ads

Thursday, November 23, 2017

Mereloh = TEMERLOH



Sejarah awal Pekan Sehari 
di Temerloh



Pekan Sari Tradisional 
Gambar dibawah diambil sekitar tahun 1942.
Matawang sendiri dinamakan Nukud Semantan telah digunakan


Boat penumpang menjadi pengangkutan utama sekitar 1942 hingga awal 1970an.




Setelah penempatan baru dibuka seberang Kuala Sungai Semantan oleh Panglima Bagus dari Perak yang berkahwin dengan anak perempuan keturunan Tuk Suji Bilang, dari semasa kesemasa semakin ramai peniaga sama ada penduduk tempatan atau peniaga luar yang menggunakan Sungai Pahang. Ini menjadikan tebing Sungai Semantan (Temerloh Explande) sebagai tempat pertukaran barangan (berniaga). 

Dipercayai aktiviti ini bermula sekitar awal tahun 1800an dengan ketibaan Orang Kampar yang terkenal sebagai peniaga yang gigih. Kemajuan perniagaan dan sambutan penduduk di sekitarnya menjadikan Pekan Sari di Temerloh semakin maju dan terkenal. Matawang sendiri dinamakan Nukud Semantan telah digunakan dan dikuatkuasakan. 

Begitulah sejarah awal pekan sehari Temerloh yg kini dipercayai telah berusia lebih 250 tahun. 


Kredit gambar: Izmal Karim
Kredit info: Temerloh koi
#ciksuekoreagojes



............................................

Mereloh sekarang...


Gambar ketika banjir tahun 2016.



Suasana Pekan Sari ketika ini...





SEJARAH TEMERLOH

Daerah Temerloh, sebelum ketibaan peneroka dari luar merupakan kawasan yang di diami oleh kelompok- kelompok Orang Asli dengan beberapa penempatan kaum asal ini masih wujud sehingga kini. Sekitar tahun 1620an, adalah dipercayai kumpulan keluarga bangsawan dan penduduk dari Kerajaan Acheh yang sedang menakluk Negeri Pahang telah meneroka kawasan di pinggir Hulu Sungai Pahang. Beberapa penempatan baru telah dibuka oleh kumpulan masyarakat Minangkabau ini seperti Chenor, Kuala Bera, Kuala Triang, Kg Mengkarak dan Lebak. 
     Apabila kelompok pendakwah dan peneroka ini tiba di sebatang muara anak sungai yang didiamai oleh Orang Asli, mereka telah melihat terdapat kumpulan Orang Asli yang leka tidur di tebing muara anak sungai tersebut. Tidur dalam istilah tempatan di sebut 'MERELOH'  dan mengambil kejadian tersebut, kumpulan peneroka berkenaan menamakan anak sungai tersebut dan kawasan penempatan baru di sekitarnya sebagai MERELOH. Kumpulan peneroka ini seterusnya membuka penempatan baru di sekitar Kuala Sungai Semantan sekarang.
        Peneroka dan pembukaan penempatan di Kuala Sungai Semantan oleh masyarakat Minangkabau ini telah menarik minat lebih ramai masyarakat lain datang. Selain bermastautin, masyarakat juga telah membuka pusat pengajian Agama Islam dan pusat peniagaan yang penting di Kuala Sungai Semantan. Adalah dipercayai, selain dari penduduk sekitar, peniaga dari Ulu Pahang, Kelantan, Raub, Bentong serta dari penempatan- penempatan hilir Sungai pahang telah menjadikan Kuala Sungai Semantan sebagai pusat perniagaan yang penting. Rentetan dari itu, adalah dipercayai sebutan TEMERLOH mula digunakan oleh peniaga dan penduduk yang merujuk kepada sebutan MERELOH.
                 Perkembangan penempatan dan pusat perniagaan di TEMERLOH semakin berkembang dengan ketibaan lebih ramai penduduk di sekitar Nusantara. Adalah dipercayai urusan perniagaan ketika itu telah menggunakan matawang tempatan sendiri yang di beri nama NUKUD SEMANTAN. Kemajuan penempatan ini juga dipengaruhi oleh kemakmuran dan struktur pemerintahan beraja yang diamalkan di Negeri Pahang. Jawatan-jawatan pemimpin masyarakat seperti Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya Berlapan, Orang Kaya Enam Belas dan Penghulu adalah wakil kepada institusi pemerintahan Beraja di sekitar Temerloh. Peneroka penempatan telah dilakukan oleh penduduk dengan membuka penempatan baru di sepanjang Sungai Semantan seperti di Songsang, Pasir Rawa, Lubuk Terua sehingga ke sempadan Bentong. Manakala penempatan baru di Sepanjang Sungai Pahang seperti Kg Bangau, Kg Sanggang, Kg Berhala Gantang, Kg Gunung Senyum, Kuala Krau sehingga ke Lubuk Perlang.
                   Ketibaan Inggeris di Negeri Pahang telah mengubah lanskap penempatan dan kemajuan Daerah Temerloh. Melalui sistem pentadbiran Residen Inggeris dan penggunaan Sistem Torrens dalam pentadbiran tanah, daerah Temerloh telah diwartakan dan Pentadbiran Daerah dan Tanah dipecah mengikut Mukim-Mukim. Walaupun pihak Inggeris mendapat tentangan dari masyarakat tempatan namun Sistem Pentadbiran yang diperkenalkan oleh mereka bertambah dan terus digunakan sehingga sekarang.

https://akuanakpahang.blogspot.my/2015/02/senarai-pasar-malam-pekan-sehari-dan.html

.............................

