' bagi penampar Jepun, “balik loi lah” Hindu mabuk tu kata Yus selamba.

Dua hari sebelumnya seorang jiran di Jalan 4 kena pecah kereta, kata Aji Fauzi. Mamat ni baru saja mengeluarkan duit sebanyak RM50 ribu tunai untuk membayar gaji pekerjanya. Keluar saja dari bank dia rasa diekori tetapi Mamat ni selamba saja memandu kereta untuk menunaikan solat asar di surau di Jalan 7. Dia keluar dari kereta dan terus ke surau berkenaan. Duit RM50 ribu ditinggalkan dalam briefcase di belakang. Selesai sembahyang didapati cermin kereta dipecahkan dan briefcase sudah hilang. "'Nongoi' betul Mamat ni, kalau dah tau diekori belok saja ke balai polis", kata Aji Fauzi selamba. Dia dah buat report polis tapi tak banyak membantunya kerana polis kata 'CUAI', itu saja kata Fauzi sambil menutup bicara.

Saya fikir orang dalam bank itu bersubahat, kata Yus mencelah. Ini terjadi kepadanya beberapa tahun lalu. Dia diarahkan majikannya mengeluarkan duit sebanyak RM300 ribu. Setelah selesai urusan, duit itu disimpan di poket jaket dan memakainya. Dia selamba membawa beg hitam agak besar dan dilekatkan di pemboncengnya. Dia sengaja meminjam motor despatch budak pejabatnya kerana menyenangkan urusannya.

Di persimpangan lampu isyarat dia dilanggar 2 orang budak Indon. Beg hitam itu tercampak dan disambar oleh Indon itu dan terus memecut laju. Kaki Yus tersepit di bawah motornya dan tak sempat buat apa-apa. Setelah dibantu dia meneruskan perjalanan ke pejabatnya. Tanpa disangka kira-kira 100 meter di hadapanya 2 Indon itu telah ditahan polis. Rupa-rupanya adegan itu telah diperhatikan oleh polis berkenaan. Nasib baik plan aku menjadi, kata Yus lagi. Duit itu selamat kerana aku meletakkan di dalam jaket, kata Yus puas. Yus memberitahu, tentu orang dalam bank dah berpakat dengan perompak, kalau tidak masakan mereka mengetahui urusan kita. Berhati-hatilah pasal duit ini, nasihat Yus.

Nasib baik tak hujan malam ini, sahut Awe pula. Minggu lepas sama ada malam atau pagi satu kejadian berlaku. Awe ingat waktu pagi selepas subuh kerana kami berkawal hingga sebelum subuh saja. Air-cond rumah sebelah taman kami lesap. Susah juga katanya, kita berkawal malam, kejadian waktu pagi pula katanya mengeluh. Beringat-ingatlah kita, katanya.

Dua minggu lepas, jam 2 pagi seorang gadis menangis teresak-esak mundar-mandir di jalan 3. Kebetulan Wak sedang membuat rondaan terkejut besar bila mendekati gadis Cina itu. Prostitut Cina yang baru sampai ke Malaysia ditinggalkan oleh pelanggannya tanpa diberi ganjaran. Dengan pakaian yang cuma sehasta menutup 'anu'nya membuatkan Wak gementar untuk mendekatinya. "Nasib baiklah iman ku kental dan ada belas kasihan", kata Wak mengenang. Setelah menghubungi Pusat Rukun Tertangga, mereka membawa gadis malang ini ke balai polis berhampiran. Gadis ini tidak mempunyai dokumen diri lengkap. Terpulang kepada pihak berwajib, urusan kita selasai kata Wak puas. 

"Ana rasa tak sedap badanlah, sakit-sakit", kata aku selamba. Minggu lepas seorang tukang urut dari Taman Balang, special punya, urut 45 minit datang ke sini.... kalau nak urut kumpul 2, 3 orang boleh le... ujar Moes pula.

Abang Znal dapat panggilan 'on-line' walkie-talkie dan aku menumpang motornya ke hujung taman. Sampai di sana sebuah kereta Myvi 'rosak'. Awe tengah sibuk bercakap dengan pemandu keturunan India itu. Di sebelahnya seorang Amoi memakai baju nipis dan skirt singkat. "Saya nasihatkan awak beredar, kalau ada masalah antara kamu, berbincang di McDonald’s, Jalan Karak itu," nasihat Awe selamba. Setelah bertolak-tarik kereta itu beredar. 

Kejadian pecah rumah menjadi-jadi sekarang. Sama ada siang atau malam, pagi atau petang. Harapkan bantuan polis tidak cukup kerana mereka juga kekurangan kakitangan. Projek tebatan air dan projek perumahan yang masih berjalan ini menempatkan ramai orang Indon. Fenomena ini menyebarkan gejala-gejala yang kurang sihat itu.

