ads

Wednesday, July 16, 2008

TOK WAH



Di usia senja, nenek ini masih mengangkat cangkul dan mengajak cucunya bekerja di tanah sekangkang kera yang menempatkan rumah kecilnya itu. Semangatnya tidak luntur walau tenaganya telah hapus ditelan usia. "Kita bertanam pisang dan ubi kayu", katanya bersemangat.


.....................................

"Beserah kepada Allah, awak selamat... kami selamat...in syak Allah" acapkala bila kami bertemu dan berpisah. Itulah ucapannya yang keluar dari mulutnya dan menjadi kenang-kenaganku.



.........................................

Ada yang mengatakan, nostalgia adalah rasa pedih yang paling mulia. Saya tidak begitu yakin... Suatu yang mengesankanku ialah sikapnya dalam mencari rezeki. Tidak mudah patah semangat. Beliau menyuruh cucunya bangun pagi. Rezeki akan dapat pada waktu pagi katanya. Buka tingkap awal pagi, rezeki akan masuk nasihatnya. Setiap hari nenek bangun bersama ayam berkokok pertama kali waktu pagi dan menyediakan persiapan. Aku dan adikku diarahkan berkerja menoreh getah di tanah peninggalan bapakku seluas 9 ekar yang mempunyai sebuah rumah besar bertiang tinggi kira-kira setengah kilometer jauhnya. Ketika itu aku berumur 13 tahun sewaktu cuti sekolah. Satu-satunya perkerjaan yang cukup aku benci sepanjang hayat. Apa boleh buat kerana kesempitan hidup dan mencari pengalaman-pengalaman baru.



Mesin getah, nostalgia semasa umur 6 tahun... tangan tersepit di celah mesin...

Aku ada rancangan tersendiri, menoreh getah di sekitar jalan besar dan sekeliling rumah. Apabila semuanya beres aku pun pergi tidur di rumah besar itu. Tepat jam satu tengahari aku pun balik ke rumah nenek berpura-pura penat. Suatu hari nenek datang buat sport check, melawat ladang gatah dan mengetahui tipu helah dan muslihat aku. Alamat lebamlah aku. Seguni baja diberi nasihat, leteran dan bentakkan. Tok Wah tidak pecayakan aku lagi...

Tok Wah bercerita, pada suatu malam sekitar jam 10, diterangi lampu damar tahun 40an sekumpulan delapan orang terdiri dari pihak komunis mengetuk pintu ke rumah besar yang terkenal di Kampung Dingkir itu. Lalu memanggil suaminya, Sheikh Hassan dengan lembut, apabila beliau membuka pintu tali belati terus dijerut dileher dan mengheretnya keluar rumah. Sheikh Hassan diikat pada sebatang pokok jering yang dipenuhi kerengga di atas busut dan diseksa habis-habisan. Dengar cerita beliau telah ditembak dengan senapang gajah tetapi tidak meninggalkan kesan kerana kekebalannya. Komunis terus menyeksa dan bertanya-jawab kerana dendam kesumat akibat pemerintahan Jepun lalu yang banyak membunuh kaum Cina.

 Chin Peng

"Buguan baimao heimao, zhuazhao laoshu jiushi haomao"
Deng Xiaoping berkata dan bermaksud:
"Tak kisah la kucing putih or kucing hitam.. asalkan dia tangkap tikus punya kucing.. 
dia bagus punya kucing.."


Kononnya Sheikh Hassan menyebelahi Jepun semasa penaklukkan Jepun di Tanah Melayu ketika itu dan ramai orang-orang Cina dibunuhnya. Ini membuatkan Komunis Cina marah. Sementelahan itu British pula menakluki Tanah Melayu dan operasi komunis tergugat lagi tetapi dendam kesumat komunis bertali-arus kerana kononnya Sheikh Hassan menyebelahi British dan membuka lorong rahsia operasinya. Satu-satunya alasan untuk membunuh Sheikh Hassan ialah kerana kekayaannya atau kemewahan hidupnya. 'Kapal di laut gedung di darat'. Orang kampung menjadi barua bersengokol dengan komunis.