Sejarah Temerloh dan Kuala Semantan sejak awal abad ke-15


Mengikut kajian sejarah; sejarah politik Pahang bermula sejak 1880-1935 iaitu perkembangan politik utama di Pahang sejak pemerintahan salah seorang pemerintahnya yang terkenal iaitu Wan Ahmad. Menurut Prof Dr Aruna Gopinath dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur pengkajian ini penting.

Dahulu, negeri Pahang adalaha sebahagian daripada Empayar Johor-Riau-Lingga yang kemudiannya secara beransur-ansur telah membabaskan diri dan membentuk sebuah kuasa politik yang bebas di bawah pemerintahan Bendahara.

Menurut kajian, seperti negeri-negeri yang lain di Semenanjung Tanah Melayu, sejarah Pahang telah dirumitkan dengan kelemahan dalaman yang membuka jalan kepada penyusupan masuk kuasa-kuasa luar.

Pahang sebenarnya telah wujud sebelum atau sama Kerajaan Awal di Asia Tenggara iaitu sama dengan Kerajaan Champa, Kerajaan Chih Tu, Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Kedah Tua dan Kerajaan Majapahit. Walau bagaimanapun, tiada penulisan sejarah hanya buktinya sahaja yang terdapat di Tasik Cini yang belum dibongkarkan.

Sungai Pahang telah wujud lama dan menjadi perhubungan utama penduduk di persisirnya. Kegiatan ekonomi dan pertanian dijalankan terletak di kawasan tanah subur, di lembangan sungai dan di kawasan pedalaman.

Sejak dahulu, rotan, kayu gaharu, damar, dan hasil-hasil pertanian menjadi sumber ekonomi Pahang. Dari Hulu Tembeling, ke Jerantut dan singgah di Kuala Semantan merupakan kawasan perdagangan yang utama sejak abad ke-15 lagi. Buktinya Perahu Kajang iaitu perahu yang beratapkan kajang menjadi pengangkutan utama ke Kuala Semantan.

Kuala Semantan mendapat nama daripada “Seman” dan “Tan” dua sahabat yang tinggal di tebing Sungai Pahang iaitu di Kuala Semantan yang  sering membawa hasil hutan seperti buah-buahan, damar, kayu gaharu, rotan dan hasil getah.

Nama Kuala Semantan diambil sempena nama Seman dan Tan dan dikenali ramai oleh penduduk sekitar seperti dari Kampung Songsang, Kampung Mambang Berulang, dan Pasir Rawa (kini Mentakab). Mereka ini mungkin orang Rawo atau Rawa yang berdagang di Kuala Semantan.

Sementara nama Temerloh pula diambil sempena peristiwa seorang pengayuh perahu kajang yang tertidur apabila tuannya singgah di Kuala Semantan untuk menjual hasil-hasil pertanian dan hasil hutan di Kuala Semantan. Disebabkan terlalu letih dia “temerloh” yang bermaksud tertidur sebentar. Begitulah seperti yang diceritakan oleh para pencerita dan sejarawan seperti Allahyarham Datuk Zakaria Hitam.

Diceritakan juga sebelum dan selepas 1885, Orang Kaya Indera Segara dari Temerloh berkuasa dari Sungai Triang sehingga sempadan Rembau dan Selangor. Di daerah Hulu Pahang iaitu Orang Kaya Semantan amat dihormati oleh orang Melayu di situ dan mendapat layanan yang sesuai dan berpatutan sebagai seorang bangsawan.

Orang Kaya Semantan dikatakan pernah ditawarkan untuk menerima wang sebanyak $840 setahun dan elaun dalam lingkungan $120 hingga $240 kepada penghulu-penghulu. Usaha jahat pihak penjajah Inggeris ini mendapat tentangan daripada Orang Kaya Semantan itu Datuk Bahaman yang mengetahui muslihat untuk menjajah Pahang.

Penjajah Inggeris melihat Pahang banyak mempunyai hasil hutan dan hasil-hasil lain yang boleh mengayakan mereka. Di Pahang juga pada masa itu terdapat 24 buah lombong emas dan timah yang menjadi idaman pihak British.

Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 1892 di Temerloh sahaja terdapat 14,592 kaum terdiri daripada Melayu, 7 Eropah, 13 India, 7 Jawa, 80 Arab, 256 Bugis,  1 Singhala, 36 Bangali, 256 Cina berjumlah 15, 247 orang yang membuktikan bahawa kawasan Kuala Semantan dan Temerloh menjadi pusat perdagangan penting khususnya di kawasan Pekan Sehari Temerloh sekarang.

Bagi melengkapkan kajian dan sejarah tentang Kuala Semantan dan Temerloh ini suatu kajian ilmiah berdasarkan sejarah haruslah dilakukan bagi tatapan generasi akan datang. Semoga tulisan dan kajian ringkas ini membuka pandangan Persatuan Sejarah Pahang untuk mengkaji tentang penulisan semula berdasarkan sumber pertama, sumber lisan dan sumber bertulis bagi Sejarah Pahang.


Sejarah Temerloh dan Kuala Semantan sejak awal abad ke-15.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.




2 comments:

Ezzah said...

Assalamualaikum, tumpang tanya mengenai artikel yang lepas iaitu artikel prof ungku aziz.

http://sheikhmustafakamal.blogspot.my/2008/11/ungku-aziz-sebutir-permata-di-menara.html

Jadi, saya ingin bertanya bagaimanakah cara untuk menghubungi beliau? Maksudnya, ada email yang spesifik untuk menghubungi beliau? Sekian, terima kasih.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Maaf, saya tidak dpat mbantu saudari. Dulu ada add FB - pak ungku tpi sekarang dah x ada.

Klau saudari betul bhajat sila hubungi pihak media, contohnya Berita Harian - sidang pengarang,

Tetima kasih.