Sehari sebelum Hari Raya baru-baru ini rumah di Jalan 11, dimasuki pencuri waktu tengah hari. Sebuah kereta Perdana hitam dinaiki 3 orang pemuda dan seorang gadis comel. Seorang keluar dan melompat pagar rumah dan selamba membuka pintu lalu masuk ke dalam. Tuan rumah dah balik kampung. Jiran was-was dan mengesyaki pemuda itu kawan anak lelakinya. Langsung jiran buat endah tak endah saja. Bila pasu bunga pecah jiran mula syak sesuatu tetapi sudah terlewat kerana kereta Perdana sudah beredar. Jiran menghubungi anak perempuan yang bertugas di bank dan kebetulan beliau belum balik kampung. Pulang saja ke rumah didapai rumah sudah digeledah, bertaburan kain baju sana sini. Nasib baik emas perak sudah dibawa pulang ke kampung. Jiran mengesyaki perompak ini sudah mengetahui rumah ini ada menyimpan banyak duit kerana anak perempuannya akan berkahwin tidak lama lagi. Nasibnya sungguh baik kerana duit tidak disimpannya di rumah.

Malam kian melabuhkankan tirainya. Sebuah patrol car singgah dan kami bertanya perkembangan terkini. Ini kerana polis sering singgah dan minum-minum di sini sambil menceritakan kes-kes terkini dan tertunggak.

Kadir 'Burn' memberitahu di atas jejantas di highway Jalan Pahang itu juga ada adegan panas. "Peluang Mat Skodeng menontonnya," terang Kadir 'Burn'. Selalunya bila hujan renyai atau hujan lebat, jejantas itu bergoyang le kata Aji Fauzi pula. (ketika itu lampu belum dipasang). Perangai anak muda masa kini nak buat macam mana?.

Ayam katik peliharaan Yus berkokok, rupa-rupanya jam menunjukkan 5,30 pagi. Kami 'Koboi Malam' mula beredar. Kalau ada kelapangan esok malam kita ketemu lagi untuk menjalankan tugas tak rasmi demi keamanan taman perumahan ini... Hidup Rukun Tertangga!.

Kita sama sepakat
Taman aiii.... pening lalat
Kuatkan tekat
Moga kita selamat

Hidup aman bahagia
Berbudi dan berjasa
Jiran sepakat
Membawa berkat

Luruskan barisan
Masuk dalam bulatan
Bersama Pakatan Rakyat


Nyanyikan beramai-ramai dalam lengok kepala seperti dalam filem Ahmad Albab.

*Siapa? Abang Znal 'Besi' - Dikisahkan keluaran akan datang.

Mengapa dan kenapa 'besi'.

Gambar/ilustrasi sekadar hiasan.
Photo/illustration for display purposes.

...........................................................

TERBARU!!!

Kes pecah rumah  - September 2016
Ala mafia, habis kerusi, wardrove di rosakkan!












Barangkali, pencuri mengharapkan mendapat barang-barang berharga tetapi mungkin gagal lalu merosakkan segala barang yang ternampak oleh matanya. Anggaran kerosakkan sekitar RM20 ribu.

........................................



Sikap Tidak Prihatin Punca Jenayah Meningkat

BANTING, 16 Ogos (Bernama) -- Sikap tidak prihatin masyarakat terutama di kawasan perbandaran mendorong kepada peningkatan pelbagai jenis jenayah, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata masyarakat pada masa ini terlalu sibuk dengan urusan kerja masing-masing sehingga tidak menghiraukan langsung perkara yang berlaku di sekitar mereka.

"Masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, status dan umur perlu memainkan peranan penting membasmi jenayah kerana penjenayah kini semakin pintar dan licik mengelirukan masyarakat dan pihak berkuasa, seiring dengan perkembangan sains dan teknologi,"

Menurutnya orang ramai perlu membantu polis memerangi jenayah, termasuk menerusi pembabitan mereka dalam Rukun Tertangga dan Rondaan Bersama di kawasan-kawasan kediaman dan taman perumahan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Radzi Ishak berkata sehingga Julai lepas, statistik kadar jenayah di daerah itu turun 19 peratus kepada 788 kes, berbanding 976 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Sebanyak 490 kes berjaya diselesaikan berbanding 439 kes dalam tempoh sama tahun lepas, katanya. katanya ketika merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat di Sungai Jarom di sini Sabtu.


-- BERNAMA

1 comment:

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Macam-macam dah jadi.. Aduh..

Sosial dan masyarakat.. ;)