Jeritan, tangisan dan rayuaan tidak dihiraukan lagi dan akhirnya Sheikh Hassan diikat pada papan tebal dua keping dan dicampakkan ke Sungai Pahang yang berhampiran. Malam yang meninggalkan seribu kenangan pahit. Takdir Tuhan tidak diduga. Maka berpisahlah nyawa dengan badan dan jenazahnya hingga hari ini tidak diketemui lagi... Demikianlah secebis kisah pahit Tok Wah.

Tok Wah menjadi janda dan membesarkan enam orang anak. Alangkah pahitnya hidup dari mempunyai harta dan disegani di kampong tiba-tiba jatuh miskin papa kedana. Kecemasan Tok Wah menghadapi kenyataan hidupnya rupanya sudah melampaui batas akal sihatnya. Tok Wah terpaksa menebalkan muka meminta bantuan pertolongan tetapi persekitaran kampong yang miskin tidak banyak dapat membantu hidupnya.

Bagi mengharungi gelora hidup yang berpanjangan Tok Wah menjadi peniaga bersama anak-anaknya. Apa saja yang boleh diniagakan dan menghasilkan duit. Tok Wah memasarkan buah-buahan tempatan sepeti buah langsat, rambutan, rambai ke pasar di Temerloh dengan menaiki boat sungai yang bertolak jam lima atau enam pagi dan sampai ke Pekan Temerloh jam 8 pagi setiap hari Ahad. Itulah satu-satunya pengangkutan ketika itu.

Pada hari lainnya Tok Wah berniaga di pekan yang berhampiran seperti di Kerdau atau Pekan Kuala Krau atau sesekali di Jerantut. Alangkah peritnya hidup membesarkan 6 orang anak. Ketika itu ibuku berusia 5 tahun, anak kedua bongsu dari 6 orang adik-beradik 2 lelaki 3 perempuan itu.

"Gigi emas Tokpun dicabut komunis..." katanya sambil menunjukkan kesan giginya ketika aku masih kecil lagi. Beliau bercerita, barang kemas peninggalan suaminya banyak dan ada sempat di simpan di dalam takar beras dan digadaikan demi membesarkan anak-anaknya. Sungguh perit hidup nenek tetapi falsafah nenek mudah saja katanya iaitu berbaik dengan semua orang. Orang yang pernah mendendaminyapun ia cuba berbuat baik. Tok Wah memang tidak patah semangat dan sesiapa mengenalinya mengatakan dia seorang berhati waja. Cepat memaafkan orang dan tidak pernah menyimpan dendam.

"Kawan, tak pada aja, biarlah orang mengena kita..." cetusnya dengan loghat Pahang jatinya setiap kali diajukan tindakan orang yang iri hati padanya semasa pembunuhan suaminya yang mana orang kampung bersengkokol dengan komunis dahulu yang masih tinggal di kampung itu.

Kalau ada kemahuan, di situ ada jalan nasihatnya. Misi kehidupan ketika itu ialah membesarkan anak-anaknya tentang memberi pelajaran atas dasar kemampuan saja kerana perut kosong bagaimana hendak bergerak katanya. Putus asa, adalah dosa kata Tok Wah.

Darurat (emergency-euphemism atau kiasan perang gerila) selama 12 tahun 1948-1960. Keganasan bermahrajalela di Malaya ketika itu. Banyak tregedi ngeri belaku dan menjadi lipatan sejarah hitam kita. Dianggarkan mengorbankan nyawa hampir berpuluh ribu orang.

Semasa suaminya masih ada, rumah di tepi sungai ini sangat popular. Di musim padi masak, berdoyong-doyonglah orang bergotong-royong memotong padi. Bila tiba musim mengemping, ramailah muda-mudi datang semacam pesta mencari jodoh cerita Tok Wah lagi. Sheikh Hassan memang rajin orangnya dan ramah dengan orang kampong, beliau membuat sawah, bercucuk tanam, memburu rusa, memasang perangkap di hutan berhampiran dan mencari ikan di sungai. Bila tiba musim buah-buahan ramailah saudara-mara berkumpul.
Sheikh Hassan mempunyai 6 orang adik-beradik dan berkahwin dengan orang kebanyakkan di sekitar Kuala Krau. Diriwayatkan bapak Sheikh Hassan ini berasal dari Handramaut, Yaman berketurunan sahabat nabi dan berhijrah ke Tanah Melayu sekitar tahun 1900.



Rumah Tok Wah dipinggir Sungai Pahang

Teringat semasa berumur 12 tahun, aku tinggal dengan nenek di rumah pesaka peninggalan kerana musim durian. Nenek berpesan padaku, jangan ke mana-mana kerana beliau ke pekan membeli sesuatu dan akan pulang. Maka tinggallah aku berseorangan di rumah besar yang jauh terpisah dari jiran kira-kira setengah kilometer yang dipenuhi pokok-pokok itu. Rumah itu di seberang sungai dan kalau ke sana menggunakan perahu. Penduduknya tidak ramai kerana telah berpindah ke seberang kerana kemudahan-kemudahan disediakan.

Hari semakin senja tetapi nenek tidak juga pulang. Puas aku menunggu, berkelana di rumah besar bermacam-macam perkara terfikirkan dan aku cuba-cuba menghibur hati. Menyanyi, menjerit dan menghapal doa tetapi hati semakin risau. Semakin malam semakin gusar. Matilah aku kali ini diganggu penunggu, fikirku. Maka tinggallah aku berseorangan mengharungi gelap malam bersumberkan pelita minyak tanah dan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan. Aku cuba tidur awal petang dan bila larut malam, kedengaran burung punggok di cerok sawah di belakang rumah berteriak. Ujian yang cukup mengharukanku. 


Berseorangan di rumah besar dalam usia 12 tahun telah mendewasakan.


Alfatihah untukmu, arwah Tok Wah...


........................................................



Parti Komunis Malaya
Pemberontakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (1948 - 1989)



Kampung Baru 1948-1960

Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu mulai 8 Disember 1941 telah memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk memperkuatkan organisasinya. Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Malayan People Anti Japanese Army atau dalam bahasa Melayu Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940.

MPAJA PKM berjaya mempengaruhi British membebaskan semua tahanan politik yang berhaluan kiri. Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang. Kerjasama antara PKM dan British telah menghasilkan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura. Latihan yang diberi di sekolah tersebut adalah dalam bentuk perang gerila. Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA.

Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai PKMM melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin dan Abdullah C.D. PKMM lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga. Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku.

Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk *Senoi Praaq bagi menentang komunis.


* Senoi Praaq adalah pasukanbersenjata ( tentera) yang dianggotai oleh masyarakat asli kaum Senoi yang mahir bergerak di dalam hutan.


1 comment:

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Datuk saya, Sheikh Hassan sebelum kejadian itu telah pergi ke Pekan Kerdau dan telah belaku ketegangan antara beliau dengan beberapa keturunan Cina di sebuah kedai minum. Tidaklah diketahui punca kegawatan itu, tetapi pekara yang itu sangat serius. Kermuncakknya dendan kesumat dan cabar-mencabar.
Pada malam hari tersebut 'mereka' datang untuk membalas dendam dan belaku kejadian menyayat hati. Tiada seorang pun orang kampung ingin membela Sheikh Hassan walaupun ditawarkan oleh 'mereka' kerana ketakutan dan kemiskinan.


*** Daripada adik saya, diceritakan oleh seorang tua keturunan syed yang menetap di Kampung Teluk, Kuala Tekal.